14 Jun 2011

3.9 PEMAHAMAN YANG SYUMUL DAN SEMPURNA

Manakah kerehatan, keselesaan, kemesraan dan kepercayaan (yang lebih besar) dari kerehatan, keselesaan, kemesraan dan kepercayaan yang dicurahkan ke dalam hati kita oleh kefahaman yang syumul, sempurna, luas dan betul ini ? ….. Sayyid Qutb

Kita telahpun membincangkan sebahagian dari muqaddimah fi zilal. Apakah yang kita dapat faham sebenarnya ? Saya cuba membuat satu rumusan dari artikel-artikel awal dan digabungkan dengan kefahaman ad-din agar fikrah kita menjadi lebih jelas, insyaAllah (setakat pemahaman yang Allah kurniakan setelah bertalaqi bersama Ustaz Salam)

Ikhwah dan akhawat sekelian.

Kebanyakan manusia menjadi mangsa keadaan. Mereka tidak difahamkan dengan erti kehidupan mengikut neraca al-Qur’an. Sama ada tidak difahamkan oleh sistem pendidikan kita, ibu-bapa atau diri sendiri yang tidak mencari kefahaman itu. Natijahnya, empunya diri menjadi mangsa keadaan itu.

Hakikatnya manusia sedang hidup di dalam lingkungan yang terdiri dari :(1) Penguasa; (2) Sistem yang telah ditentukan oleh Penguasa ; (3) Pembalasan yang telah disediakan oleh Penguasa sama ada hukuman atau ganjaran dan (4) status manusia sebagai Hamba.

Bagaimanakah kita hendak memahami erti kehidupan ini, sedangkan kita masih tidak mengenali atau terlupa untuk mengambil tahu siapakah Penguasa kita yang sebenar? Analogi mudah ialah seperti kita bekerja di sesebuah syarikat. Kita sudah pasti ingin mengambil tahu siapakah pemilik syarikat yang hendak kita bekerja. Bagaimanakah orangnya? Garangkah dia, mudah dibawa berbincangkah dia, mengambil beratkah dia pada orang-orang yang dibawahnya? Bagaimana sistem/undang-undang syarikat tersebut? Adakah ia adil kepada semua pihak? Apakah ganjaran yang ditawarkan oleh syarikat itu? Kalau kita menerima kerja tersebut, apakah status kita di dalamnya? Persoalan-persoalan seperti ini akan secara automatik akan timbul di dalam benak kita semasa mencari pekerjaan yang bersesuaian.

Sedarkah kita bahawa kita sekarang ini telah pun dan sedang bekerja di dalam sebuah syarikat milik Penguasa yang Maha Besar. Kita telah terpilih lahir ke Dunia untuk memegang satu jawatan yang wajib diterima oleh setiap muslim. Jawatan itu ialah sebagai khalifah di atas muka Bumi-Nya (artikel 1.7 Siapakah Kita? dan 3.5 Matlamat kewujudan manusia). Tiada siapa yang boleh menolak ketentuan Penguasa ini kerana status kita hanyalah sebagai hamba.

Sistem/undang-undang yang telah ditetapkan di dalam syarikat-Nya adalah sangat adil, membawa kepada kesejahteraan, harmoni, aman dan makmur. Hanya Dia yang mengetahui kelemahan dan kekuatan syarikat-Nya. Setiap individu muslim hanya perlu mengikut/menurut apa yang telah ditetapkan / digariskan untuk memajukan atau menjayakan syarikat-Nya. Setiap satu telah termaktub / tercatat di dalam kitab rujukan yang utama bernama al-Qur’an. Sebab itulah kita kena tahu Bagaimana Hendak Berinteraksi Dengan Al-Quran (artikel 1.0 hingga 1.8) Sistem / undang-undang Ini dijelaskan lagi dengan sunnah Rasulullah saw.

Siapakah Rasulullah saw? Analoginya ialah Baginda ialah `manager’ syarikat. Baginda tahu selok belok syarikat dan amat memahami apa kehendak Penguasanya terhadap syarikat tersebut. Statusnya amat tinggi disisi Penguasa kerana beliau adalah pilihan-Nya dan sentiasa di bawah lembayung rahmat-Nya. Maka amatlah perlu memahami Sirah Nabi.

Barang siapa yang tidak mematuhi arahan `manager’, pasti akan mendapat kemurkaan Penguasa syarikat. Maka terpulanglah kepada Penguasa untuk mengambil tindakan tatatertib sebagai pembalasan (artikel 3.6)

Sebagai hamba/pekerja biasa dalam syarikat, kita wajib ‘study’ sistem /undang-undang syarikat yang ada di dalam al-Qur’an dan sunnah. Kemudian melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Terpulanglah kepada Penguasa untuk membuat penilaian di atas kerja kita. Yang pasti Penguasa kita adalah Yang Maha Adil, Maha Penyayang, Maha Pengampun kalau kita tersalah, Maha Penerima taubat jika kita menyesal di atas kesilapan kita, Maha Kaya dan Maha Besar yang boleh membuat tawaran kepada kita dengan tawaran-tawaran yang tidak tersangka oleh kita banyaknya. Justeru itu kita akan sentiasa dipantau oleh Penguasa kerana Dia-lah Maha Melihat apa yang kita perbuat dan Maha mendengar apa yang kita bicarakan, hatta di dalam hati pun Dia mengetahui secara terperinci.

Masalahnya………kitab al-Qur’an tidak digunakan sebagai panduan atau rujukan utama. Kalau dibacapun, sekadar membaca tetapi tidak memahami isi kandungannya. A’lim Ulama telah berusaha cuba memudahkan pemahaman melalui tafsir-tafsirnya seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Al-Munir, Tafsir Fi Zilalil Qur’an dan seumpamanya. Pemahaman Muqaddimah Fi Zilalil Qur’an memudahkan kita memahami tasawur keseluruhan al-Qur’an. Bertambahlah kefahaman jika kita cuba melihat Fikrah al-Qur’an bagi setiap surah.

Sekiranya semua yang ada di dalam Alam Buana ini bekerja mengikut kesesuaian yang telah ditetapkan oleh Penguasa, insya-Allah, dengan izin –Nya jua semua yang hidup akan aman damai (artikel 3.6) Ada dinyatakan analogi keseimbangan harakat manusia dan alam buana ialah seperti sebuah jam yang terdapat banyak `gear' dan roda. Semuanya berputar mengikut kelajuan masing-masing. Jika salah satu rodanya rosak, maka roda-roda yang lain akan terhenti dengan sendirinya dan sama juga jika roda yang paling kecil berputar lebih laju dari biasa, jam itupun akan dianggap rosak juga kerana tidak lagi memberi manfaat kepada tuan punya. Jika direnung-renungkan, di antara semua roda yang wujud di Alam Buana ini, roda dari jenis manusialah yang selalu rosak dan menganggu sistem roda yang lain. Ia menyebabkan jam itu tidak boleh lagi memberi manfaat kepada sesiapa pun. Sebagai contoh; manusia adalah penyebab berlakunya hakisan tanah. Manusia juga merupakan penyebab berlakunya pemanasan global. Manusialah juga penyebab kepupusan haiwan maupun tumbuhan. Ia disebabkan oleh tangan-tangan manusia.

Surah al-Ruum (30:41)

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِى عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ (٤١
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Fikrah terhadap hakikat kejadian makhluk di dalam Alam Buana ini adalah sangat penting. Semua makhluk ciptaan Penguasa adalah pekerja-Nya. Semua makhluk ciptaan-Nya  patuh, tunduk, sujud dan bertasbih kepada Penguasa dan sentiasa melihat dan memperhatikan apa yang dilakukan oleh manusia.

Surah al-Isra (17:44)

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيہِنَّۚ وَإِن مِّن شَىۡءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمۡدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِيحَهُمۡۗ إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورً۬ا (٤٤
 “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”‬

Rujuk juga surah al-hadid (57:1); Surah Saba’ (34:10); Surah Fussilat (41:11)

Makhluk-makhluk Allah akan menjadi saksi perbuatan manusia. Sehingga mereka merasa benci kepada manusia yang kafir dan ingin memusnahkan mereka. Hadith Nabi s.a.w. : 
"Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya. Bumi akan berkata: Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Kita kena faham bahawa kehidupan di Dunia ini adalah ujian (artikel 3.7) Setiap ketetapan yang telah berlaku atau yang sedang berlaku atau yang akan berlaku sama ada yang baik atau buruk dalam pandangan manusia adalah baik dalam pandangan Allah swt. Oleh itu sudah tentu ia baik untuk kita. Allah tidak menjadikannya sia-sia, sudah pasti ada hikmah-hikmah tertentu yang boleh dirasai dan kadangkala kita tidak nampak kebaikan-kebaikan itu.

Surah al-Mu’minuun (23:115)
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّما خَلَقْناكُمْ عَبَثاً وَ أَنَّكُمْ إِلَيْنا لا تُرْجَعُونَ
“Apakah kamu menyangka bahwa itu semua Kami jadikan dengan sia-sia, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami ?”

Kita juga mestilah faham, bahawa di samping tugasan utama sebagai khalifah, kita juga dibenarkan menjalankan tugasan-tugasan sampingan mengikut keupayaan dan kreativiti-kreativiti kita seperti menjadi seorang doktor muslim, guru muslim, pilot muslim, peniaga muslim dan lain-lain dengan syarat tidak melupakan dan mengabaikan tugasan utama kita. Kita juga dibenarkan berkeluarga dan memiliki apa jua secara sederhana, tidak berlebih-lebihan. Sesungguhnya nikmat di akhirat adalah lebih ‘grand’ dan akan dinikmati sampai bila-bila. Itu pun kalau kita lulus semua ujian-ujian kehidupan di Dunia ini seperti para sahabiah dan para syuhada (artikel 3.5)

Itulah kehidupan kita, sementara menunggu hari kematian. Hari di mana malaikatul maut datang atas suruhan Penguasanya menjemput kita dan menamatkan tugasan kita di dalam syarikat-Nya. Maka terhentilah sudah ujian-ujian ke atas diri kita. Apa yang ada itulah sebagai bekalan yang akan dibawa bersama untuk mengadap Penguasa di hari pengadilan. Lulus atau tidak pembicaraan ke atas diri kita bergantung kepada ihsan dan rahmat Allah.

Oleh itu satu lagi yang perlu kita ingat sekarang ialah rebutlah peluang-peluang yang masih ada iaitu peluang sihat sebelum sakit, peluang senang sebelum susah, peluang lapang sebelum sempit, peluang muda sebelum tua dan peluang hidup sebelum mati. Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang menyesal tak sudah, ingin kembali beramal tetapi mustahil baginya. ‘Jelous’ melihat mereka yang mendapat nikmat di syurga sedangkan dirinya terseksa di dalam neraka.

Dulu Penguasa telah mengingatkan berpuluh-puluh kali di dalam al-Quran tetapi ………apakan daya, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya lagi. Itulah saat yang dijanjikan, saat di mana `MATI’ itu mati, tiada siapa yang boleh mengubahnya. Sayangilah diri kita dan keluarga kita dari terjerumus ke dalam penjara Allah iaitu neraka-neraka yang disediakan kepada mereka yang engkar dan menyeleweng di dalam syarikat-Nya.

Surah at-Tahrim (66:6)

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ (٦)
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Surah al-Baqarah (2:82)

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡجَنَّةِۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ (٨٢)
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan