بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ (١) مِن شَرِّ مَا خَلَقَ (٢) وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (٣) وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلۡعُقَدِ (٤) وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (٥)
“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. (2) Dari bahaya gelap apabila ia masuk. (3) Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). (4) Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.(5)”
Gambaran Keseluruhan Ayat:
Surah al-Falaq adalah surah perlindungan. Jika surah An-Nas memberi tumpuan pada gangguan dalaman, surah al-Falaq pula tertumpu kepada gangguan luaran dan kesannya terhadap manusia. Jadi kedua-dua surah ini sepatutnya memberi gambaran bahawa manusia itu lemah dan perlu memohon perlindungan terhadap gangguan-gangguan tersebut. Di luar sana dalam Dunia ini penuh dengan kejahatan. Sama ada yang diketahui atau tidak. Kita tidak dapat membentengi diri kita melainkan dengan pertolongan Allah sahaja. Tangan yang terkena duri pun menyakitkan kita. Bayi yang menyusu kekadang tersedak dan boleh membawa maut.
Surah ini seolah-olah Allah menyeru dengan kasih sayang: “ Marilah ke sini, marilah masuk ke dalam perlindungan dan naungan-Ku. Marilah ke tempat yang aman yang memberi ketenangan kepada kamu! Marilah! Aku tahu kamu lemah dan mempunyai banyak musuh dan sekeliling kamu berbagai-bagai kejadian yang menakutkan. Hanya di sini sahaja keamanan, ketenteraman dan kedamaian untuk kamu.”
Rasulullah saw telah memperlihatkan kegembiraannya yang mendalam terhadap turunnya surah ini.
Rasulullah saw telah memerintahkan Abdullah bin Khubaib untuk membaca: Qul Huwallahu Ahad dan surat Al-Mu’awwizatain(Al-Falaq dan An-Nas) diwaktu pagi dan petang sebanyak tiga kali, kemudian beliau berkata kepadanya: “Niscaya Allah akan melindungimu dari segala sesuatu.”
Dalam riwayat lain, Nabi memerintahkannya untuk membaca dua surat Al-Mu’awwizatain, kemudian berkata: “ Tidak ada yang dapat dipakai untuk berlindung bagi manusia yang lebih baik dari ini.”
Dalam sebahagian riwayat disebut bahawa hal itu terjadi pada ‘Uqbah bin ‘Amir. Dalam sebuah riwayat, Rasulullah saw berkata kepada Ibnu Abbas Al-Juhany: “ Sesungguhnya sebaik-baik yang dapat digunakan untuk perlindungan adalah Al-Mu’awwizatain(Al-Falaq dan An-Nas).” Dan Rasulullah saw bersabda dalam sebahagian riwayat hadith Uqbah: “Tidak ada permintaan yang sebanding dengan (permintaan yang terdapat) dalam kedua surat tersebut, dan tidak ada perlindungan yang sebanding dengan kedua surat tersebut.” – H.R Nasa’i
Menurut riwayat al-Imam al-Bukhari dari Aisyah r.a katanya: “Adalah Rasulullah saw apabila beliau berada ditempat tidurnya setiap malam beliau menemukan kedua tapak tangannya kemudian menghembuskan pada kedua tapak tangannya kemudian membaca (قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ, قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ, قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ), kemudian beliau menyapu dengan kedua tapak tangannya semua bahagian tubuhnya yang dapat disapu olehnya. Beliau mulakan dari atas kepala dan mukanya dan bahagian hadapan badannya. Beliau berbuat demikian sebanyak tiga kali.”
Fikrah ayat:
Ayat 1;
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ (١)
“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang memelihara seluruh makhluk.”
Manusia sangat lemah. Allah swt mengajar kita sentiasa terikat dengan Dia. ‘Al-Falaq’ bermaksud subuh/makhluk. Suasana subuh adalah gelap. Selalunya kejahatan dari makhluk berlaku di waktu yang gelap. Maka dengan kasih sayang-Nya mengajar kita memohon naungan dan perlindungan dari Rabb(Maha Pemelihara) yang tiada siapa yang boleh menandingi-Nya.
Ia juga boleh memberi pengertian “ Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk.”
Ayat 2:
مِن شَرِّ مَا خَلَقَ
“Dari kejahatan sebarang makhluk yang telah diciptakan-Nya.”
Semua benda / makhluk ciptaan Allah boleh menjadi jahat di samping kebaikan-kebaikannya. Asal kejadian manusia adalah baik sebagaimana hadith ; “ Setiap anak dilahirkan dalam fitrah (Islam), Ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” – H.R al-Bukhari.
Tetapi kenapa manusia boleh berubah menjadi jahat? Ini disebabkan keadaan sekelilingnya yang menjahatkannya. Namun demikian ia mempunyai kuasa memilih menjadi baik.
Sebagai contoh;
1. Internet; ia boleh memberi manfaat atau merosakkan akhlak. Ibu bapa perlu memantau anak-anaknya supaya membuat pemilihan yang tepat.
2. Abu Jahal di lahirkan bukan terus menjadi jahat, tetapi setelah risalah Islam tersebar, Abu Jahal telah memilih menjadi seorang yang paling jahat yang menentang Islam. Pilihan berbuat jahat tidaklah boleh dinisbahkan kepada Allah.
3. Setelah datang ke majlis ilmu. Seharusnya ilmu akan bertambah. Namun begitu ia bergantung kepada empunya diri untuk menjadi baik atau jahat.
Manusia mempunyai akal, nafsu (syahwat), tubuh badan dan qalbu.
1. Akal digunakan untuk berfikir dan belajar. Sama ada fikir/belajar untuk menjadi jahat atau baik. Contohnya;
a) Seorang pencuri akan menggunakan akalnya untuk mencari jalan supaya berjaya mencuri.
b) Seorang guru pula akan menggunakan akalnya untuk mencari jalan bagaimana anak muridnya dapat memahami apa yang di ajar.
2. Contoh-contoh nafsu dalam diri kita ialah seperti nafsu untuk sex, nafsu untuk perut dan nafsu untuk keegoan (takkabur).
a) Nafsu sex adalah perlu untuk memanjangkan zuriat.
b) Nafsu perut perlu untuk mengenyangkan perut dan sekaligus memberi tenaga dan kesihatan kepada tubuh badan.
c) Nafsu ego perlu untuk memelihara atau ‘protect’ diri.
Namun begitu setiap sesuatu harus ada had-hadnya. Jika ia menjangkau melebihi had yang sepatutnya, akan menyebabkan kejahatan mengambil alih. Kita kena pandai menilai yang mana satukah yang dibenarkan dan mana satukah yang tidak dibenarkan supaya kebaikan terserlah. Pada kebiasaannya nafsu ini mempengaruhi dan mendorong tuannya melakukan perkara yang hanya nampak baik pada zahir sahaja. Sebaliknya, sekiranya nafsu ini dapat dididik dengan acuan penciptanya iaitu Allah taala, nescaya ia dapat mengikut tuannya pula tanpa ada daya membantah. Adapun tingkatan nafsu manusia ini terbahagi kepada tiga; Nafsu Ammarah, Nafsu Lawwamah dan Nafsu Mutmainnah (sila baca sendiri)
Ayat 3:
وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ
“Dari bahaya gelap apabila ia masuk.”
Memohon perlindungan dari bahaya/kejahatan di waktu malam. Keadaan gelap-gelita boleh menimbulkan perasaan takut/bimbang. Kemungkinan berlaku segala sesuatu yang tidak diketahui dan tersembunyi seperti diserang binatang ganas, dimasuki pembunuh, dicerobohi musuh dan didatangi serangga-serangga bisa.
Kadang kala malam yang sunyi timbul perasaan yang bercelaru dan sedih kesan dari apa yang berlaku disiang harinya. Syaitan mencari-cari peluang membisikan hasutan yang menyesatkan. Kita berlindung dari kejahatan-kejahatan ini.
Ayat 4:
وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلۡعُقَدِ
“Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan).”
Dalam ayat ini di sebut pula kejahatan pelaku bomoh/dukun terhadap mangsanya, iaitu mengunakan sihir. Perbuatan ini memang sudah lama wujud hingga ke hari ini. Apakah sikap mukmin dalam hal ini:
1. Sihir adalah bertentangan dengan aqidah Islam. Para dukun adalah utusan syaitan. Keyakinan terhadap ahli-nujum, tukang tilik dan tukang sihir adalah kesesatan nyata. Malah mendatanginya juga adalah satu dosa besar.
Sabda nabi saw “ Siapa yang mendatangi bomoh/dukun dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam” (HR Muslim)
2. Ilmu sihir tidak mengubah fizikal sesuatu dan tidak mewujudkan fizikal yang baru tetapi ia boleh membuatkan pancaindera dan perasaan seseorang itu merasai apa yang dikehendaki oleh tukang sihir. Akan tetapi, sihir hanya berkesan jika Allah mengizinkannya. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah (2:102)
وَمَا هُم بِضَآرِّينَ بِهِۦ مِنۡ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ
“………padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah…….”
Maka kita memohon perlindungan dengan Allah dari kejahatan tukang-tukang sihir.
Ayat 5:
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
“Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya”
Memohon perlindungan dari orang yang mempunyai perasaan dengki/irihati terhadap sesuatu ni’mat yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang tertentu serta bercita-cita supaya ni’mat itu musnah atau hilang dari mereka.
Penyakit ini memang sudah wujud seawal manusia pertama lagi iaitu dengki syaitan ke atas Nabi Adam ‘alaihisalam. Firman Allah dalam surah al-A’raf 7:12
قَالَ أَنَا۟ خَيۡرٌ۬ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِى مِن نَّارٍ۬ وَخَلَقۡتَهُ ۥ مِن طِينٍ۬ (١٢)
Iblis berkata : Saya lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan saya dari dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah.
Sehingga kini penyakit ini tetap ada dan akan terus ada. Allah tahu kita tidak mampu untuk mengelakkan diri dari kejahatan hasad ini.
Apa yang perlu kita lakukan ?
Memohon perlindungan kepada Allah adalah bagaikan sebilah pedang di tangan seorang pejuang. Jika tangannya kuat, maka dia dapat membunuh musuhnya, jika tidak, maka pedang tersebut tidak mengakibatkan apa-apa meskipun pedangnya dari besi yang berkilauan. Demikianlah, jika isti`azah itu berasal dari seorang yang bertaqwa dan wara`; maka dia bagaikan api yang dapat membakar syaitan, adapun jika dia bersumber dari seorang yang lemah iman maka tidak memberi akibat yang besar bagi musuh.
Setiap muslim yang ingin selamat dari syaitan dan tipu dayanya, hendaklah berusaha bersungguh-sungguh menguatkan keimanannya dan mencari perlindungan kepada Allah Ta’ala. Kerana tiada daya dan kekuatan kecuali kepada Allah. Adalah disarankan untuk membaca surah ini secara istiqamah. Bacaan al-Mathurat setiap pagi dan petang sebagai zikir harian adalah satu langkah yang baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan