13 Jun 2011

3.8 PERJALANAN HIDUP MANUSIA

Peringkat perjalanan yang dilalui manusia di bumi ini merupakan peringkat perjalanan di sebuah alam yang hidup yang lumrah, semua alam sahabat yang mesra dan sebuah alam yang mempunyai roh yang sentiasa menerima, menyambut bertawajjuh kepada Allah Pencipta Yang Maha Esa sebagaimana roh orang yang beriman bertawajjuh kepada-Nya dengan penuh khusyu’... Sayyid Qutb

Peringkat perjalanan yang dilalui manusia telah dijelaskan dalam banyak ayat al-Qur’an. Makhluk manusia telah melalui peringkat-peringkat perkembangan yang bersambung-sambung dari tanah kepada manusia. Diciptakan Nabi Adam a.s.; berlaku perjanjian di antara zuriat Adam dan Allah swt; penciptaan rupa bentuk manusia di dalam Rahim ibu; kehidupan dunia, hakikat kematian dan alam akhirat. Kalau seseorang itu tidak memikirkan dan memahami perkara-perkara ini, maka dia tidak dapat merasai dimanakah dia berada dan ke manakah dia akan pergi selepas alam dunia ini.

Hakikatnya, Allah swt menjadikan manusia supaya kita berubudiyah kepada-Nya dan untuk diuji mengikut kemampuan insan itu. Kita diamanahkan menjadi khalifah dan jika berjaya dalam ujian ini, maka darjat kita akan melebihi seluruh penduduk bumi dan langit. Dan sebaliknya, kita juga boleh menjadi lebih hina dari binatang ternakan.

Marilah kita mentadabbur sebahagian ayat-ayat Al-Qur’an yang menceritakan peringkat perjalanan manusia.

Surah as-Sajadah (32: 7)
ٱلَّذِىٓ أَحۡسَنَ كُلَّ شَىۡءٍ خَلَقَهُ ۥ‌ۖ وَبَدَأَ خَلۡقَ ٱلۡإِنسَـٰنِ مِن طِينٍ۬ (٧
"Dan Dia mulakan penciptaan manusia dari tanah”

Surah al-Mu’minun (23:12)
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍ۬ مِّن طِينٍ۬ (١٢
“Dan sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dari satu saripati dari tanah”

Firman Allah dalam Surah Al-A’raf (7:11)
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَـٰڪُمۡ ثُمَّ صَوَّرۡنَـٰكُمۡ ثُمَّ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ لَمۡ يَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِينَ (١١
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dan membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kepada Adam! Lalu mereka sujud kecuali iblis sahaja yang tidak termasuk di dalam golongan yang sujud”

Mencipta dan membentuk rupa merupakan dua darjat dalam proses penciptaan. Allah bukan sahaja mengwujudkan manusia tetapi membentuk manusia mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri yang tinggi.

Allah swt telah menjelaskan bahawa Dia telah mengikat perjanjian ini dengan zuriat Adam, iaitu perjanjian mengi’tirafkan Rububiyah Allah ke atas mereka. Oleh itu zuriat Adam yang tidak menunai dan menyempurnakan perjanjian dengan Allah, maka ini bererti mereka tidak setia kepada perjanjiannya. Firman Allah dalam Surah al-A'raf (7:172)

وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ (١٧٢
“Dan (kenangilah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari tulang belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi di atas diri mereka sendiri (seraya berfirman): Bukankah aku Tuhan kamu? Jawab mereka: `Benar! Kami mengaku’ (agar dengan pengakuan ini) kamu tidak lagi berdalih: Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang lalai dan tidak sedar terhadap perkara ini.”

Al-Qur’an juga menyentuh perasaan-perasaan manusia dengan sentuhan yang lemah-lembut dan mendalam mengenai asal kelahiran kejadian manusia yang majhul yang berlaku di dalam kegelapan alam ghaib dan kegelapan alam rahim, di mana manusia tidak mempunyai sebarang ilmu, sebarang qudrat dan sebarang kefahaman. Qudrat dan Iradat Allah-lah adalah di sebalik perkembangan kejadian manusia di dalam Rahim. Firman Allah dalam Surah aali-`Imran (3:6)

هُوَ ٱلَّذِى يُصَوِّرُڪُمۡ فِى ٱلۡأَرۡحَامِ كَيۡفَ يَشَآءُ‌ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٦
“Dialah yang membentuk rupa kamu di dalam Rahim mengikut bagaimana yang dikehendaki-Nya. Tiada Ilah melainkan Dia Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana”.

Kisah kejadian manusia juga diceritakan dalam Surah al-An’am (6:98). Sel benih lelaki dan benih perempuan disenyawakan. Kemudian berlaku pertumbuhan dan perkembangannya hingga membiak melahirkan umat manusia yang berbagai-bagai rupa dan warna, berbagai bahasa dan suku bangsa.

وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَكُم مِّن نَّفۡسٍ۬ وَٲحِدَةٍ۬ فَمُسۡتَقَرٌّ۬ وَمُسۡتَوۡدَعٌ۬‌ۗ قَدۡ فَصَّلۡنَا ٱلۡأَيَـٰتِ لِقَوۡمٍ۬ يَفۡقَهُونَ (٩٨
“Dan Dialah Yang telah mencipta kamu dari diri yang satu iaitu satu diri yang menjadi tempat ia menetap sementara (rahim perempuan) dan satu diri yang lain menjadi tempat simpanan benih (sulbi lelaki). Sesungguhnya Kami telah menjelaskan bukti-bukti kekuasaan Kami kepada golongan orang-orang yang faham”

Kebolehan memaham amat perlu untuk membolehkan seseorang memahami rahsia ciptaan Allah. Subhanallah apa yang tertera dalam `buku embriologi manusia’ telah dihuraikan prinsipnya dalam surah al-mu’minun (23:13-14). (boleh baca tafsir ayat-ayat ini dengan lebih mendalam lagi)

ثُمَّ جَعَلۡنَـٰهُ نُطۡفَةً۬ فِى قَرَارٍ۬ مَّكِينٍ۬ (١٣) ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمً۬ا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمً۬ا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَ‌ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِينَ (١٤)
“Kemudian Kami jadikannya dari nutfah (yang disimpan) di suatu tempat yang kukuh (rahim)(13). Kemudian Kami jadikan nutfah itu setompok/segumpal sel, kemudian, kami jadikan setompok sel itu segumpal darah dan Kami jadikan segumpal darah itu tulang-belulang, kemudian Kami balutkan tulang-belulang itu dengan daging dan kemudian Kami ciptakan satu makhluk yang lain. Maha Sucilah Allah selok-elok Pencipta (14)”.

Seterusnya dalam ayat ke 23:15-16, dinyatakan bahawa manusia yang hidup akan mati. Namun maut bukanlah titik penghabisan manusia.

ثُمَّ إِنَّكُم بَعۡدَ ذَٲلِكَ لَمَيِّتُونَ (١٥) ثُمَّ إِنَّكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ تُبۡعَثُونَ (١٦)
“Kemudian selepas itu kamu akan mati (15). Kemudian pada hari Qiamat kelak kamu akan dibangkitkan kembali (16) ”

Al-Qur’an menberitahu bahawa kebangkitan semula selepas mati adalah peringkat terakhir dari perkembangan hidup makhluk manusia. Akhirat adalah kemuncak kesempurnaan hidup bagi orang mukmin. Oleh itu, peringkat perjalanan manusia di bumi ini hendaklah mengikut jalan Ilahi.

Kita boleh belajar daripada makhluk-makhluk di sekeliling kita. Benda-benda di sekeliling kita adalah hidup. Batu, pokok dan kejadian alam yang lain adalah hidup dan amat mesra dan rapat dengan kita. Al Quran selalu mengingatkan kita bahawa alam ini adalah mesra dan mereka tidak mempunyai niat buruk terhadap manusia. Hanya kepada Allahlah mereka bersujud, semua yang di langit dan di bumi. Al Quran mengingatkan kita berkali-kali tentang perkara ini. Kalaulah kita dapat merasainya dengan hati maka kita adalah berbeza daripada manusia lain yang menganggap makhluk-makhluk tersebut adalah mati. Semua makhluk patuh, sujud dan bertasbih kepada Allah (Sila baca lebih lanjut dalam 3.6 Harakat manusia dan alam buana)

Surah al-Isra (17:44)
تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيہِنَّ‌ۚ وَإِن مِّن شَىۡءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمۡدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِيحَهُمۡ‌ۗ إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورً۬ا (٤٤)
“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada padanya sentiasa bertasbih kepada Allah; dan tiada suatu makhluk melainkan semuanya bertasbih memuji Allah, tetapi kamu tidak faham memahami tasbih mereka.

Ini adalah ungkapan-ungkapan yang jelas dan langsung tidak memberi ruang untuk ditafsirkan dengan ta’wilan.

Dalam Surah Surah Ar-Ra’d (13:15), Allah menyatakan bahawa bayang-bayang juga tunduk kepada Allah.
وَلِلَّهِ يَسۡجُدُ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعً۬ا وَكَرۡهً۬ا وَظِلَـٰلُهُم بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ ۩ (١٥)
“Dan hanya kepada Allah jua sujudnya sekalian penghuni langit dan bumi yang ada di langit dan di bumi sama ada secara sukarela atau terpaksa; dan bayang-bayang mereka (juga turut sujud) di waktu pagi dan petang”

Ayat ini menggambarkan suasana ibadat dan do’a. Ia mengungkapkan kepatuhan kepada masyi’ah Allah itu dengan harakat sujud yang melambangkan kemuncak `Ubudiyah dan kehambaan. Ia menggabungkan tubuh-tubuh penghuni langit dan bumi dengan bayang masing-masing mereka di waktu pagi dan petang. Bayang-bayang itu juga adalah makluk walaupun ia hanya hidup seketika.

Subhanallah …. Ia membentuk satu pandangan yang amat menarik. Berlangsungnya dua sujud iaitu sujud tubuh dan sujud bayang. Ia membuat seluruh alam buana termasuk tubuh-tubuh dan bayang-bayang melutut dan sujud kepada Allah.

Kesimpulan perbincangan
1. Memahami peringkat perjalanan manusia menyedarkan kita bahawa manusia adalah hamba Allah yang lemah.
2. Memahami bahawa kita sudah berjanji untuk berubudiyah kepada Allah.
3. Mati bukanlah titik penghujung perjalanan hidup manusia
4. Akhirat adalah kesempurnaan hidup untuk orang mukmin.
5. Perjalanan hidup manusia hendaklah mengikut jalan ilahi.
6. Semua makhluk di alam buana patuh, sujud dan bertasbih kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan