Firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:29-30
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا
Dialah yang telah menciptakan untuk kamu segala apa yang ada di bumi.
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةً۬ۖ
Dan (kenangilah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di Bumi ini".
Secara balaghah-nya, Allah menekankan bahawa DIA-lah yang mencipta bagi kamu semua yang ada di Bumi. Orang kafir juga mengetahui bahawa Allah-lah yang menciptakan kesemua ini, tapi mereka tidak mahu beriman.
Kenapakah Allah menciptakan untuk kamu segala apa yang ada di Bumi? Perkataan untuk `kamu’ mempunyai makna yang amat mendalam. Ia merupakan kenyataan tegas bahawa Allah menciptakan makhluk insan untuk satu tujuan yang amat besar; iaitu untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan menjadi khalifah di Bumi ini.
Secara analogi; kita diberikan satu pejabat yang cukup lengkap dengan perabot, peralatan ITC dan alat tulis, adakah semua itu hanya pemberian kosong sahaja? Logik akal menyatakan mestilah ada tugas yang perlu dilaksanakan.
Firman Allah dalam surah adz-Zaariyat 51:56-58
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ (٥٦) مَآ أُرِيدُ مِنۡہُم مِّن رِّزۡقٍ۬ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ (٥٧) إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ (٥٨)
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mengabdikan diri kepada-Ku (56). Aku tidak menghendaki sebarang rezeki pun dari mereka dan Aku tidak sekali-kali menghendaki mereka memberi makan kepada-Ku (57). Sesungguhnya Allah itulah satu-satu-Nya Pemberi rezeki yang mempunyai dan Maha Teguh kekuasaan-Nya (58)”
Ayat yang pendek ini memberi pengertian yang sangat besar. `Ubudiyah kepada Allah adalah asas kehidupan manusia. Keseluruhan hidupnya ditegakkan atas asas `Ubudiyah. Pelaksanaan `Ubudiyah kepada Allah menentukan ada Hamba dan ada Tuhan. Ada Hamba yang menyembah dan ada Tuhan yang disembah. Sesiapa yang telah melaksanakan tugas ini bererti dia telah melaksanakan matlamat kewujudannya. Sesiapa yang cuai dan tidak melaksanakannya bererti dia seorang manusia yang tiada tugas, hidupnya kosong dan dia berakhir dengan kehilangan dan kerugian yang mutlak / kekal. Balasannya ialah neraka.
Pengertian ibadat tidaklah terhad kepada ibadat khusus sahaja. Makhluk jin dan manusia tidak ditaklifkan Allah supaya menghabiskan seluruh hidup mereka dalam ibadat-ibadat khusus (seperti pengertian ibadah yang difahami ramai orang – solat, puasa, zakat dll); tetapi Allah mentaklifkan manusia dengan pelbagai kegiatan lain yang mengambil sebahagian besar usianya. Itulah dia tugas sebagai khalifah.
Seseorang insan hendaklah sedar bahawa tujuan dia berada di muka Bumi ini adalah melaksanakan tugas yang ditentukan Allah; iaitu mengendalikan urusan khalifah. Maka, seluruh kegiatan hidupnya adalah ibadat dan diniatkan kerana Allah. Dia memakmurkan dan memajukan Bumi mengikut syari’at Allah serta mewujudkan sistem hidup Ilahi. Dia mencurahkan segala daya tenaganya untuk menegakkan khalifah dan membersihkan hati dari `secondary motive’ dan faedah peribadi. Sabar menanggung kesusahan dan redha terhadap taqdir Allah.
Tiada perasaan tamak haloba dan bebas dari belenggu kerunsingan rezeki. Kerana rezeki telah dijamin oleh Allah kepada sekelian hamba-Nya. Dalam hadis ke-4 dalam Hadis 40 dinyatakan bahawa rezeki adalah salah satu dari empat perkara yang telah ditetapkan Allah ketika ruh ditiupkan semasa janin berumur 120 hari dalam rahim ibu.
Dari Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud radiallahu anhu beliau berkata : Rasulullah saw menyampaikan kepada kami dan beliau adalah orang yang benar dan dibenarkan: Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setitis mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya ruh dan dia diperintahkan untuk menetapkan empat perkara : menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada ilah selain-Nya, sesungguhnya diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya pula diantara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Allah juga tidak meminta rezeki dari makhluk tetapi Dia mentaklifkan manusia menginfak hartanya ke jalan Allah.
"Aku tidak menghendaki sebarang rezeki pun dari mereka dan Aku tidak sekali-kali menghendaki mereka memberi makan kepada-Ku (57). Sesungguhnya Allah itulah satu-satu-Nya Pemberi rezeki yang mempunyai dan Maha Teguh kekuasaan-Nya (58)”
Bila kita merenung hadis dan ayat di atas; maka fahamlah kita bahawa jawatan sebenar kita ialah sebagai khalifah yang dilantik oleh Allah swt. Jawatan-jawatan lain adalah sandaran kepada jawatan yang sebenar.
Apakah kaitan rezeki dengan ibadah ? Selalu benar kita mendengar “ Rajin-rajinlah pergi sekolah, belajar pandai-pandai, belajar tinggi-tinggi, `biar' masuk universiti, senang hidup nanti....... dan jangan jadi seperti ayah”
Ada tiga perkara yang perlu dihalusi.
Pertama: Kenyataan di atas menunjukkan bahawa usaha itulah yang menentukan hasilnya, sedangkan pada hakikatnya Allah-lah yang menentukan hasil tersebut.
Kedua: Mencari makan bukanlah sebab utama kita dijadikan. Rezeki sudah ditentukan Allah.
Ketiga: Matlamatnya adalah seolah-olah kehidupan adalah berhenti di dunia ini sahaja; dan tiada kehidupan selepas kematian.
Andai kata umat manusia tidak dapat memahami hakikat sebenar dia diwujudkan, maka mereka tidak dapat hidup sebagaimana hidupnya angkatan pelopor Islam yang pertama di bawah naungan al-Qur’an.
Mereka yang memahami konsep `Ubudiyah kepada Allah akan tenteram jiwanya samada usahanya berhasil atau tidak. Segala yang berlaku selepas usahanya adalah di luar batas tugasnya. Dia juga tidak menggunakan wasilah/jalan yang tidak diredhai Allah untuk mencapai matlamatnya. Dia juga sedar bahawa Allah itu Rabb dan Ilah, maka dia tidak melakukan perkara-perkara yang berada dalam bidang urusan Allah. Dia juga tidak disibukkan dengan urusan-urusan kecil dan bersifat jahiliyah walaupun dunia mengiktirafnya.
Semoga kita tidak hidup dalam paya yang busuk tanpa matlamat yang betul sepertimana yang dinukilkan oleh Sayyid Qutb:
" Kemudian aku bertanya: Mengapa manusia sanggup hidup dalam paya busuk, di tahap rendah dan di dalam gelap gelita kesesatan yang menghitam itu, sedangkan mereka mempunyai padang-padang yang bersih, tempat-tempat yang tinggi dan cahaya yang terang benderang? "
Tiada ulasan:
Catat Ulasan