MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





23 November 2012

4.22 AYAT KURSI (al-Baqarah:255)


                                                        بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ  

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ۬‌ۚ لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦ‌ۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ (٢٥٥)
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya). (255)

Dengarkan bacaannya menerusi :   http://www.youtube.com/watch?v=FkKO_NEfBXY 

Ayat Kursi ini adalah ayat aqidah/tauhid. Diturunkan di Madinah (ayat Madaniyah).

Perkaitan ayat

Ayat 253: Menggesa manusia berjihad mengorbankan jiwa. Para Rasul a.s. mempunyai kelebihan yang berbeza-beza. Namun seruan dan misi mereka adalah sama yakni seruan tauhid.

Ayat 254: Menggesa manusia mengorbankan harta ke jalan Fi Sabilillah sementara masih berada di dunia.

Ayat 255 (ayat Kursi): Menetapkan prinsip tauhid dan asas peribadatan. Semua amalan (termasuk amalan pengorbanan jiwa dan harta seperti ayat 253 dan 254) mestilah berpaksikan Allah SWT. Ia membangkitkan rasa kebesaran dan kekuasaan-Nya. Oleh itu, manusia sebagai hamba amat patut mematuhi perintah dan tunduk kepada hukum-hakam Allah SWT (Kami dengar dan kami taat).

Kefahaman ayat Kursi yang jelas sehingga mampu meresap keyakinan di dalam hati adalah amat penting kerana ia merupakan asas  seluruh sistem hidup Islam. Jika kefahaman dan keyakinan ini masih belum tertanam di dalam hati, maka sukar bagi individu itu untuk patuh dan taat kepada sistem hidup yang dikendaki oleh Allah SWT. Amalannya belum tentu diterima sebagai amalan yang ikhlas.

Perlu diingatkan bahawa lawan bagi ikhlas adalah syirik. Jika kita telah melaksanakan amalan yang syirik, maka amalan itu ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT walaupun percampurannya dalam amalan hanya bernilai  0.1% sahaja, amalan itu tetap dikira sebagai amalan yang tidak ikhlas. Perbanyakkan beristighfar dan berdoa semoga tidak melakukan perkara-perkara yang syirik.

Konsep Wahdaniyah (Esa atau tunggal)

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ
“Allah, tiada Tuhan melainkan Dia.”

ALLAH itu Esa pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Perbuatan-Nya. Tiada suatu pun yang menyerupai dari segi Zat, Sifat dan perbuatan Allah SWT.
Ini adalah satu ketegasan yang jelas bahawa hanya Allah SWT satu-satunya Tuhan Yang patut disembah, Allah yang dimuliakan, Allah yang diagongkan; Allah yang dipatuhi; Allah yang ditaati; Allah yang digeruni dan segala amalan-amalan hanyalah ditujukan kerana Dia. Inilah konsep paling asas mesti wujud di dalam hati untuk mewujudkan seluruh sistem hidup Islam.
Selepas daripada ini akan wujud konsep bertawajjuh kepada Allah Yang Maha Esa dengan memusatkan perhambaan, ketaatan, kepatuhan dan segala amalan hanyalah kepada Allah Tuhan Semesta Alam. Peraturan atau sistem yang lain daripada Allah SWT adalah ditolak.

Sifat Hayat Allah Yang Maha Esa

ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ
“Yang Maha Hidup, Maha Pentadbir (yang menjadi sumber pergantungan makhluk).”

Allah SWT sahaja mempunyai sifat Hayat iaitu Hayat Zati. Iaitu tiada permulaan dan tiada akhiran. Kewujudan Allah SWT tidak terikat dengan kiraan masa sebagaimana makhluk ciptaan-Nya; pada masa sekian dan tarikh sekian makhluk ciptaan-Nya dilahirkan/wujud kemudian pada masa dan tarikh sekian Makhluk ciptaan-Nya itu mati/ditamatkan riwayatnya. Sedangkan Allah SWT sentiasa hidup. Oleh itu sifat hayat hanya dimiliki oleh Allah SWT sahaja.

Sifat Qayum Allah SWT(ٱلۡقَيُّومُ )

Allah SWT adalah Pentadbir yang tunggal. Dialah yang mentadbir, mengurus dan mengendalikan segala makhluk yang maujud. Makhluk yang maujud adalah bergantung sepenuhnya kepada kewujudan Allah SWT dan Pentadbiran-Nya. Maka perlu wujud hubungan yang rapat antara makhluk dan Pentadbirnya melalui hubungan hati nurani yang faham dan jelas tentang hakikat ini. Sistem hidupnya terikat dengan sistem yang telah diatur oleh Allah SWT mengikut Iradat dan Kebijaksanaan Allah SWT.
Allah SWT berfirman;

“Tiada sesuatupun yang setanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” QS al-Syura:11

Maksud Tidak Mengantuk dan Tidak Tidur

لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ
“Tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur.”

Allah SWT tidak pernah rasa mengantuk dan tidak pernah tidur. Sejajar dengan sifat-Nya yang  sentiasa mentadbir dan menguruskan segala sesuatu. Sedangkan segala sesuatu itu sangat bergantung kepada-Nya. Dia tidak merasa letih dan lemah kerananya. Tiada yang serupa dan setanding dengan sifat Allah SWT.

Daripada Abu Musa: Rasulullah saw berdiri dalam kumpulan kami, lalu mengucapkan empat perkara;
“Sesungguhnya Allah tidak tidur, dan tidak sepatutnya Dia tidur; Dia merendahkan dan meninggikan neraca-Nya; diangkat kepada-Nya amalan (hamba) waktu siang sebelum ia melakukan amalan waktu malam, dan diangkat kepada-Nya amalan (hamba) waktu malam sebelum ia melakukan amalan waktu siang; hijab-Nya adalah cahaya atau api, jika Dia membukanya pasti nur wajah-Nya itu akan membakar saujana pandangan mata manusia.” - HR Imam Bukhari


Allah SWT Pemilik Alam Buana Yang Mutlak.

لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ
“Dia memiliki segala isi langit dan bumi.”

Pemilik mutlak bermaksud pemilikan yang tidak dibatasi dengan sebarang ikatan, sebarang syarat, sebarang jarak dan sebarang perkongsian. Allah itu Esa, Pentadbir yang tunggal dan Pemilik yang tunggal. Ini bermakna sejak dari dulu lagi manusia tidak memiliki apa-apa. Mereka  hanyalah meminjam atau menjadi pemegang amanah atau sebagai perwakilan untuk menjaga apa yang dianugerahkan kepadanya oleh Pemilik Tunggal. Syarat-syarat yang telah ditentukan mestilah dipatuhi. Jikalau tidak, pengurusan sesuatu yang diamanahkan  adalah tidak sah.Pemberian atau pinjaman itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa sahaja mengikut kehendak-Nya yang mutlak.
Kesedaran terhadap hakikat ini mampu menyingkirkan sifat-sifat tamak haloba, bakhil atau kikir, dan sikap suka berlumba-lumba untuk mengumpul harta. Sebaliknya, sifat-sifat redha terhadap apa yang ada, bermurah hati dan tidak terlalu mengejar harta dapat dipupuk di dalam hati. Malahan hati akan menjadi lebih tenang dan tenteram sewaktu mendapat rezeki atau sewaktu tidak memperolehi rezeki. Hati tidak akan merasa kecewa apabila ada sesuatu yang luput atau hilang daripadanya. Hati juga tidak merasa kempunan terhadap sesuatu yang jauh untuk dimiliki.

Anugerah Syafa’at Hak Mutlak Allah SWT

مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِ
“Siapakah yang berkuasa memberi syafa’at di sisi-Nya melainkan dengan keizinan-Nya.”

Di antara tanda keagungan dan kebesaran Allah ‘Azzawajalla ialah bahawa seseorang manusia tidak boleh bertindak untuk memberi pertolongan kepada sesiapapun di sisi-Nya melainkan dengan izin daripada-Nya. Ini sebagaimana firman Allah SWT;

“(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafa’at mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki dan diredhai-Nya.”  -QS  al-Najm:26

Firman Allah SWT lagi;

“(Pada) masa datangnya(hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata(untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah.” - QS Hud:105

Rasulullah saw juga tidak dapat memberi syafa’at kepada umatnya melainkan ia mendapat keizinan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
  
Ilmu Allah SWT yang syumul

يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬
“Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu dari ilmu-Nya melainkan apa yang dikehendaki oleh-Nya.”

Hakikat sifat Allah SWT yang memiliki ilmu yang syumul dapat menzahirkan kedudukan manusia yang sebenar. Siapakah manusia jika dibandingkan dengan keluasan ilmu Allah SWT?

Dia mengetahui apa yang ada di hadapan dan di belakang kita! Tidak gementarkah hati yang mendengarnya? Allah tahu apa yang kita tidak ketahui. Allah tahu apa yang telah berlalu dan tahu apa yang akan berlaku. Manusia tidak mengetahui sedikit pun dari ilmu Allah melainkan ilmu yang diizinkan oleh Allah untuknya.

Tetapi manusia lupa kepada hakikat ini. Mereka terpesona dengan ilmu seperti ilmu sains yang diizinkan Allah kepada mereka. Mereka tidak bersyukur tetapi berlagak angkuh dan kadang-kadang mereka kufur. Malah ada yang menganggap dialah Tuhan di bumi ini.

Tahukah kita bahawa Allah SWT telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada manusia sejak tugas khilafah diserahkan kepada mereka. Allah SWT juga berjanji memperlihatkan bukti-bukti kekuasaan-Nya supaya dapat membantu tugas-tugas ini. Mana-mana rahsia yang tiada perkaitan dengan tugas khilafah di atas muka bumi tetap menjadi rahsia. Seperti rahsia tarikh kematian, rezeki masing-masing dan akhiran amalan baik atau buruk bagi setiap manusia.


Singgahsana Pemerintahan Ilahi digambarkan dalam bentuk fizikal

ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ
“Luas singgahsana-Nya meliputi langit dan bumi dan tidaklah memberatkan-Nya untuk keduanya.”

Pengungkapan kursi (singgahsana) dalam al-Qur’an dalam bentuk abstrak menggambarkan kuasa pemerintahan yang luas adalah lebih mudah untuk digambarkan dan menyentuh hati. Allah adalah Tuan empunya langit dan bumi dan Dia-lah Pemerintah yang mutlak untuk keduanya. Namun begitu, memerintah singgahsana yang begitu luas tidak sedikit pun memberatkan-Nya. Tiada kepenatan dan tiada keletihan. Berbeza dengan manusia memerlukan rehat dan tidur untuk menghilangkan kepenatan.


Sifat Maha Tinggi dan Maha Besar Hanya Tertentu kepada Allah sahaja.

وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ
“Dan Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Penggunaan ٱل dalam ٱلۡعَلِىُّ dan ٱلۡعَظِيمُ menunjukkan sifat Ketinggian dan sifat Kebesaran adalah khusus kepada Allah ‘Azzawajalla, tidak boleh kepada yang lain. Maka manusia tidak boleh berlagak mempunyai kuasa yang tinggi dan berpangkat besar sehingga menimbulkan keangkuhan dan kesombongan yang keterlaluan. Nanti Allah SWT akan kembalikannya kepada kerendahan dan kehinaan serta ‘azab yang sangat pedih di Akhirat kelak.

Hati seorang Mukmin adalah takut kepada Allah SWT. Ia dapat merasakan kebesaran dan keagungan Allah yang membawa kepada adab sopan menjunjung hak Allah dan merasa segan dan malu untuk berlagak angkuh terhadap para hamba Allah. Inilah ‘aqidah dan kefahaman di samping merupakan amalan dan perilaku seorang Muslim yang Mukmin.


Keutamaan ayat kursi

Hadith Nabi saw;

Abu Hurairah r.a berkata, “Rasulullah saw pernah memberiku tugas untuk menjaga zakat Ramadhan. Aku lalu didatangi sesusuk tubuh(tidak dikenali), ia menceduk makanan dengan tangannya dan aku pun merebutnya kembali seraya berkata kepadanya, ‘Sungguh aku akan mengadukanmu kepada Rasulullah.’ Abu Hurairah menceritakan percakapannya hingga susuk tubuh itu berkata; ‘Apabila engkau hendak berbaring di atas tempat tidur maka bacalah ayat kursi. Sungguh akan selalu ada penjaga dari Allah yang menemanimu dan syaitan tidak akan berani mendekatimu hingga pagi hari.’ Nabi bersabda; ‘Ia berkata benar kepadamu meski ia pendusta. Ia adalah syaitan.” – HR Bukhari(5010)


Hadith Nabi saw;

“Ubay bin Ka’ab r.a meriwayatkan, “Rasulullah bersabda, ‘Wahai Abu Mundzir, tahukah kamu satu ayat dari kitab Allah yang paling agung?’ Aku menjawab, ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’ Beliau bertanya lagi, ‘Wahai Abu Mundzir, tahukah kamu satu ayat dari kitab Allah yang paling agung?’ Aku menjawab, ‘La ilaha illa Huwal Hayyul Qayyum(ayat kursi).’ Rasulullah pun lantas menepuk dadaku seraya bersabda, ‘Semoga ilmu membuatmu bahagia, wahai Abu Mundzir.” – HR Muslim(810)

Merujuk kepada hadith di atas, ayat kursi merupakan ayat al-Qur’an yang paling agung. Orang yang membaca ayat Kursi sebelum tidur akan mendapat penjagaan dari Allah dan syaitan tidak akan berani mendekatinya hingga pagi hari.

Peringatan

Allah SWT menurunkan al-Qur’an bertujuan untuk difahami isi kandungannya kemudian mengambil pengajaran daripadanya. Maka  al-Qur’an sepatutnya digunakan sebagai panduan kehidupan di atas muka bumi Allah SWT ini. Permasalahan yang dihadapi sama ada dari segi ‘aqidah, ibadah maupun mu’amalah boleh diselesaikan melalui rujukan al-Quran dan boleh diperjelaskan lagi dengan sunnah Rasulullah saw.

Malangnya sesetengah daripada kita lebih tertarik kepada beberapa ayat tertentu bertujuan untuk perubatan semata-mata. Kemudian tersalah meletakkan kekuasaan penyembuhan kepada ayat-ayat yang dibaca atau kepada orang yang membacanya.

Sebagai contoh; ayat Kursi dibacakan untuk menghalau hantu, jin atau syaitan atau tujuan-tujuan yang lain. Kemudian hati mula berkata;

“Wah! Hebat ayat Kursi ini.” Atau “Wah! ‘Power’ betul ustaz  ini.”

Hati mula meyakini bahawa ayat Kursi inilah yang menyembuhkan atau si pembaca ayat inilah mempunyai karamah. Secara tidak sedar disudut hati telah mengagungkan ayat yang dibaca atau telah meninggikan darjat si pembaca ayat itu. Kefahaman seperti ini telah mensyirikkan Allah SWT. Perlulah diperbetulkan dengan cuba memahami apakah sebenarnya yang Allah SWT hendak kita faham daripada ayat-ayat yang dibaca itu. Kemudian barulah kita memohon fadhilat-fadhilatnya.

Penjelasan dari ayat Kursi ayat demi ayat diatas jelas menerangkan bahawa tiada syafa’at (pertolongan)melainkan dengan izin Allah SWT. Allah SWT mengetahui segala-galanya sama ada di hadapan atau di belakang kita. Allah SWT terus menerus mengurus makhluk-Nya. Tidak tidur dan tidak lemah. Hanya Dia Yang patut di Agongkan. Hanya Dia Yang patut di Tinggikan. Hanya kepada-Nya patut mengharap pertolongan kerana Hanya Dia yang Tunggal Yang menguruskan Pentadbiran alam buana sama ada yang ghaib maupun yang nyata. Syaitan dan Jin hanya takut kepada Allah SWT. Oleh itu mintalah kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh. Kemudian pasti Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang memberikannya kepada kita.

Wallahu’alam

21 November 2012

5.9 AL-BAQARAH (SAPI BETINA) - Bahagian 3


Juzuk 3 (ayat 253 – 286 )

Masih lagi berkisar kepada persediaan untuk memikul tugas umat Islam sebagai seorang khalifah.

“Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan dan Kami berikan Nabi Isa Ibni Mariam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Rohulqudus (Jibril) dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbullah di antara mereka: Orang yang beriman dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.(253)” QS al-Baqarah:253

Ayat ini terdapat perhubungan penceritaan mengenai rasul-rasul dan pengikut-pengikutnya diakhir juzuk 2. Masing-masing rasul mempunyai kelebihan masing-masing mengikut keperluan  dan Allah swt berupaya berbuat apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Kemudian disebabkan perselisihan dan peperangan yang berlaku, Allah swt menekankan kepentingan pengorbanan iaitu menginfakkan harta benda yang dimiliki kepada jalan Fi Sabilillah sebelum ianya terlambat.

“ Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (254)” QS al-Baqarah:254

Ayat Kursi

Sungguh cantik susunan ayat al-Qur’an. Selepas mendengar penerangan sikap yang perlu dipupuk, arahan-arahan yang perlu diikuti dan contoh-contoh kehidupan umat terdahulu secara ‘live’, muncul pula ayat 255 dengan jelas memaparkan siapakah Allah swt yang mengutarakan semua ini untuk diikuti.

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya). (255)” QS al-Baqarah:255

Ayat ini adalah ayat aqidah/Tauhid. Ia memberi kefahaman berkenaan;

·         Wahdaniyah Allah swt
·         Hayat-Nya
·         Semua perkara tertakluk kepada kehendak-Nya
·         Ilmu yang dimiliki
·         Penguasaan dan pemeliharaan-Nya
·         Syafa’at hanya seizin-Nya

Kefahaman ini adalah kefahaman asas yang mesti difahami oleh setiap Muslim. Selepas daripada kefahaman ini, Allah swt mengutarakan satu persoalan;

“ Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (256)” QS al-Baqarah:256

Allah swt tidak memaksa untuk mentaati-Nya, namun telah jelas yang mana satu jalan yang benar dan yang mana satu jalan yang sesat. Manusia bebas membuat pilihan. Tetapi ingat! Allah swt memberi jaminan bahawa Dia hanya melindungi dan membantu orang-orang yang beriman. Yakni orang-orang yang meyakini apa yang dinyatakan di dalam ayat Kursi di atas. Allah swt berfirman;

“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. (257)” QS al-Baqarah:257

Kemudian Allah swt memberi 3 kisah sebagai pengukuhan terhadap penegasan-Nya bahawa Dia berkuasa menghidupkan dan mematikan. Kisah tersebut ialah;

·         Kisah Nabi Ibrahim a.s dengan Raja Namrud (ayat 258)
·         Kisah ‘Uzair (ayat 259)
·         Kisah Nabi Ibrahim a.s memohon diperlihatkan bagaimana Allah swt menghidupkan orang mati (ayat 260)
Selepas mendapat keyakinan terhadap Allah swt, Dia mensyari’atkan sistem kewangan dalam Islam yang lebih menjurus kepada konsep takaful;

1.    Riba dilarang kerana menghancurkan masyarakat.
Larangan keras melaksanakan riba:
“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. (276)”
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. (278) Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (279)”

Pengistiharan perang dari Allah swt dan Rasul-Nya terhadap masyarakat yang mengamalkan riba. Sistem riba telah melahirkan masyarakat yang tidak tenteram dan hidup dalam keadaan yang terumbang-ambing kerana berlaku penindasan manusia dengan kejam.

2.    Kaedah bermu’amalah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar) dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, samada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya dan adakanlah saksi apabila kamu berjual beli dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (282)”

Hukum ini adalah bersangkutan dengan hutang piutang, perniagaan tunai dan gadaian yang bersih daripada riba. Inilah kehalusan dan ketelitian dalam undang-undang agama Islam supaya setiap hati menjadi tenteram. Semua ini melibatkan sifat taqwa di dalam diri seseorang manusia.

Penutup juzuk 3

Allah swt mengakhiri juzuk 3 dengan dua doa;

“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata:) Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami dan kepadaMu jualah tempat kembali. (285)” QS al-Baqarah:285

Slogan orang Islam ialah: “Kami dengar dan kami taat”
Slogan Bani Israil ialah: “Kami dengar tetapi tidak mentaatinya.”

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (286)” QS al-Baqarah:286

Sesungguhnya manusia itu lemah dan sering membuat kesilapan. Oleh itu, untuk memegang amanah yang besar ini(khalifah), ia memerlukan pertolongan, perlindungan, kemaafan dan rahmat Allah swt. Allah swt pasti akan memakbulkan doa orang-orang Mukmin yang sejati.

Wallahu’alam




19 November 2012

4.21 KISAH PERTEMPURAN THALUT MELAWAN JALUT (al-Baqarah 246 – 252)


Peristiwa ini berlaku sewaktu pimpinan Bani Israil, yakni selepas kewafatan Nabi Musa a.s. Bani Israil adalah suatu kaum yang mempunyai ramai nabi-nabi, di dalam sejarah mereka yang panjang.

Pada suatu ketika, para pembesar dan cerdik pandai Bani Israil telah berkumpul dan menemui nabi mereka (tidak disebut nama nabi itu di dalam al-Qur’an) supaya dapat melantik seorang raja/pemimpin yang dapat menentang Jalut dalam peperangan fi sabilillah.

“Apakah tidak kamu melihat kepada pemimpin-pemimpin dari Bani Israil selepas Musa wafat, ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka: Angkatlah untuk kami seorang raja agar kami dapat berperang fi Sabilillah” – al-Baqarah:246

Permintaan untuk perang Fi Sabilillah ini menggambarkan seolah-olah timbul kesedaran keimanan di dalam jiwa mereka. Sekaligus menunjukkan mereka menganut agama Allah yang benar dan musuh mereka adalah bathil, sesat dan kafir.

Kemudian nabi mereka ingin memastikan sejauh manakah keazaman dan kekukuhan niat mereka untuk melaksanakan tugas berat ini. Juga ketaatan mereka kepada kata-kata seorang nabi sepertinya.

“Kata (nabi mereka); Apakah mungkin jika kamu diwajibkan berperang bahawa kamu tidak mahu berperang?” – al-Baqarah:246

Kebimbangan Nabi mereka adalah disebabkan jika dia bersetuju dengan permintaan tersebut, maka peperangan akan menjadi satu kefardhuan ke atas kaumnya. Adalah wajib bagi mereka taat kepada arahan nabi dengan tidak berbelah bagi.

Oleh kerana keghairahan dan semangat ingin berjuang melonjak-lonjak, mereka berkata;

“Mengapa kami tidak mahu berperang fi sabilillah, sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami dan (dipisahkan dari) anak-anak kami?” – QS al-Baqarah:246

Hati mereka bertekad bahawa satu-satunya jalan yang ada ialah berperang. Ini adalah kerana mereka telah diusir dari kampung halaman dan anak-anak mereka telah ditawan.
Malangnya apabila peperangan benar-benar diarahkan, ramai yang mula berdolak-dalih, cuba mengingkari janji, tidak lagi taat kepada nabi mereka, mula berpecah-belah dan berpaling dari kebenaran. Inilah sifat-sifat buruk Bani Israil sejak dahulu lagi.

“Maka apabila peperangan telah diwajibkan ke atas mereka, mereka berpaling darinya kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Dan Allah itu Maha Mengetahui terhadap orang-orang yang zalim.” QS- al-Baqarah:246

Allah swt mengecam mereka yang berpaling dari kewajipan berjihad (perang). Bukan sahaja mereka telah menzalimi diri mereka sendiri, malah mereka telah menzalimi nabi mereka dan menzalimi perjuangan yang benar.

Kemudian nabi mereka mengkhabarkan kepada mereka;

“Allah telah mengangkatkan Thalut sebagai raja kamu.” QS-al-Baqarah:247

Mendengarkan demikian, ada lagi pula yang mula membantah. Mereka merasakan bahawa Thalut tidak layak menjadi raja mereka kerana dia tidak setaraf dengan mereka. Malah Thalut adalah seorang yang miskin. Oleh itu dia tidak berhak menerima warisan sebagai seorang raja. Mereka telah berkata kepada nabi mereka itu;

“Bagaimana Thalut diberi kuasa memerintah kami sedangkan kami lebih berhak darinya memegang kuasa pemerintahan itu, lagi pula dia tidak diberikan harta kekayaan yang luas?” QS- al-Baqarah:247

Nabi mereka menjawab;

“Sesungguhnya Allah telah memilihnya untuk memerintah kamu dan Dia telah menambahkan kepadanya keluasan ilmu pengetahuan dan keperkasaan tubuh badan dan Allah mengurniakan kuasa pemerintahan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.” QS- al-Baqarah:247

Nabi mereka menjelaskan bahawa Thalut adalah seorang yang dipilih oleh Allah, mempunyai kelebihan ilmu pengetahuan, mempunyai kekuatan jasmani dan yakinlah bahawa Allah swt lebih mengetahui siapakah yang lebih layak memikul tugas raja ini.
Demi meyakinkan hati-hati mereka, mereka ingin melihat suatu mu’jizat secara zahir yang membuktikan bahawa Thalut adalah pilihan Allah swt. Ini juga satu sifat buruk yang selalu dimiliki oleh Bani Israil.

Kemudian nabi mereka berkata;

“Sesungguhnya tanda kelayakannya menjadi raja ialah datangnya Tabut kepada kamu yang mengandungi ketenteraman dari Tuhan kamu dan sisa-sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun dibawa oleh para malaikat. Sesungguhnya kejadian itu sebagai tanda kepada kamu jika kamu benar orang-orang yang beriman.” QS-al-Baqarah:248

Selepas kewafatan Nabi Musa a.s di al-Tiih, Nabi Yusya’ bin Nun bersama Bani Israil keluar dari al-Tiih menuju ke Baitul-Maqdis. Mereka berjaya menakluki Baitul-Maqdis dan merampas harta rampasan termasuk peninggalan-peninggalan suci mereka iaitu sebuah peti atau Tabut yang mengandungi barang-barang peninggalan para ambia’ dari keluarga Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s. Menurut satu riwayat peti itu mengandungi naskah loh-loh Taurat yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s di atas bukit Tursina. Inilah Mu’jizat yang akan mereka lihat, ia dibawa oleh para malaikat dan hati mereka akan merasa tenang dan tenteram olehnya. Mu’jizat ini telah berjaya meyakinkan kaum Bani Israil.

Seterusnya, Thalut mempersiapkan tenteranya yang masih tinggal dan membawa mereka ke medan perang seraya berkata;

“Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebuah sungai. Sesiapa yang minum dari sungai itu, maka dia bukan dari pengikutku kecuali orang yang mencedok secedok dengan tangannya. Lalu mereka minum air sungai itu kecuali sedikit sahaja dari mereka.” QS al-Baqarah:249

Ternyata tentera-tenteranya teruji dengan kesabaran, kepatuhan kepada ketua dan kesanggupan menghadapi kesusahan dalam memikul tugas. Ujian demi ujian mereka tempuhi, akhirnya hanya sedikit dari kalangan mereka yang berjaya. Kebanyakan daripada mereka telah meminum air sungai dengan sepuas-puasnya dan menyerah kalah untuk tidak terus berjuang.

Ujian-ujian ini telah dapat menapis keimanan angkatan tentera Thalut;

“Dan apabila Thalut dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya menyeberangi sungai itu, mereka pun berkata: Kami tidak mempunyai tenaga kekuatan lagi pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentera-tenteranya.” QS al-Baqarah:249

Kini Thalut bersama dengan tenteranya yang beriman, namun sebahagian daripada mereka mula berasa gentar apabila melihat tentera Jalut yang ramai bilangannya. Keimanan mereka masih belum sempurna kerana mereka lupa dengan kekuasaan Allah swt yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Manakala kumpulan kecil Mukmin yang sejati berkata;

“Lalu berkatalah orang-orang yang yakin bahawa mereka akan tetap menemui Allah: Berapa banyak peristiwa kumpulan yang sedikit telah mengalahkan kumpulan yang banyak dengan keizinan Allah, dan Allah itu bersama-sama orang-orang yang sabar.” QS al-Baqarah:249

Kemenangan pasti akan dicapai oleh mereka yang berhubung rapat dengan sumber kekuatan yang tiada tolok bandingnya lagi iaitu kekuatan dari Allah swt yang menguasai segala urusan. Kemenangan diserahkan kepada Allah swt; Dengan keizinan Allah, dan Allah itu bersama-sama orang-orang yang sabar.”

Mereka juga memperbaharui janji mereka dengan Allah swt dan bertawajjuh kepada-Nya dengan hati mereka. Mereka juga memohon pertolongan dan kemenangan dalam menghadapi peperangan ini.

“Dan apabila (mereka yang beriman) keluar menentang Jalut dan tenteranya mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Curahkanlah kesabaran ke atas kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami mengalahkan kaum yang kafir.” QS al-Baqarah:250

Inilah doa yang tulus ikhlas kepada Allah swt. Oleh yang demikian Allah swt telah mencurahkan kesabaran keatas mereka dan membuatkan mereka diselubungi dengan ketenangan, ketenteraman dan ketabahan menghadapi kesusahan. Apabila Allah swt meneguhkan pendirian mereka, maka ia tidak akan bergoncang lagi.

“Lalu mereka mengalahkan musuh mereka dengan keizinan Allah dan Daud telah membunuh Jalut dan Allah mengurniakan kepadanya kerajaan dan hikmat dan mengajarkan kepadanya sebahagian dari ilmu yang dikehendaki-Nya.” QS al-Baqarah:251

Kemenangan adalah milik Allah swt. Anugerah ini adalah untuk Mukmin kesayangan-Nya yang melaksanakan kehendak-Nya dengan tiada kepentingan diri sendiri. Niat yang baik dan keazaman yang kukuh untuk terus taat dan bertawajjuh kepada Yang Esa dengan penuh keikhlasan.

Nabi Daud a.s ketika itu adalah seorang anak muda Bani Israil yang masih belia, sedangkan Jalut adalah seorang raja yang gagah perkasa dan seorang panglima perang yang sangat ditakuti. Namun urusan hidup tidak berlangsung mengikut keadaan-keadaannya yang lahiriyah tetapi ia berlangsung mengikut hakikat-hakikatnya yang berada di tangan Allah swt.
Kematian Jalut kelihatan sangat mudah ditangan Nabi Daud a.s. Malah baginda telah menerima teraju pemerintahan daripada Thalut. Kemudian mewariskannya kepada putera beliau iaitu Nabi Sulaiman a.s. Zaman Nabi Daud a.s adalah zaman keemasan bagi Bani Israil.

Di dalam masa yang sama, Nabi Daud a.s diangkat sebagai seorang nabi. Allah swt telah mengajarkan beliau ilmu pertukangan membuat baju besi dan alat-alat perang.

Tujuan sebenar pertarungan ini ialah untuk mewujudkan kebaikan di bumi dan menguatkannya melawan kejahatan dan pencerobohan.

“Dan andainya Allah tidak menolak pencerobohan setengah yang lain tentulah bumi menjadi rosak, tetapi Allah mempunyai limpah kurnia ke atas semesta alam.” QS al-Baqarah:251

Allah swt mengakhiri kisah ini dengan firman-Nya;

“Itulah ayat-ayat Allah yang Kami bacakannya kepadamu dengan membawa kebenaran dan sesungguhnya engkau adalah dari nabi-nabi yang diutuskan(Allah).” QS al-Baqarah:252

Kisah ini adalah kisah benar. Allah swt sendiri yang membacakannya sebagai pedoman kepada Rasulullah saw dan umatnya terhadap umat yang terdahulu.


Pengajaran yang boleh diambil:


1.    Bani Israil biasanya mempunyai sifat yang suka memungkiri janji, mengelak dari ketaatan, enggan melaksanakan tugas, berpecah-belah dan berpaling dari kebenaran yang jelas. Sifat-sifat ini hendaklah dijauhi oleh orang-orang Islam. Untuk mengubahnya memerlukan tarbiyah yang berkesan dan memakan masa yang agak lama.

2.    Orang yang berpaling dari perjuangan dan enggan memikul tugas kebenaran untuk menentang kebathilan adalah termasuk di dalam golongan yang zalim.

3.    Di dalam ketenteraan, orang yang tidak tahan diuji dan cepat mengalah dengan kesusahan adalah orang-orang yang patut dikeluarkan dari barisan perjuangan kerana mereka merupakan benih-benih kelemahan dan kekalahan.

4.    Berniat berjuang Fi Sabilillah sahaja tidak mencukupi. Ia akan teruji secara amali/praktikal.

5.    Kemenangan yang hakiki adalah melalui kekuatan aqidah dan iradat Ilahi. Bukannya tertakluk kepada kekuatan kebendaan dan majoriti.

6.    Hubungan jiwa dengan Allah swt perlulah tinggi dan ikhlas. Ini dapat direalisasikan melalui doa-doa yang mathur.

7.    Kepimpinan hanya akan diberi kepada seorang Mukmin yang sejati, taat dan patuh terhadap kehendak Sang Pencipta yang memiliki segala urusan di langit dan di bumi.

 
Wallahu’alam

15 November 2012

4.20 PERISTIWA PERALIHAN QIBLAT( Al-Baqarah:142-152)


Peralihan qiblat telah berlaku sebanyak dua kali.
1.    Peralihan dari Ka’abah ke Masjidil Aqsa
2.    Peralihan semula dari Masjidil Aqsa ke Ka’abah.
Peristiwa ini berlaku pada zaman Madinah. Merujuk kepada Fi Zilalil Qur’an, menyatakan tiada riwayat yang qat’i mengenai peristiwa peralihan qiblat dari Ka’abah ke Masjidil Aqsa dan tiada satu ayat yang menerangkan sejarah peralihan ini secara terperinci.
Namun daripada riwayat-riwayat yang ada, dapatlah dibuat kesimpulan secara umum; selepas Hijrah kaum Muslimin mengarahkan qiblat mereka ke Baitul Maqdis dengan perintah Ilahi kepada Rasulullah saw. Perintah ini kuat dipercayai bukanlah perintah menerusi al-Qur’an. Kemudian ayat 144 dari surah al-Baqarah telah memansukhkan perintah ini.
Setengah riwayat menyatakan perubahan ini adalah hasil pujukan segolongan Kaum Yahudi kepada Rasulullah saw dengan alasan bahawa kota itu adalah suatu tanah suci yang telah disediakan oleh Allah bagi tempat kediaman para Rasul-Nya; “Maka jika engkau itu benar-benar seorang Rasul Tuhan, wahai Muhammad, hendaklah engkau berdiam di tanah suci itu, menurut jejak para Rasul Tuhan yang terdahulu daripada engkau.”
Sebelum kelahiran Rasulullah saw, nabi-nabi tinggal di rumah ibadat di Baitul-Maqdis.
Justeru itu, Rasulullah saw hanya menghadap mukanya ke Baitul-Maqdis ketika solat dengan keizinan Allah swt bebanding terus tinggal di sana.


Keadaan awal Madinah(Yastrib)
Sebelum kedatangan Rasulullah saw, Madinah dan penduduk di sekitarnya terutama dua kaum majoriti di situ iaitu kaum Aus dan kaum Khazraj menguasai perkampungan Madinah. Malangnya mereka  sering bertelingkah dan berperang antara satu sama. Ada riwayat menyatakan, walaupun pertelingkahan mereka berlangsung lebih kurang 120 tahun lamanya, namun tiada penyelesaian.
Kaum Yahudi pula terbahagi kepada tiga golongan iaitu Banu Quraidhah, Banu Nadhir dan Banu Qainuqa’. Walaupun pada peringkat awal mereka hanya menumpang di Madinah, oleh kerana kecerdikan dan kekayaan harta, mereka dapat mempengaruhi penduduk Madinah.
Kaum Khazraj telah mendapat bantuan daripada kaum Yahudi Banu Nadhir dan Qainuqa’. Manakala kaum Aus mendapat bantuan daripada kaum Yahudi Banu Quraidhah.  
Selepas kedatangan Islam, kaum Aus dan Khazraj mula bersatu. Kepimpinan Islam mula berkembang luas dan sukar dibendung lagi. Oleh itu, ketiga-tiga golongan kaum Yahudi mula bersatu dan cuba menghalangi pengaruh Islam yang cepat tersebar. Menyedari tindakan orang-orang Yahudi ini, Rasulullah saw membuat satu perjanjian damai dengan mereka supaya dapat sama-sama hidup dengan aman walaupun berlainan pegangan.
Walaupun perjanjian itu disambut baik, tetapi secara diam-diam kaum Yahudi dan kaum munafiq memusuhi Islam. Kaum Yahudi memusuhi Islam kerana kedengkian. Mereka bimbang tipu daya mereka dalam beragama akan terbongkar. Mereka bimbang pengaruh dan kependetaan mereka lenyap. Lalu  mereka mengejek dan mencerca Rasulullah saw dan pengikut baginda. Malah mereka sanggup mengubah kitab Taurat untuk kepentingan hujjah mereka.
Tambahan lagi,disebalik perdamaian yang diterima oleh kaum Yahudi, mereka sebenarnya berhasrat kaum Muslimin dapat bersama mereka menentang kerajaan Nasrani yang telah berkuasa di Baitul-Maqdis dan telah menghalau mereka dari kota suci itu. Namun sia-sia, malah kerajaan Islam telah mendahului pengaruhnya berbanding kerajaan Nasrani. Oleh itu mereka telah melanggar perjanjian damai ini. Sebaliknya memusuhi Islam secara terang-terangan dengan apa cara sekalipun demi mengembalikan aqidah orang Islam kepada agama mereka.
Manakala kaum munafiq  dari golongan Khazraj pula memusuhi Islam kerana sakit hati disebabkan tidak dapat menjadi pemimpin utama di Madinah. Islam tampak menyerlah dan mereka mula ditinggalkan.
Dalam pada permasalahan kaum Yahudi dan kaum Munafiq berkecamuk membebani Rasulullah saw, datang pula kumpulan Nasrani Najran ke Madinah untuk mengambil kesempatan meluaskan pengaruh mereka di Jazirah Arab. Mereka telah datang kepada Nabi saw seramai 60 orang dengan berpakaian mewah dan membawa hadiah-hadiah seperti karpet berbulu dari Yamen. Mereka telah mempersoalkan ketuhanan Nabi ‘Isa a.s. Masing-masing mempertahankan kepercayaan mereka bahawa Nabi ‘Isa a.s itu putera Tuhan dan terdapat tiga Tuhan.

Perubahan qiblat dan fitnah yang dihadapi.

Persoalan mengadap qiblat kearah Baitul-Maqdis, iaitu qiblat bagi kaum Yahudi dan Nasara telah menjadi punca alasan kepada kaum Yahudi untuk menolak kemasukan mereka ke dalam agama Islam kerana orang Islam telah mengiktiraf qiblat mereka. Ini menunjukkan bahawa agama mereka adalah benar. Qiblat mereka adalah yang sebenar dan merekalah yang asal. Orang Islam sepatutnya berpegang kepada agama mereka. Inilah hujjah mereka untuk meragu-ragukan pengikut Nabi Muhammad saw dan penduduk sekitarnya.
Bagi kaum Muslimin pula, perubahan ini adalah suatu yang sangat sukar bagi mereka. Sejak dilahirkan mereka memuliakan Baitullah dan berqiblatkannya. Ditambah lagi dengan hujjah kaum Yahudi yang meragukan itu.
Oleh yang demikian, Rasulullah saw seringkali menengadah mukanya ke langit bertawajjuh kepada Allah tanpa sepatah kata kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah swt dan menunggu arahan-Nya yang menyukakan baginda.
Kemudian turunlah ayat al-Baqarah:144
“Sesungguhnya Kami melihat engkau kerapkali menengadah mukamu ke langit, dan sesungguhnya Kami berkenan memalingkanmu kearah qiblat yang disukaimu. Oleh itu hadapilah mukamu kearah Masjidil-Haram, dan di mana sahaja kamu berada, maka halakanlah muka kamu ke arahnya.”
Peristiwa ini berlaku di dalam bulan yang ke 16 atau ke 17 Hijrah. Menurut riwayat yang masyhur, ketika itu Nabi saw sedang mengerjakan solat ‘Asar bersama sahabat-sahabatnya. Dan ketika itu juga Nabi saw memalingkan mukanya ke Baitullah. Sekalian sahabat-sahabat yang menjadi ma’mum ketika itupun lalu ikut apa yang dilakukan oleh Nabi saw.
Sekali lagi kaum Yahudi di Madinah, kaum Munafiqun dan kaum Musyrikin di Makkah gempar dan menabur fitnah. Kaum Yahudi sebenarnya terasa terkilan dengan pertukaran semula qiblat ini kerana tiada lagi hujjah kukuh yang selama ini menjadi alasan mereka dalam menunjukkan keangkuhan dan kesombongan mereka. Pendeta Yahudi telah datang berjumpa dengan Rasulullah saw seraya berkata;
“Ya Muhammad, mengapa engkau sekarang pindah qiblat yang telah engkau hadapi, padahal engkau katanya seorang nabi yang mengikut agama Nabi Ibrahim? Tetapi sekarang terbukti menyalahi qiblat Nabi Ibrahim dan nabi-nabi dari Bani Israil dahulu, maka dari itu kembalilah menghadap ke Baitul-Maqdis, nanti kita akan mengikut dan membenarkan seruanmu.”
Kaum Musyrikin di Makkah pula berkata;
“Muhammad ini memang selamanya tidak mempunyai pendirian yang tetap. Nanti dia kembali semula berqiblatkan Baitul-Maqdis. Siapa yang ikut dia adalah orang yang bodoh.”
Kaum Munafiqun berkata;
“Kalau qiblat yang dihadapi oleh Muhammad yang dulu itu benar, maka qiblat yang sekarang ini salah. Jika qiblat yang dahulu itu salah, maka qiblat yang sekarang ini yang benar. Tetapi mengapa dia tidak menyatakan yang sebenarnya kepada kita?”
Kaum Yahudi menimbulkan lagi keraguan kepada kaum Muslimin dengan kata-kata;
“ Jika menghala ke qiblat Baitul-Maqdis tidak itu tidak sah, maka solat kamu di sepanjang masa ini tentulah sia-sia sahaja. Dan jika penghalaan ke qiblat Baitul-Maqdis itu benar, maka penghalaan yang baru ke Masjidil-Haram itu adalah tidak benar dan ia akan menghilangkan pahala segala solat kamu yang menghadap ke arahnya.”
Mereka berkata lagi; “ Pemansukhan dan perubahan perintah-perintah atau ayat-ayat itu tidak sekali-kali terbit dari Allah. Inilah bukti bahawa Muhammad tidak menerima wahyu dari Allah.”
Penghinaan semua ini dijawab oleh Allah swt dengan berfirman;
“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus. (142) Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayat” –QS al-Baqarah:142-143
Kemudian, pada suatu ketika Nabi saw mendapat pertanyaan dari sebahagian sahabat-sahabatnya;
“Ya Rasulullah bagaimana hukum mereka(sahabat-sahabat) yang telah meninggal lebih dahulu sebelum terjadi pindah semula qiblat ini? Apakah amal mereka yang sudah-sudah diterima oleh Allah?”
Pada waktu itu Rasulullah saw tidak memberi jawapan atas pertanyaan mereka tadi, kemudian Allah swt menurunkan wahyu-Nya;
“Dan tidaklah Allah akan menyia-nyiakan iman kamu, kerana sesungguhnya Allah itu pada manusia Penyayang lagi Pengasih.” – QS al-Baqarah:143


Pengajaran daripada peristiwa ini:
1.    Peristiwa ini merupakan satu peristiwa yang besar di dalam sejarah pertumbuhan jama’ah Muslimin dan ia mempunyai kesan yang besar di dalam kehidupan mereka.


2.    Arah atau tempat menghadap untuk solat itu hanyalah lambang-lambang kelainan dan pengkhususan. Kelainan dan khusus dalam pemikiran, kefahaman, sahsiah, matlamat , minat, cita-cita dan identiti.


3.    Allah swt inginkan Baitullah sebagai rumah suci Allah, bukan rumah suci bagi orang-orang Arab yang ditokok tambah sifat dan cirinya. Maka berlaku penyucian hati dan matlamat bagi kaum Muslimin dengan peristiwa ini.


4.    Perubahan qiblat yang pertama, dari Ka’abah ke Masjidil-Aqsa adalah suatu pendidikan yang ditunjukkan oleh sepotong ayat;


    (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya)” – QS al-Baqarah:143  


Orang Arab sentiasa memuliakan Baitullah di zaman Jahiliyah. Ia adalah lambang kemuliaan bangsa mereka. Dengan peristiwa ini, Allah swt ingin membersihkan hati mereka supaya bulat kepada Allah semata-mata. Bersih dari kemegahan perkauman dan semangat fanatik bangsa. Menghilangkan penyakit asobiyah Jahiliyah. 


5.    Apabila perintah kembali berqiblatkan Baitullah, ini mematahkan hujjah kaum Yahudi tentang kebenaran mereka. Umat Musliminlah yang menjadi pewaris janji Allah dengan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.


6.    Peristiwa ini sebagai peringatan kepada Rasulullah saw dan umat Islam keseluruhannya supaya jangan sekali-kali mengikuti kemauan kaum Yahudi dan Nasara dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan pemikiran mereka yang menarik. Bahkan tidak usah menaruh harapan kepada mereka untuk beriman dan mengikut agama Islam. Sesungguhnya mereka sudah mengakui kebenaran Nabi Muhammad saw tetapi memang sengaja mereka ingkar.


“Dan demi jika engkau datangkan pada orang-orang yang telah diberi Kitab dengan tiap-tiap keterangan, niscaya mereka tidak juga mengikut qiblat engkau, dan engkau pun tidak akan mengikut qiblat mereka; dan tidak pula sebahagian mereka akan mengikut qiblat sebahagian yang lain. Dan demi jika engkau mengikut kemauan mereka itu, sesudah datang kepada engkau ilmu pengetahuan, sesungguhnya engkau seketika itu termasuk daripada golongan orang-orang yang menganiaya.” – QS al-Baqarah:145


7.    Kaum Muslimin mestilah sentiasa berwaspada terhadap gerak-geri dan langkah-langkah mereka terhadap kelicikan mereka memutar belitkan ayat-ayat Allah swt. Mereka mempunyai sifat-sifat munafiq.


Apakah kamu berangan-angan bahawa mereka akan beriman kepada kamu, sedangkan segolongan dari mereka telah pun mendengar kalam Allah kemudian mereka ubahkannya setelah mereka memahaminya, sedangkan mereka tahu.” – QS al-Baqarah:75


8.    Dakwah Islam bukanlah dakwah fanatik. Sebaliknya ia memperjuangkan kesatuan umat di atas asas Islam semata-mata untuk kebaikan dan kebenaran.


9.    Umat Islam mestilah menunjukkan identiti sendiri. Qiblat yang tersendiri, sahsiah yang tersendiri, mempunyai keistimewaan dan tidak perlu mematuhi sesiapa kecuali kepada Allah swt yang telah memilih mereka sebagai khalifah.

“Selamanya kaum Yahudi dan kaum Nasrani tidak akan berpuas hati sehingga engkau mengikut agama mereka. Katakanlah; Sesungguhnya hidayat Allah itulah hidayat yang sebenar. Jika engkau mengikut kehendak nafsu mereka setelah datang kepadamu ilmu yang sebenar, maka tiada lagi pelindung dan penolong yang dapat menyelamatkan engkau dari ‘azab Allah.” – QS al-Baqarah:120


Wallahu’alam