“ Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek-aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-dua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu" ... Sayyid Qutb
Al-Quran mengajar kita untuk mengubah cara kita memandang alam ini. Pandangan dan `mind-set’ yang diterapkan oleh Al-Quran akan membezakan orang beriman dan orang kafir; akan menjernihkan kembali tujuan hidup orang Islam; dan menyedarkan kita bahawa kemajuan dunia sains adalah amat `limited’ dan kerdil berbanding kekuasaan Allah.
Bagi sains; sesuatu perkara fizikal dapat diukur. Tinggi, berat, jarak dsb, ada unit ukurannya yang tersendiri. Contohnya di dalam sebuah bilik berkaca yang tertutup berdimensi x, y dan z mempunyai kapasiti sekian banyak udara dan air. Ia mempunyai hadnya.
Bagaimana pula jika kita masukkan cahaya di dalamnya, mungkin kita boleh mengira `terang’nya cahaya itu (unit lux) tetapi adakah kita boleh mengira saiz dan banyaknya cahaya tersebut ?
Ukuran cahaya itu adalah terhad kepada `terang’ tetapi tidak kepada saiz cahaya. Soalan sama juga kita boleh tanya, berapakah kuantiti malaikat yang boleh dimasukkan dalam bilik itu ? TIADA JAWAPAN. Atau berapa banyak pula jin boleh dimasukkan dalam bilik tersebut ? juga TIADA JAWAPAN.
Ia adalah PERKARA GHAIB’ dan perkara ghaib adalah tiada had dan tiada ukuran. Ia tidak ada dimensi. Malah bersifat `infiniti’.
Firman Allah dalam Surah al-Haqqah (69:38-39)
فَلَآ أُقۡسِمُ بِمَا تُبۡصِرُونَ (٣٨) وَمَا لَا تُبۡصِرُونَ (٣٩)
Tidakkah perlu Aku bersumpah dengan kejadian yang kamu nampak dan dengan kejadian yang kamu tidak nampak.
Alam al-wujud adalah lebih luas dari ruang lingkup yang mampu dijangkau akal manusia. Di sebalik kejadian-kejadian yang dapat dilihat dan difaham akal manusia, terdapat berbagai-bagai alam lain yang lebih besar yang tidak dapat diukur.
Alam yang kita boleh lihat dinamakan `alam syahadah’ dan ia adalah jauh lebih kecil dari alam ghaib. Keyakinan kepada alam ghaib akan membezakan di antara kafir dan islam. Tahap keyakinan kepadanya berhubung kait dengan keimanan kita; malah akan merubah `mind-set’, tujuan hidup, perancangan hidup dan amalan seharian.
Lihatlah contoh peristiwa `Isra dan mi’raj”. Ia tiada dimensi dan keluar dari `peraturan alam syahadah’. Ia perkara luar-biasa dan iman kepada perkara ghaib akan menyebabkan orang mukmin berkata `kami dengar dan kami taat’ tanpa syak dan ragu-ragu.
Di syurga nanti, dimensi masa sudah tiada. Masa adalah relatif kepada ukuran matahari dan bulan; yang apabila matahari/bulan musnah ketika kiamat nanti, maka `masa’ sudah tiada lagi. Ia adalah infiniti. Matahari yang ada semasa di Padang Masyar nanti adalah untuk `seksaan’ dan bukannya untuk mengira waktu.
Ada hadis yang mengatakan `satu hari di akhirat bersamaan 50,000 tahun di dunia’. Ia adalah satu analogi kerana bagi orang arab ketika itu, mereka hanya boleh mengira sehingga `seribu’ dan bila di sebut 50,000 ni, adalah sesuatu yg diluar kiraan dan minda orang arab ketika itu. Masa di syurga adalah infiniti.
Jika kita tahu masa di syurga adalah infiniti dan kehidupan di dunia adalah sekadar 60 ke 80 tahun; maka apakah sebenarnya yang kita hendak kejar? Al-Quran `brainwash’ kita bahawa masa di dunia adalah terhad dan tiada terbanding dengan alam akhirat.
Al-Quran banyak menceritakan hal akhirat kerana untuk mengubah `tasawur’; mindset dan cara kita berfikir untuk kita faham tujuan hidup kita ini (sebagai khalifah dan beribadah kepada Allah) dan menjalani hidup kita ini berlandaskan syariaat Allah.
Seterusnya Sayyid Qutb berkata
Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan.”
Hakikat maut harus ditanamkan dalam hati. Setiap segala sesuatu pasti binasa kecuali Allah. Semua orang mati. Orang yang soleh mati dan orang jahat juga mati. Namun Al-quran nak `brainwash’ kita bahawa maut bukanlah perjalanan akhir manusia. Ada perbezaan dari segi nilai dan nasib kesudahan yang akhir.
Surah aali-`Imran (3:185)
كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ (١٨٥)
“ Setiap yang bernyawa akan merasa kematian. Dan sesungguhnya segala ganjaran kamu itu hanya disempurnakan pada Hari Qiamat. Oleh itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sesungguhnya dia telah mendapat kejayaan. Dan kehidupan dunia ini tidak lain melainkan hanya suatu keni’matan yang palsu sahaja”
Ayat ini mengambarkan bahawa neraka mempunyai tarikan, maka sesiapa yang dapat menjauhkan dari tarikan ini dan dimasukkan ke dalam syurga adalah selamat. Maksiat juga mempunyai daya tarikannya, seronok dibuat jika iman tiada.
Kehidupan di dunia adalah merupakan suatu habuan dan kenikmatan; tetapi ia bukanlah kenikmatan yang haqiqi dan bukanlah keni’matan yang membawa kepada kesedaran. Ia hanya keni’matan yang mempesonakan tapi penuh kepalsuan. Namun ramai yang tertipu. `Mindset’ keni’matan dunia akan mencorakkan kehidupannya. Bagi orang kafir dan orang Islam yang tidak fiqh ad-din (ad-din tidak sebati atau sibghah dalam dirinya); maka kesenangan kehidupan dunia menjadi matlamatnya. Perancangan hidup mereka setakat usia mereka sahaja. Ada `time line’ bila hendak capai cita-cita, nak kahwin, dapat anak, beli rumah sendiri, … ada syarikat sendiri… dan stop sehingga usia tua. Kita belajar dari tadika ke universiti……….sampai 16 tahun sebab boleh kerja sampai 55 tahun. Jika kita tak belajar betul-betul, ibu-bapa kata nanti susah dapat kerja, hidup susah dan sebagainya. Ini adalah `mind-set’ duniawi dan `materialistik’. Mereka yang setakat berpuas hati dengan kehidupan dunia adalah orang-orang lalai. Seolah-olahnya mereka tidak mengharapkan pertemuan dengan Allah.
Firman Allah dalam Surah Yunus (10: 7-8)
إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يَرۡجُونَ لِقَآءَنَا وَرَضُواْ بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَٱطۡمَأَنُّواْ بِہَا وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنۡ ءَايَـٰتِنَا غَـٰفِلُونَ (٧) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَأۡوَٮٰهُمُ ٱلنَّارُ بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ (٨)
“Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami dan berpuas hati dengan kehidupan dunia dan yakin tenteram dengannya, juga orang-orang yang lalai dari ayat-ayat Kami (7). Mereka adalah ditempatkan di dalam Neraka kerana dosa-dosa yang dilakukan mereka (8).
`Mindset’ `hidup untuk dunia sahaja’ perlu diperbetulkan. Kita perlu bertanya kepada diri kita sendiri apa pula perancangan/time-line `beyond kematian’ iaitu `akhirat’ yang infiniti. Ini adalah kerana keni’matan haqiqi ialah keni’matan mendapat syurga setelah berjaya dijauhkan dari neraka. Ia hanyalah untuk orang Mukmin.
Surah al-A’raf (7:32)
قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِىٓ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَـٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِۚ قُلۡ هِىَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا خَالِصَةً۬ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِۗ كَذَٲلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأَيَـٰتِ لِقَوۡمٍ۬ يَعۡلَمُونَ (٣٢)
“Katakanlah, semua ni’mat itu adalah disediakan Allah untuk orang-orang yang beriman (dan orang yang tidak beriman) di dalam kehidupan dunia dan khususnya disediakan untuk orang-orang beriman sahaja dalam Hari Qiamat”.
`Mindset’ untuk akhirat perlu ditanamkan dalam hati. Perlu berfikir, muhasabah diri, berdoa dan kemudiannya diiringi dengan proses bertindak dan berjuang. Faham `siapa kita’ dan juga `matlamat Allah menjadikan manusia’. Amalan hariannya hendaklah mengambarkan keseriusan terhadap alam akhirat. Fikrah islamiyah terhadap keluarganya adalah jelas; juga kepada masyarakat, negara, dan terhadap muslim seaqidahnya yang berada di negara lain.
Seseorang yang berfikrah duniawi mempunyai sikap yang tidak redha. Ada ciri-ciri orang al-a’rab. Mengharap balasan dalam hubungan seharian. Jika tolong orang ada motif tertentu; tidak diucapkan terimakasih marah; gaji tidak naik tension; dan macam-macam lagi. Ini adalah sangat berbeza dengan orang Mukmin yang yakin bahawa setiap urusan adalah baik baginya. Balasannya adalah di akhirat.
Diriwayatkan dari AbuYahya, Shuhaib bin Sinan ra. berkata “ Rasulullah saw pernah bersabda: Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin itu, kerana sesungguhnya segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang sedemikian itu tidak terjadi kecuali bagi orang mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka hal itu memberikan kebaikan baginya. Dan jika ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka hal itu memberikan kebaikan baginya” HR Muslim (2999)
Berusahalah untuk keredhaan Allah dalam seluruhan kehidupan kita (bekerja, bekeluarga, infak, jihad dll). Setiap saat, minit, jam, hari ….. adalah untuk Allah. Semoga kita mendapat keni'matan yang haqiqi di akhirat yang infiniti. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan