28 Jun 2011

3.13 ANGKATAN MUSLIMIN IALAH ANGKATAN YANG BERSINAMBUNGAN

Orang yang beriman mempunyai keturunan yang amat tua yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh. Dia adalah salah seorang dari angkatan manusia yang mulia dipimpin oleh para rasul yang mulia, iaitu Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya`qub, Yusuf, Musa, `Isa dan Muhammad alayhimus-salam ….. Sayyid Qutb

Zuriat Adam meliputi semua Anbiya’ dan zuriat Nuh mengandungi para Anbiya’ selepasnya dan zuriat Ibrahim meliputi para Anbiya’ dari dua anaknya Ismail dan Isyaq, dan zuriat Ya’kub merupakan pokok keturunan Bani Israel. Sementara zuriat Ismail pula meliputi keturunan Arab termasuk Nabi Muhammad Khatamun –Nabiyin. Merekalah orang-orang yang bertaqwa dan amat peka terhadap Allah.

Umat para Anbiya ini adalah umat kita juga. Ia merupakan angkatan yang bersinambungan dari nabi-nabi terdahulu hingga ke umat Nabi Muhammad saw. Umat para-Anbiya’ adalah angkatan keimanan yang mempunyai `aqidah yang sama dan menjalani ujian-ujian hidup yang sama. Ujian-ujian yang dihadapi dan ditempuh pada satu jalan menuju keredhaan Allah; dan bukan kepada yang lain dari-Nya. Umat para Anbiya’ memperjuangkan tauhid yang ulung; iaitu tiada Tuhan selain Allah dan tiada Tuhan disembah melainkan Allah.

Para-Anbiya’ terdahulu menjadi contoh ikutan dalam perjuangan mereka. Bukan sahaja di dalam perjuangan `aqidah untuk mentauhidkan Allah; tetapi juga dalam seluruh pembawaan hidup mereka. Peristiwa-peristiwa yang dilalui dan interaksi dengan kerabat tetangga serta kaumnya menjadi panduan bagi umat yang terkemudian. Peristiwa-peristiwa ini akan berulang-kali berlaku dan ia adalah satu `pattern’ yang akan ditempuhi oleh golongan mu`minin hingga ke hari kiamat. Akan berlaku pelbagai ujian; baik berupa kesenangan dan kesusahan; kenikmatan dan penderitaan; ataupun kesempitan dan kesedihan. Ia adalah satu sunatullah dalam perjuangan `aqidah Islam.

Ujian merupakan proses yang perlu bagi mendapatkan muslimin yang terbaik. Al-Qur’an menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada umat para-anbiya’ terdahulu untuk kita mengambil pengajaran darinya. Peristiwa-peristiwa ini akan mendidik kelompok muslimin dengan kesan-kesan perasaan, emosi dan reaksi yang perlu ada. Ia membersihkan batinnya di bawah suluhan cahaya yang terang; membetulkan perasaan-perasaan, tanggapan-tanggapan, kefahaman-kefahaman dan nilai-nilai serta menegakkan dasar-dasar kehidupan Islamiyah yang kukuh. Semuanya ini menyarankan bahawa segala peristiwa yang berlaku kepada kelompok Muslimin di setiap tempat adalah wasilah untuk mentarbiyah mereka.

Marilah kita mentadabbur ayat al-Qur’an dalam surah al-Mumtahanah (60:4) yang menceritakan kisah Nabi Ibrahim as dan pengikut-pengikutnya.

“Sesungguhnya terdapat contoh teladan yang baik untuk kamu pada Ibrahim dan mereka yang bersama dengannya ketika mereka berkata kepada kaum mereka: Sesungguhnya kami berlepas diri dari kamu dari sembahan-sembahan yang kamu sembah selain dari Allah. Kami kafir dengan agama kamu. Dan kini jelaslah wujud permusuhan dan kebencian antara kami dan kamu untuk selama-lamanya sehingga kamu beriman kepada Allah Yang Tunggal ……….”

Apabila orang beriman merenung ayat ini, dia akan sedar tentang salasilah keturunannya begitu tua dan juga ujian-ujian yang ditempuh oleh moyangnya, Nabi Ibrahim as. Begitu juga ketika zaman Nabi Muhammad saw dan para sahabat; ujian yang `pattern'-nya sama juga berlaku sehingga mereka perlu berhijrah ke Madinah. Ia juga akan dihadapi oleh golongan Mu'minin hingga ke hari kiamat; dan ia bukanlah sesuatu taklif yang menyusahkan kaum Mu’minin.

Ayat di atas menjelaskan terputusnya hubungan di antara Nabi Ibrahim as dan pengikut-pengikutnya dengan kaumnya apabila aqidah berbeza. Tiada kompromi dalam hal `aqidah dan `ibadah. Inilah keputusan muktamad dan pemisahan yang tegas. Orang yang beriman dilarang mengadakan hubungan mesra dengan mereka yang menentang Allah dan Rasul-Nya walaupun keluarganya sendiri. Generasi para sahabat telah membuktikannya; `Abu Ubaidah ra telah membunuh bapanya pada hari peperangan Badar, Abu Bakar as-Siddiq ra telah berazam membunuh anaknya Abdul Rahman; `Umar, Hamzah, `Ali dan `Ubaydah dan al-Harith r.anhum telah membunuh anggota-anggota kerabat dan keluarga mereka sendiri.

Al-Qur’an menerangkan satu prinsip yang kukuh yang menjadi asas pendirian orang-orang Mu’min. Ia menjadi neraca keimanan di dalam jiwa mereka. Allah tidak menyediakan dua hati pada seseorang manusia. Dan manusia tidak mungkin menyimpan dua kasih dalam satu hati, iaitu kasih kepada Allah dan Rasul-Nya dan kasih kepada musuh Allah dan Rasul-Nya. Kedua-duanya tidak mungkin bertemu. Tali hubungan darah dan kerabat terputus di perbatasan keimanan. Tali perhubungan itu hanya boleh dipelihara jika tiada perseteruan/persengketaan yang memudaratkan `aqidah Islam. Bersahabat baik dengan ibu-bapa yang musyrikin memang disuruh Allah jika tiada gangguan atau penentangan terhadap `aqidah. Kita juga diminta menyampaikan Islam agar hati mereka yang tertutup dengan hidayah Allah dapat terbuka.

Bila kita memahami dan merasai peristiwa-peristiwa yang telah dilalui oleh para-anbiya dan umatnya; juga yang berlaku kepada Nabi Muhammad saw dan para sahabat; maka golongan mu'minin tidak akan berasa keseorangan. Mereka akan memahami fiqh da’wah/jihad/muamalat; jalan keluar pada permasalahan yang dihadapi; harga yang perlu dibayar dalam perjuangan `aqidah Islam dan juga sikap yang perlu ada ketika diberi ujian. Jika difahami kesemuanya, InsyaAllah mereka akan istiqamah dalam perjuangan.

Persoalannya, apakah kita sudah memulakan langkah untuk membaca dan memahami al-Qur'an; seterusnya dapat merasai kisah-kisah/peristiwa-peristiwa yang telah diceritakan oleh al-Qur’an yang berulang-kali. Sesungguhnya hati yang hidup ialah bagi mereka yang menyambut seruan al-Qur'an; manakala golongan manusia yang mati ialah bilamana hati mereka mati dan tidak mahu mendengar peringatan dari al-Qur'an. Firman Allah dalam Surah Yaasin, ayat 23 .

"Supaya dia memberi peringatan kepada orang yang hidup hati nuraninya, dan supaya terlaksana keputusan (`azab) ke atas orang-orang kafir."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan