“Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat manusia jauh lebih mulia dari segala penghargaan dan penilaian terhadap mereka yang dikenali mereka dahulu dan kemudiannya” ….. Sayyid Qutb.
Marilah kita berfikir sejenak dari segi aspek manakah bahawa manusia itu mulia atau hina? Apakah neraca yang digunakan?
Kemuliaan manusia boleh dilihat dari dua aspek. Pertama ialah ketika manusia itu dicipta dan sifat-sifat yang ada padanya. Dan yang ke-dua ialah ukuran kemuliaan di dunia ini.
Kemuliaan manusia mengikut al-Qur’an
Manusia mendapat kedudukan yang istimewa di sisi Allah. Dimuliakan Allah dalam bentuk asal penciptaan sebagai makhluk yang terbaik (ahsan taqwim). Firman Allah dalam surah at-Tin (95:4)
“Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa bentuk”
Dari ayat ini jelas ternyata betapa besarnya perhatian Allah terhadap manusia. Sejak awal lagi ia diciptakan dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Setiap kejadian itu diciptakan Allah dengan sebaik-baiknya, tetapi menyebut secara khusus bahawa manusia itu dijadikan dengan sebaik-baik susunan dan bentuk rupa, menunjukkan bahawa Allah memberi perhatian dan `inayah yang lebih besar terhadap makhluk manusia.
Penghormatan Allah terhadap makhluk insan dengan memuliakannya melebihi makhluk-makhluk Allah yang lain dapat dilihat dengan cara penciptaan yang menggabungkan unsur tanah dan tiupan roh. Kejadian manusia mengumpulkan di antara unsur bumi dan langit.
Allah telah memuliakan manusia dengan berbagai-bagai bakat kebolehan yang diletakkan di dalam fitrahnya, iaitu bakat-bakat kebolehan yang melayakkannya memegang teraju khalifah di bumi, di mana dia dapat mengubah, menyusun, mencipta dll hingga mampu mentadbir muka bumi ini.
Allah telah memuliakan manusia dengan menundukkan tenaga-tenaga alam di bumi kepadanya dan membekalnya dengan bantuan tenaga-tenaga alam di langit seperti matahari dan bintang.
Allah telah memuliakan manusia dengan sambutan agung alam al-wujud dan dengan para malaikat yang sujud (memberi penghormatan) kepadanya dan disinilah Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Mulia mengumumkan penghormatan kepada makhluk insan ini.
Firman Allah dalam Surah al-Isra’ (17:70)
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan keturunan Adam dan Kami mengangkutkan mereka (dengan aneka kenderaan) di darat dan di laut dan Kami kurniakan kepada mereka rezeki-rezeki yang baik Kami lebihkan mereka dengan kelebihan-kelebihan (yang istimewa) dari kebanyakan makhluk-makhluk lain yang telah Kami ciptakan”
Ukuran kemuliaan di dunia
Pada kebiasaannya persoalan kemuliaan atau kehormatan seseorang manusia adalah relatif kepada perkara yang dapat dilihat. Kekuasaan, jawatan dan pangkat, kekayaan, bangsa dan keturunan, kepandaian ilmiah, kebolehan dalam sesuatu bidang, malah ada yang menilainya dari segi kekuatan, ketampanan dan kecantikan.
Manusia meletak harga dan nilai pada diri mereka; persoalannya adakah ia menepati kehendak Allah. Bila ditimbang dengan neraca al-Qur’an, maka terserlah cacat-celanya, seolah-olah manusia tidak mengenali diri mereka. Al-Qur’an ingin `brainwash’ kita bahawa neraca di atas hanya berguna jika diikat dengan tali aqidah. Kekuatan, kekuasaan, kekayaan dan kebijaksanaan adalah perlu bagi membantu tugas khalifah memakmurkan bumi ini dengan jalan ilahi. Jika sebaliknya, maka kemuliaan yang ada hanya bersifat sementara, menimbulkan penyakit hati, menjauhkan diri dari Rahmat dan Berkat Allah, dan tidak dapat menolong kita di akhirat. Malah di dunia lagi akan mendapat balasan dari Allah. Allah menceritakan kisah-kisah berikut sebagai peringatan kepada hamba-hamba-Nya
Jika hanya harta menjadi ukuran kemuliaan, maka Qarun adalah lebih kaya dan dibenamkan di dalam bumi. Surah al-Qasos (28:81)
Jika hanya kekuasaan penanda aras kemuliaan, maka lihatlah apa yang berlaku pada Firaun. Mati denga hina dan tenggelam dalam lautan.
Jika hanya keturunan sebagai tanda kemuliaan, ada satu surah berkenaan bapa saudara Nabi Muhammad saw iaitu surah al-Lahab.
Jika hanya berpandu kepada kekuatan, akal dan daya ilmiah, maka kaum-kaum nabi sebelumnya yang gagah perkasa dimusnahkan. Apa pula pandangan kita kepada bangsa Yahudi yang terkenal dengan kebijaksanaannya, banyak hadiah nobel; tetapi merekalah kaum yang hina disisi Allah.
Apakah penanda aras kemuliaan manusia dari neraca al-Qur’an ? Surah al-Hujurat (49:13)
“…. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu…”
Orang yang mulia yang sebenar ialah orang yang mulia di sisi Allah. Dia-lah yang menilai manusia menurut ilmu-Nya yang maha mendalam tentang nilai-nilai dan ukuran-ukuran. Hanya nilai taqwa satu-satunya yang menjadi asas rujukan. Kekuasaan, kekayaan, kekuatan, kebijaksanaan, kemurahan hati tanpa ikatan aqidah dan taqwa adalah sia-sia.
Manusia yang ingin mendapat kemulian dari Allah hendaklah menjunjung Uluhiyah Allah dan berlumba-lumba untuk berdiri di bawah kibaran panji-panji taqwa. Hendaklah dia berusaha untuk memahamkan ad-din; merasai dan beramal dengan ad-din; bermujahadah dan istiqamah; bermunajat dan berdoa kepada Allah; dan juga meninggalkan perkara-perkara yang meragukan (hendaklah membaca bab taqwa untuk penjelasan lebih mendalam).
Inilah tasawwur al-Qur’an tentang kemuliaan manusia. Adakah kita merasainya ?
Berusahalah untuk mengasimilasikan semua potensi yang ada pada diri kita dengan keimanan dan amal soleh, agar usia kita menjadi berkat dan mendapat pahala yang berterusan. Sebaliknya, jika kita masih dibuai mimpi dan disuntik dengan virus jahiliyah maka ingatlah, Allah akan mengembalikan kita ke tingkat yang sebawah-bawahnya. Firman Allah surah at-Tin (95:4-6)
“Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa bentuk(4). Kemudian Kami kembalikannya ke tingkat yang sebawah-bawahnya (5). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, maka untuk mereka disediakan pahala yang tiada putus (6)”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan