08 Jun 2011

3.6 HARAKAT MANUSIA DAN ALAM BUANA

"Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an. Di sana aku dapat merasa adanya keseimbangan yang indah (at-tanasuq al-jamil) di antara harakat manusia seperti yang dikehendaki Allah dengan harakat alam buana yang diciptakan Allah …….. " Sayyid Qutb

1.0 Keseimbangan harakat manusia dan alam buana


Kita telahpun membincangkan bahawa Allah telah menjadikan alam al-wujud untuk faedah dan kegunaan manusia. Maha Suci Allah yang menjadikan undang-undang dan peraturan bumi dan langit sesuai dengan fitrah manusia. Jika ia bertentangan, sudah tentulah manusia tidak dapat hidup di bumi, apatah lagi mengambil manfaat darinya. Kita tidak akan dapat hidup walaupun sesaat.

Keseimbangan di antara alam ini dengan manusia bolehlah diibaratkan seperti sebuah jam yang terdapat banyak `gear' dan roda. Semuanya berputar mengikut kelajuan masing-masing. Jika salah satu rodanya rosak, maka roda-roda yang lain akan terhenti dengan sendirinya dan sama juga jika roda yang paling kecil berputar lebih laju dari biasa, jam itupun akan dianggap rosak juga kerana tidak lagi memberi manfaat kepada tuan punya.

Begitulah juga manusia dan alam buana/semesta. Keseimbangan dan kesesuaian pada kedua-duanya membolehkan manusia hidup. Subhanallah….. Udara yang disedut bersesuaian dengan fisiologi sistem pernafasan; air yang diminum mengimbangkan homeostasis badan, makanan dari tumbuh-tumbuhan dan haiwan ternakan memberikan tenaga dan zat yang diperlukan. Apakah pula tanda kesyukuran kita atas nikmat ini?

Allah juga telah mengurniakan akal dan memberikan kefahaman kepada manusia ini, sesuai dengan tugasnya menjadi khalifah. Mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan yang ada untuk meneroka alam bumi dan langit untuk pelbagai kegunaan.

Firman Allah Surah Al-Haj 22:65
أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡفُلۡكَ تَجۡرِى فِى ٱلۡبَحۡرِ بِأَمۡرِهِۦ وَيُمۡسِكُ ٱلسَّمَآءَ أَن تَقَعَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦۤ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٦٥)
“Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah menundukkan kepada kamu segala apa yang ada di bumi dan kapal-kapal yang belayar di dalam lautan dengan perintah-Nya, dan Dialah yang menahan langit dari jatuh ke atas bumi melainkan dengan izin-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang dan Maha Pengasih terhadap manusia”

Allah telah menciptakan undang-undang yang membolehkan kapal-kapal itu belayar di dalam lautan dan Dia telah mengajar manusia bagaimana hendak menemui undang-undang ini agar mereka dapat mengambil manfaatnya. Andainya tabiat lautan atau tabiat kapal itu bercanggah dengan kefahaman-kefahaman manusia, maka tiada pelayaran kapal akan berlaku.

Bagi mereka yang berfikir dan merenung dengan matahati, maka akan ternampaklah Qudrat Ilahi di sebalik sistem alam buana. Dalam ayat di atas, Allah swt “menahan langit dari jatuh ke atas bumi” melalui kuatkuasa undang-undang yang dicipta dan dikendalikan-Nya. “Melainkan dengan keizinan-Nya’ iaitu pada hari Allah mahu membatalkan undang-undang alam ini.


2.0 Kefahaman yang perlu ada.


Apakah yang patut kita fahami dengan keseimbangan dan kesesuaian harakat manusia dengan harakat alam buana / alam al-wujud ini ?

a. Kepatuhan alam buana terhadap Allah.


Alam buana seperti langit dan bumi, gunung-ganang, hari malam dan hari siang, matahari dan bulan; kesemuanya tunduk dan patuh kepada Allah. Segala sesuatu yang ada di dalam pemandangan ini bergerak dan melakukan gerakan ibadat; menyatakan ketaatan kepada Allah. Inilah disebut sebagai Islam Ijbari. Ketundukan yang dimestikan dan dipaksa, agar undang-undang alam buana ini berjalan dengan seimbang dengan harakat manusia.

Allah merakamkan dalam banyak ayat al-Qur’an tentang kepatuhan alam buana kepada Allah swt. Hatta bayang-bayang juga tunduk kepada Allah.

Surah an-nahl (16:48)
أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ إِلَىٰ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ مِن شَىۡءٍ۬ يَتَفَيَّؤُاْ ظِلَـٰلُهُ ۥ عَنِ ٱلۡيَمِينِ وَٱلشَّمَآٮِٕلِ سُجَّدً۬ا لِّلَّهِ وَهُمۡ دَٲخِرُونَ (٤٨)
“ Apakah tidak mereka memperhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah, yang mana bayang-bayangnya berbalik-balik ke kanan dan ke kiri kerana sujud kepada Allah dan mereka sentiasa merendahkan diri?"

Ayat ini mengungkapkan kepatuhan segala kejadian alam kepada undang-undang Allah dengan kata-kata sujud, yakni tunduk dan patuh kepada Allah.

b. Kesyukuran makhluk kepada Allah.


Seluruh Alam Buana menyatakan kepatuhannya dengan bertasbih memuji Allah. Mereka bertawajjuh kepada Allah dan bertasbih memuji-Nya. Mereka beriman kepada Allah swt.

Surah al-hadid (57:1)
سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ
“Segala makhluk yang ada di langit dan di bumi bertasbih memuji Allah. Dan Dialah Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana"

Surah Saba’(34:10)
۞ وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا دَاوُ ۥدَ مِنَّا فَضۡلاً۬ۖ يَـٰجِبَالُ أَوِّبِى مَعَهُ ۥ وَٱلطَّيۡرَۖ وَأَلَنَّا لَهُ ٱلۡحَدِيدَ (١٠
Hai gunung-ganang dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang kali bersama Daud

Surah al-Haj (22:18)
أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يَسۡجُدُ لَهُ ۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَن فِى ٱلۡأَرۡضِ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُ وَٱلنُّجُومُ وَٱلۡجِبَالُ وَٱلشَّجَرُ وَٱلدَّوَآبُّ وَڪَثِيرٌ۬ مِّنَ ٱلنَّاسِ‌ۖ .... (١٨)
Tidakkah engkau tahu bahawa Allah itu sujudnya segala penghuni langit dan penghuni bumi, matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok, binatang-binatang dan sebahagian ramai manusia.

Surah al-Isra (17:44)
تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيہِنَّ‌ۚ وَإِن مِّن شَىۡءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمۡدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِيحَهُمۡ‌ۗ إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورً۬ا (٤٤)
Tiada suatu makhluk pun melainkan semuanya bertasbih memuji-Nya tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka.


c. Allah adalah Rabb.


Allah-lah pemilik alam buana yang mutlak. Dia mentadbir seluruh urusan alam buana dan manusia; dan memastikan berlakunya keseimbangan di antara kedua-duanya. Tidaklah dapat dibayangkan bilamana alam buana ini diperintahkan untuk menyimpang dari peraturannya ketika hari kiamat kelak, natijahnya semua manusia akan hancur dan musnah.

Surah al-Qamar (54:49)
إِنَّا كُلَّ شَىۡءٍ خَلَقۡنَـٰهُ بِقَدَرٍ۬ (٤٩)
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan segala sesuatu dengan perencanaan yang rapi”

Surah Yunus (10:31)
"....وَمَن يُدَبِّرُ ٱلۡأَمۡرَ‌ۚ فَسَيَقُولُونَ ٱللَّهُ‌ۚ ....."
“…. Dan siapakah yang mentadbirkan segala urusan. Maka mereka menjawab Allah….. “

Kesatuan undang-undang yang mengendali dan mentadbirkan alam buana ini menunjukkan keesaan Tuhan Pencipta yang mentadbir dan keesaan Tuhan Pemilik.

Al-anbia (21:22)
لَوۡ كَانَ فِيہِمَآ ءَالِهَةٌ إِلَّا ٱللَّهُ لَفَسَدَتَا‌ۚ فَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلۡعَرۡشِ عَمَّا يَصِفُونَ (٢٢
“Andainya di langit dan di bumi itu ada tuhan-tuhan selain Allah nescaya kedua-duanya akan musnah binasa”


Seterusnya Sayyid Qutb berkata …

Kemudian aku melihat keadaan simpang-siur yang dialami oleh umat manusia yang telah menyimpang dan undang-undang alam buana (sunan kauniyyah). Aku dapat lihat juga percanggahan di antara pengajaran-pengajaran yang merosak dan jahat yang diajarkan kepada mereka dengan fitrah semulajadi mereka. Lalu aku berkata di dalam hatiku: Manakah syaitan yang jahat yang telah memimpin umat manusia ke Neraka ini


Apabila kita memahami bahawa seluruh alam buana ini Islam, tunduk dan patuh kepada Allah; juga bertasbih dan sujud kepada Pencipta-nya yakni Allah; serta menyedari bahawa Allah-lah yang Esa, yang mentadbir, mengendalikan agar berlaku kesimbangan harakat alam buana dan harakat manusia…….
Maka kenapakah masih ada manusia yang enggan, berdolak-dalik, tidak mahu patuh dan bersyukur kepada Allah?

Allah menempelak manusia dalam Surah aali-‘Imran (3:83)
أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُ ۥۤ أَسۡلَمَ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعً۬ا وَڪَرۡهً۬ا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ (٨٣
“Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, sedangkan seluruh penghuni langit dan bumi tunduk dan menyerah kepada-Nya baik secara sukarela mahupun secara terpaksa, dan kepada-Nya mereka sekelian dikembalikan.”.

Orang yang enggan mengikut agama Allah (ad-din) adalah ganjil dan pelik. Kenapakah mereka ingkar dan sombong sedangkan pendirian mereka terpisah dari pendirian seluruh makhluk di alam al-wujud ini. Mungkin mereka tidak tahu, tidak perasan, ataupun tidak mahu peduli. Leka dengan kenikmatan dunia yang sementara.

Sebagai khalifah, kita ada peranan untuk berusaha membuka kembali hati-hati yang telah tertutup dengan kebenaran. Ini adalah kerana manusia adalah berlainan dengan makluk-makhluk di alam al-wujud ini yang yang Islamnya secara ajbari, tetapi makhluk manusia dikurniakan kebebasan memilih untuk beriman atau kufur. Ini dinamakan sebagai Islam Ikhtiari. Dunia ini adalah ujian kepada manusia. Hidayah datang dari Allah tetapi kita diminta berusaha mendapatkannya.

Surah at-taghabun (64:2)
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُمۡ فَمِنكُمۡ ڪَافِرٌ۬ وَمِنكُم مُّؤۡمِنٌ۬‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ (٢
“ Dialah yang telah menciptakan kamu dan di antara kamu ada yang kafir dan di antara kamu pula ada yang Mu’min dan Allah Maha Melihat segala perbuatan yang dilakukan kamu”.

Ayat ini memberitahu kita bahawa seluruh urusan adalah bergantung kepada Allah. Manusia mempunyai pilihan untuk taat atau sebaliknya; dan Allah-lah memberi hidayat kepada mereka yang bersungguh-sungguh mencari hidayat. Proses mencari Hidayah hendaklah diusahakan … membaca, belajar dan bertanya, duduk bersama ustaz, memohon doa, beristiqomah dalam ibadat (dalam konteks yang luas) dll. Di dalam dunia yang sistem komunikasinya sudah jauh lebih maju berbanding zaman Rasululullah, tiada alasan untuk kita tidak mengetahui kebenaran Islam.

Mereka yang tidak menjumpai Islam/Iman adalah mereka yang telah menutup pintu pintu hati dan penglihatan mereka. Mereka tidak memerhati dan memikirkan keindahan makhluk-makhluk ciptaan Allah dan tidak memikirkan rahsia-rahsia alam dan bukti kekuasaan Allah. Apabila seseorang itu sengaja membutakan matanya dari melihat semua kejadian ini, maka Allah akan membiarkannya terus buta.

Ingatlah, natijah dari pilihan yang diambil, akan mendapat pembalasan yang setimpal dari Allah. Boleh berlaku ketika dunia lagi, malah sudah semestinya ketika di akhirat kelak.

Surah Ar-Rum (30:41)
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِى عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ (٤١)
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Sesungguhnya terdapat pelbagai magnitud kesombongan manusia kepada Allah. Ada yang kufur; ada yang Islam tetapi lari dari tarbiyah Islam dan mempunyai sifat-sifat orang al-a’rab; dan ada juga Islam tetapi mengekalkan fikrah jahiliyah

Marilah kita berdoa agar ditetapkan dengan Hidayah Allah. Surah aali-‘Imran (3:8)
رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةً‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ (٨
“Wahai Tuhan Kami, Janganlah Engkau membiarkan hati kami menyeleweng dan sesat setelah Engkau memberi hidayat kepada kami dan kurniakan rahmat dari sisi-Mu"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan