18 Jun 2011

3.11 MATLAMAT SYARI'AT ISLAM IALAH MEWUJUDKAN IMBANGAN ANTARA DUA UNSUR KEJADIANNYA

Firman Allah dalam Surah al-Hijr (15:29)

"Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan padanya roh ciptaan-Ku, maka rebahkanlah diri kamu sujud kepada-Nya"

Manusia mula-mula telah diciptakan dari unsur-unsur tanah yang melekit yang berubah kepada tanah liat yang kering. Kemudian Allah meniupkan roh kepada manusia. Tiupan Ilahi-lah yang membezakan manusia dari makhluk-makhluk hidup yang lain dan memberikan kepadanya ciri-ciri insaniyah. Roh dari ciptaan Allah telah memindahkan kejadian `tanah' yang rendah itu ke tahap insan yang mulia dan menjadi khalifah. Tiupan Ilahi inilah yang menghubungkan manusia dengan alam al-Mala'ul-A'la dan melayakkan manusia berhubung dengan Allah; dan menerima perutusan Allah.

Daya rohaniyahlah yang menjadi teras hakikat manusia. Manusia boleh meningkat ke darjat yang lebih tinggi dari darjat malaikat al-Muqarrabin. Sebagaimana dibuktikan oleh kisah Mi'raj di mana malaikat Jibril a.s. terpaksa berhenti pada maqam tertentu, sedangkan Nabi Muhammad saw terus meningkat ke maqam yang lebih tinggi.

Islam telah menegakkan syari'atnya kepada manusia berdasarkan kepada sifat-sifat kejadiannya (unsur tanah dan unsur roh). Manusia diminta untuk mencapai tahap kesempurnaan yang dapat mengimbangkan keperluan kedua-duanya (jasadiah dan rohaniyah). Keperluan-keperluan tanah seperti makanan, pakaian, nafsu keinginan hendaklah diselaraskan dengan peribadatan kepada Allah. Manusia tidak dituntut untuk menjadi malaikat ataupun haiwan. Peningkatan salah satu dari dua unsur ini, akan merosakkan imbangan yang sempurna. Seseorang manusia berkewajipan memelihara ciri-ciri semulajadinya dan bertanggungjawab terhadapnya di hadapan Allah.

Rasulullah saw telah melarang sahabatnya yang mahu hidup selaku rahib tanpa mendekati perempuan dan sahabatnya yang mahu puasa sepanjang hari tanpa berbuka; dan sahabatnya yang mahu terus beribadat di waktu malam tanpa tidur. Beruzlah untuk beribadat dan meninggalkan jihad ialah seperti ahli abid yang bermain-main dengan ibadatnya. Nabi melarang dan membantah kehendak-kehendak sahabat-sahabat itu sebagaimana tersebut di dalam hadis Aisyah ra:

"Sesiapa yang tidak suka kepada sunnahku, maka dia bukanlah dari golonganku"

Di satu sudut yang lain pula, ramai orang tidak mengambil tahu / berat dan tidak memikirkan atau terlepas pandang keperluan rohaninya. Kejatuhan ciri rohaniyah ini menandakan kejatuhan ciri insaniyah manusia. Ciri-ciri rohaniyahnya boleh jatuh terjunam ke darjat yang sebawah-bawahnya apabila manusia menyeleweng dari fitrahnya yang suci atau menyimpang dari iman yang lurus. Lebih teruk dari haiwan kerana haiwan hidup dengan fitrahnya yang betul, iaitu patuh dan bertasbih kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan