Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan-kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu. Malah iradat Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu di samping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri:
لَا تَدۡرِى لَعَلَّ ٱللَّهَ يُحۡدِثُ بَعۡدَ ذَٲلِكَ أَمۡرً۬ا (١)
“Engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan selepas perceraian itu sesuatu perkara yang lain.” – (at-Talaq:1)
وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُۚ
“Dan tidaklah kamu mengkehendaki kecuali bila dikehendaki Allah.” – (al-Insan:30)………….Sayyid Qutb
Sebab-sebab yang diketahui umum yang di maksudkan ialah sebab-sebab(asbab) sesuatu itu berlaku selalunya telah diketahui. Seperti;
1. Api itu panas, ia boleh menyebabkan kebakaran. (Terbakar sebab api itu panas)
2. Belajar bersungguh-sungguh selalunya akan memberi kejayaan. (Berjaya sebab belajar bersungguh-sungguh)
3. Pasangan yang berkahwin selalunya akan mendapat anak. (Mendapat anak sebab berkahwin)
Sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang tidak melahirkan kesan-kesannya dan muqaddimah-muqaddimah yang dianggap pasti itu kadang-kadang tidak melahirkan natijah-natijahnya sebagaimana berikut;
Kadang-kadang api tidak membakar , seperti yang telah berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s, dia tidak terbakar walaupun dimasukkan di dalam api yang marak membakar. Allah berfirman di dalam surah al-Anbia’, ayat 69;
قُلۡنَا يَـٰنَارُ كُونِى بَرۡدً۬ا وَسَلَـٰمًا عَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِيمَ (٦٩)
“Kami berfirman: Wahai api! Jadilah engkau sejuk dan selamat kepada Ibrahim!”
Lalu api itu pun menjadi sejuk dan tidak membakar.
Api telah mengikut arahan siapa? Sudah tentu kepada arahan Allah. Ia hanya merupakan sepatah perintah yang dapat mewujudkan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kita wajib percaya bahawa peristiwa ini benar-benar telah berlaku, kerana Allah Penciptanya berkuasa berbuat begitu.
Bagi seorang pelajar, kadang-kadang sudah belajar bersungguh-sungguh, tetapi masih gagal di dalam peperiksaan.
Kadang-kadang pasangan yang berkahwin tidak mendapat anak.
Kadang-kadang muqaddimah keadaan cuaca hari itu adalah mendung dan kelam. Tiba-tiba tiada setitik hujan pun turun.
Ini semua menerangkan kepada kita bahawa sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah yang ada tidak dapat memberi kesan atau natijah. Kesan dan natijah ini adalah milik Allah. Allah-lah yang menentukan kesan dan natijahnya. Allah-lah yang menentukan dan mengizinkan api itu untuk membakar. Allah jua menentukan dan mengizinkan ia berjaya dengan cemerlang. Allahlah menentukan dan mengizinkan pasangan yang berkahwin itu mendapat anak. Allah juga menentukan dan mengizinkan hujan turun. Semuanya bergantung kepada ‘iradat’-Nya(kehendak-Nya).
Allah menerangkan di dalam surah al-Insan, ayat 30 di atas bahawa Dia adalah Pencipta yang bebas. Yang Maha Berkuasa dan mengendalikan segala urusan mengikut syari’at-Nya supaya kita belajar bagaimana hendak bertawajjuh dan berserah kepada perencanaan Allah. Apabila hati seorang hamba tidak mengenali hakikat qudrat Allah yang berkuasa di atas segalanya dan tidak bertawajjuh kepada-Nya untuk memohon pertolongan dan kemudahan, maka dia tidak akan mendapat hidayat, tidak akan dapat menikmati zikrullah dan tidak akan mendapat taufiq kepada kebaikan.
Malah kehendak dan keinginan yang dirasai oleh kita juga adalah dengan ketetapan dan kehendak(iradat) Allah.
Terasa atau teringin makan durian, adalah kehendak Allah ke atas kita. Rasa cemburu, marah, sedih dan kasih sayang juga adalah kehendak Allah ke atas diri kita. Semuanya ini boleh wujud di dalam diri kita hanya dengan kehendak dan keizinan Allah swt. Tanpa kehendak dan keizinan-Nya, semua ini tidak akan berlaku. Sebagaimana di dalam syurga dinyatakan tidak akan ada perasaan cemburu, perasaan dengki dan berburuk sangka. Hanya ada perkataan ‘salam’ yakni yang baik-baik sahaja. Ini semua kehendak Allah dan Allah bebas dengan kehendak-Nya kerana Dia lah Khaliq iaitu Pencipta.
Ayat pertama dari surah al-Talaq di atas sangat menyentuh hati, kerana siapakah mengetahui ilmu Allah yang ghaib dan takdir-takdir-Nya yang tersembunyi disebalik perintah-Nya yang menetapkan tempoh ‘iddah dan perintahnya yang menyuruh isteri-isteri yang diceraikan itu agar terus tinggal di rumah-rumah kediaman mereka? Di sana mungkin ada harapan yang melambai yang membawa kepada kebaikan. Mungkin keadaan akan berubah kepada keadaan yang menyenangkan hati kerana takdir-takdir Allah sentiasa bergerak, sentiasa berubah, menukar dan sentiasa mencetuskan peristiwa-peristiwa. Oleh itu berserah kepada pentadbiran dan naungan Allah adalah lebih baik dan lebih selamat. Bertaqwa kepada Allah dan bermuraqabah(merasai Allah sentiasa memantaunya) dengan Allah akan mendatangkan kebaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan