`Aqidah Islam ialah tali pengikat umat Muslimin. Ia menonjolkan aspek `insaniyah manusia' yang berbeza dengan makhluk haiwan. Islam dengan sistem Rabbaninya tidak menjadikan darah sebagai hubungan, tidak pula bahasa dan negeri, tidak juga bangsa dan warna kulit ataupun kepentingan bersama. Keturunan, bangsa dan warna kulit semuanya telah ditentukan di dalam kehidupannya sebelum ia dilahirkan di dunia. Begitu juga dengan kelahirannya di negeri tertentu dan pertuturan bahasa.
Jika direnungkan betul-betul, haiwan juga mempunyai kesamaan diatas. Malah, haiwan menjadikan asas `territory' kawasan buruan dan padang ragut untuk menonjolkan puaknya. Jadi, dimanakah kemuliaan dan keistimewaan manusia jika kita juga menggunakan penanda aras yang sama seperti haiwan?
Al-qur'an memberitahu bahawa hubungan `aqidah membolehkan kita merasai tujuan kewujudan insan; kewujudan alam di sekeliling; nasib kesudahan dirinya dan kesudahan alam buana ini; serta kewujudan Allah swt. Inilah yang menjadi asas kepada hubungan seorang Muslim. Namun ia bergantung kepada roh dan daya kefahamannya terhadap Islam. Rasululllah saw menyatukan para sahabat atas dasar `aqidah. Kefahaman Islam memutuskan hubungan dan pertalian yang tidak ditegakkan di atas asas aqidah seperti hubungan asobiyah jahiliyah. `Aqidah membezakan di antara kaum Arab Musyrikin dan kaum Arab Muslimin. Begitu juga aqidah berlainan memutuskan hubungan suami dan isteri.
Landasan ikatan `aqidah menjadikan masyarakat Islam telah menjadi satu masyarakat yang terbuka kepada semua bangsa dan kaum, semua warna kulit, dan semua bahasa tanpa dihalangi oleh halangan-halangan haiwaniyah yang karut. Hubungan `aqidah juga merentasi perbatasan geografi. Kemantapan `aqidah masyarakat Islam membuatkan mereka tiada tujuan lain untuk hidup selain `aqidah itu. Matlamat, cara dan peraturan hidup, serta cita-citanya bergerak atas landasan `aqidah.
Atas hubungan `aqidah, segala ciri bangsa-bangsa manusia dan kebolehan-kebolehannya bercantum dan bersebati di dalam satu acuan hingga berjaya membentuk satu adunan yang terbaik dalam jangkamasa pendek sahaja. Adunan ini berjaya pula melahirkan satu tamadun Islam yang agung dan gemilang. Merangkumi saripati tenaga umat-umat manusia di seluruh zaman walaupun dipisahkan oleh jarak perjalanan yang jauh dan dihalangi oleh kesulitan komunikasi di zaman itu.
Di dalam masyarakat Islam yang cemerlang itu, terkumpul bangsa Arab, Parsi, Syam, Mesir, Maghribi, Turki, China, India, Rom, Greek, Afrika dan sebagainya dari pelbagai kaum dan bangsa. Mereka membentuk tamadun Islam; dan tamadun ini tidak pernah pun dikenali sebagai tamadun `Arab' malah selama-lamanya dikenali sebagai tamadun Islam dan tamadun `Aqidiyah'.
Rahsia kejayaan tamadun Islam adalah`aqidah Islam yang jitu. Mereka memahami bahawa tali ikatan fitrah manusia ialah tali ikatan `aqidah. Selama tali ikatan ini tidak tersimpul kukuh dari awal-awal lagi, maka selama itulah program akhlak, tarbiyah, reformasi dan pembangunan tamadun tidak dapat ditegakkan.
Langkah perubahan dan pembersihan keledak-keladak jahiliyah dimulakan dengan pengubatan `aqidah terlebih dahulu. Rasulullulah menyatukan umat Islam dan menanamkan benih-benih iman dengan 'aqidah terlebih dahulu. Ia mengambil satu jangka yang panjang hingga 13 tahun lamanya. Tiada matlamat lain disepanjang masa itu kecuali matlamat memperkenalkan Tuhan yang sebenar kepada manusia. Mengajak mereka mengabdikan diri kepada Allah dan ta'at kepada Kuasa-Nya. Sewaktu manusia telah mengenali Tuhan yang sebenar, maka barulah hati mereka mulai mendengar segala apa yang disukai dan tidak disukai oleh Tuhannya. Mereka telah bersedia untuk menta'ati perintah Allah tanpa sebarang bantahan dan proses pembersihan kefahaman dan kepercayaan jahiliyah (termasuklah hal berkaitan sosial, ekonomi, psikologi, budi pekerti dll) menjadi mudah.
Inilah yang berlaku pada masyarakat Islam yang membina tamadun Islam seperti yang disebutkan diatas. Persoalannya, apa pula peranan kita ? Dan apakah pengajaran yang kita dapat fahami diperingkat individu, keluarga, masyarakat dan negara ?
Renungkanlah:
"Tiada tujuan lain untuk hidup selain `aqidah ini. Matlamat, cara dan peraturan hidup, cita-cita, penyatuan dan perpaduan, serta amalan hendaklah bergerak atas landasan `aqidah"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan