19 Jun 2011

4.4 Surah Al-Masad(Sabut) - سُوۡرَةُ لهب / المَسَد

Makkiyyah(111: 1-5)

تَبَّتۡ يَدَآ أَبِى لَهَبٍ۬ وَتَبَّ (١)
1.Binasalah dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya ia tetap binasa

مَآ أَغۡنَىٰ عَنۡهُ مَالُهُ ۥ وَمَا ڪَسَبَ (٢)
2.Tidak berguna hartanya dan apa yang telah diusahakan.

سَيَصۡلَىٰ نَارً۬ا ذَاتَ لَهَبٍ۬ (٣)
3.Kelak dia akan masuk ke dalam api neraka yang bergejolak/menyala-nyala.

وَٱمۡرَأَتُهُ ۥ حَمَّالَةَ ٱلۡحَطَبِ (٤)

4.Dan isterinya pembawa kayu bakar.

فِى جِيدِهَا حَبۡلٌ۬ مِّن مَّسَدِۭ (٥)
5.Pada lehernya tali(terikat) dari sabut(terpintal kukuh).


Nama Surah

I. Surah al-Masad berdasarkan ayat terakhir مَّسَدِۭ bermaksud sabut.
II. Surah al-Lahab/Abi Lahab berdasarkan ayat satu dan ketiga dengan perkataan لَهَبٍ۬ Bermaksud api yang bergejolak.
III. Surah Tabbat berdasarkan ayat awal surah تَبَّتۡ yang bermaksud binasa.


Latar belakang Surah

Surah ini berkisar kepada kisah Abu Lahab dan isterinya terhadap dakwah Rasulullah saw. Sebelum dakwah Nabi saw, Abu Lahab tidak bermusuhan dengan Baginda. Beliau telah memerdekakan hambanya bernama Tsuwaibah kerana tanda terlalu gembiranya beliau ke atas anak saudaranya Abdullah yang telah meninggal memperolehi anak lelaki iaitu Nabi Muhammad saw. Tsuwaibah sempat menyusui Rasulullah saw dalam beberapa hari sebelum disusui oleh Halimah bin Abi Zuaib.

Selepas Rasulullah saw menerima wahyu supaya berdakwah secara terang-terangan (al-Hijr 15:94-95), Baginda menerima lagi wahyu supaya memperingatkan kepada kerabat-kerabat Baginda yang terdekat dahulu(asy-Syu’ara 26:214-216). Baginda berasa runsing sehingga sebulan tidak keluar rumah menyebabkan bapa saudaranya Abu Thalib dan isterinya, serta pakcik-pakciknya datang menziarahinya untuk bertanya khabar. Baginda mendapat peluang ini menyatakan yang sebenarnya bahawa dia diminta oleh Allah swt supaya menyeru mereka mentauhidkan Allah swt. Pakcik dan makciknya tidak melarang beliau untuk berdakwah tetapi meminta supaya tidak diketahui oleh Abu Lahab, pakciknya.

Justeru itu, Rasulullah saw memanggil orang kampungnya untuk berkumpul di Bukit Shafa. Abu Lahab telah turut serta.

Rasulullah saw memulakan bicaranya; “Bagaimanakah pendapat kamu jika aku memberitakan kepada kamu bahawa ada musuh berkuda keluar dari sebalik gunung ini lalu ia berkehendak merubah kamu sekelian, adakah kamu membenarkan daku?”

Sekelian yang hadir menjawab; “Ya kami percaya, kami tidak pernah mengetahui bahawa engkau(Muhammad) seorang yang berdusta.”

Rasulullah saw bersabda; “Bahawa sesungguhnya aku ini pemberi peringatan kepada kamu, dihadapan sana terdapat siksa Tuhan yang sangat keras.”

Tiba-tiba Abdul Uzza(Abu Lahab) berteriak mengejutkan para hadirin: “Celakalah kamu! Hai Muhammad! Apakah hanya untuk ini saja kamu kumpulkan kami semua?” Kemudian mengutip batu ingin dilemparkan kepada Nabi saw.

Rasulullah saw terdiam, kemudian mengatakan dengan muka yang merah padam; “Sama sekali belum pernah aku melihat seorang yang datang pada keturunan orang tuanya dan kaumnya yang lebih keji daripada apa yang engkau perlihatkan itu.”

Kemudian pada saat itu turunlah ayat pertama dari surah al-Masad; “Celakalah kedua tangan Abu Lahab dan sangat celakanya.”

Dalam pada itu Abu Lahab masih marah-marah dan mengomel; “Jika apa yang dikatakan Muhammad itu benar(nyata), maka aku tebuslah darinya dengan harta benda dan anakku,”

Kemudian turunlah ayat kedua surah ini; “Tidaklah berguna darinya(Abu Lahab) harta bendanya dan segala usahanya.”

Abu Lahab terus mengomel dan mengganggu pertemuan ini, maka Rasulullah saw membubarkan pertemuan ini.

Rasulullah saw telah mengadakan pertemuan yang kedua atas permintaan sebahagian besar hadirin di pertemuan yang pertama. Pertemuan ini juga berlaku di kaki Bukit Shafa. Rasulullah saw sempat berpidato memberi tahu kepada hadirin bahawa beliau adalah utusan Allah, mengajak kepada mentauhidkan Allah, menyeru setiap kaum menyelamatkan diri dari api neraka. Dikala itu Abu Lahab mula marah dan mengomel-ngomel lagi.

Kemudian Rasulullah saw mengajak sesiapa yang ingin turut serta bersama beliau untuk berdakwah. Diwaktu itu lebih kurang 40 -45 orang hadirin mula bangun seorang demi seorang meninggalkan tempat duduknya. Dikala itu Abu Lahab mula menengking Nabi saw dan mengajak yang lain menangkapnya dan memenjarakannya. Maka keadaan menjadi tegang semula. Rasulullah saw membubarkan pertemuan ini.

Selepas daripada ini, Abu Lahab dan Isterinya Ummu Jamil mula giat ke ceruk kampung menentang Rasulullah saw. Mereka dibantu oleh Amr bin Hisyam(Abu Jahal). Abu Lahab menghasud kaum lelaki, Ummu Jamil menghasud kaum perempuan dan Abu Jahal menghasud pemuda-pemudanya.

Maka turunlah ayat al-Masad yang ke 3-5. “Ia (Abu Lahab) akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala. Dan isterinya(Ummu amil) pembawa kayu bakar itu. Kelak pada lehernya ada tali dari sabut.” Menjadi kebiasaan setiap wahyu yang diterima akan dibacakan kepada pengikut-pengikutnya. Pengikut-pengikutnya juga akan menyebut-nyebut wahyu tersebut sehinggalah suatu ketika sampailah ketelinga Ummu Jamil bahawa ia telah diejek dan dihina dengan tali sabut.

Ummu Jamil telah datang berjumpa dengan Rasulullah saw; “Adakah engkau melihat aku membawa kayu api bakar, dan adakah engkau melihat di leherku ada tali dari sabut?”

Rasulullah saw mendiamkan diri.

Pada hari yang lain, Ummu Jamil telah datang berjumpa dengan Nabi saw yang ketika itu Abu Bakar ada disebelah beliau. Abu Bakar berkata kepada nabi saw; “Lebih baik engkau menjauhkan diri dari sini!”

Rasulullah saw berkata; “Biarlah, akan terdinding antara aku dan dia.”

Lantas datanglah Ummu Jamil di hadapan Abu Bakar dengan tidak melihat Rasulullah saw ; “Hai Abu Bakar, betulkah sahabatmu selalu menghinakan daku begini….dan begitu…?”

Abu Bakar menjawab; “Tidak! Ia tidak menghinakan kamu, hanya membacakan firman Tuhan.”
Ummu Jamil berkata; “Memang engkau yang membenarkan dia.”
Kemudian Abu Bakar berkata kepada Nabi saw; “Dia tidak melihat engkau.”
Rasulullah saw menjawab; “Malaikat selalu menutup-nutupi sehingga ia berpaling lalu pergi.”

Hari demi hari semakin ramai yang mengikuti Rasulullah saw. Abu Lahab dan isterinya semakin giat menghasut kaumnya. Maka berlakulah pertelingkahan antara kaum muslimin dan kaum musyrikin Mekkah sehingga pemuka-pemuka musyrikin Quraisy dan Abu Lahab pergi berjumpa dengan Abu Thalib bapa saudara Nabi saw supaya menasihati Rasulullah saw berhenti dari berdakwah. Namun tidak diambil berat oleh bapa saudaranya.

Suatu ketika, jari Rasulullah saw bengkak dibaling batu dan menyebabkan Rasulullah saw demam. Selama 3 hari Baginda tidak keluar rumah. Arwa binti Harb bin ‘Umayyah (Ummu Jamil) datang kononnya ingin menziarahi Baginda tetapi telah mengejek mengatakan; “Muhammad, mengapa engkau tidak keluar-keluar dari rumah dan membawa berita yang sangat ajaib? Saya menyangka syaitanmu telah meninggalkan kamu kerana dua atau tiga hari tidak berkunjung kepadamu, dan barangkali ia tidak sudi lagi mendekatimu atau barangkali ia telah marah kepadamu.”

Ejekan ini telah tersebar di kalangan musyrikin Quraisy dan mula bersangka-sangka; “Oh, sekarang Muhammad telah ditinggalkan oleh Tuhannya, kerana Tuhannya telah memarahinya, maka sekarang ia sangat malu keluar rumahnya untuk menampakkan air mukanya.”

Rasulullah saw sangat berdukacita dengan ejekan-ejekan itu. Maka turunlah wahyu kepada Baginda; “Demi Matahari apabila telah meningkat. Demi malam hari apabila telah kelam, Tuhanmu tidaklah meninggalkan dikau dan tidak pula marah(kepadamu).” – (adh-Dhuha 93:1-3)

Seketika itu juga Rasulullah saw rasa sangat gembira , kemudian bertakbir dan bersyukur kepada Allah Yang Maha Besar.

Usaha Abu Lahab langsung tidak berjaya untuk memberhentikan dakwah Nabi saw. Maka beliau mula menyakiti Nabi saw. Suatu ketika Abu Lahab melemparkan kotoran najis di hadapan rumah Baginda. Lantas Baginda membersihkannya sendiri.

Pada suatu waktu, Abu Lahab sekali lagi membuang kotoran di hadapan rumah Rasulullah saw. Sambil membersihkannya Rasulullah saw berkata; “ Hai anak cucu Abdu Manaf! Beginikah cara orang-orang bertetangga?”

Pada suatu pagi, semasa Abu Lahab sedang membuang najis di hadapan rumah Rasulullah saw, telah diketahui oleh Hamzah(pakcik Nabi saw sebelum masuk Islam), lalu Hamzah mengambil najis tersebut dilemparkan kepada Abu Lahab. Lantas Abu Lahab memaki Hamzah dengan suara yang kasar.

Ummu Jamil pula mengadu domba kepada Abu Sufyan abangnya; “Hai abang! Engkau marah tak jika engkau mendengar adikmu dicaci orang?”
Abu Sufyan menjawab; “Sudah tentu aku marah.”
Ummul Jamil menyambung; “Muhammad sekarang selalu mencaci maki aku dan mengata-ngata aku dengan perkataan jijik dan keji.”
Abu Sufyan menambah; “ Kalau begitu sekarang juga Muhammad aku bunuh.” Sambil mengambil pedangnya dan ke rumah Rasulullah saw. Sampai sekerat jalan, ia berpatah balik dengan tergesa-gesa.
Ummu Jamil bertanya; “Adakah engkau sudah membunuh Muhammad?”
Abu Sufyan menjawab; “Oh adik ku, adakah engkau suka abangmu dimakan ular?”
Ummu Jamil terus menjawab; “Demi Latta tentu aku tidak akan suka, bahkan sangat merisaukan.”
Abu Sufyan menceritakan; “ Sewaktu aku ditengah jalan, ada seekor ular yang sangat besar ingin menelanku jika aku menghampiri rumah Muhammad. Ular itu mengejarku, maka aku lari dengan tergesa-gesa kerana aku takut.”

Setelah kematian bapa saudaranya Abu Thalib dan isterinya Khadijah r.a, Rasulullah saw merasa sedih sehingga jarang Baginda keluar rumah. Abu Lahab pakciknya datang menziarahi dan berkata; “Ya Muhammad! Teruskanlah oleh mu apa-apa yang yang telah kamu kehendaki, dan kerjakanlah oleh mu segala apa yang pernah kamu perbuat di kala Abu Thalib masih hidup. Maka sekarang akulah yang membela kamu!”

Dengan perkataan ini, Rasulullah saw keluar rumah sebagaimana biasa. Pemuka Quraisy tidak berani mengganggu Nabi saw. Selang beberapa hari, Datanglah pembesar dan pemuka Quraisy bertanyakan kepada Abu Lahab; “Hai Aba Atbah(Abu Lahab)! Betulkah engkau sekarang telah keluar dari agama orang tuamu, Abdul Muthalib?”
Abu Lahab menjawab; “Tidak! Saya tidak keluar dari agama orang tuaku, Abdul Muthalib.”
Mereka yang lain berkata; “Janganlah begitu, katakanlah yang sebenarnya kepada kami, kerana kami telah mendengar bahawa kamu sekarang telah keluar dari agama orang tuamu, Abdul Muthalib dan mengikut agama Muhammad.”
Abu Lahab menjawab; “Tidak! Sesekali tidak. Saya hanya menghalangi orang yang hendak membuat sewenang-wenang dan menganiaya anak saudaraku, agar dia dapat meneruskan kehendaknya sebagaimana semasa Abu Thalib masih hidup.”
Mendengarkan itu, mereka pun berkata; “Kalau begitu baiklah, memang engkau seorang yang baik budi, dan engkaulah orang yang memelihara kehormatan saudaramu dan engkaulah tidak suka memutuskan persaudaraan.”

Selang beberapa hari, datanglah Abu Jahal dan Uqbah bin Abi Mu’aith menghasut Abu Lahab supaya tidak memberi perlindungan kepada Rasulullah saw. Dengan menimbulkan kemarahan Abu Lahab terhadab Baginda. Maka kembalilah Abu Lahab memusuhi Rasulullah saw.

Rasulullah saw mengambil pendekatan dakwah dengan menghampiri kabilah-kabilah Arab dari luar Mekkah yang datang ke Mekkah. Sewaktu mereka beristirehat, Rasulullah saw datang bertanya khabar dan menyampaikan seruannya. Setiap kali selepas seruannya, datang Abu Lahab mencantas dakwah Nabi saw.

Apabila Rasulullah saw menyeru; “Hai sekalian manusia, sesungguhnya Allah memerintahkan kamu sekalian supaya menyembah kepada-Nya, dan jangan kamu menyengutukan Dia dengan sesuatu.”
Abu Lahab akan pasti mencantas dengan berkata; “Hai sekalian manusia, sesungguhnya orang ini memerintahkan kamu sekelian supaya meninggalkan agama orang-orang tuamu dahulu.”

Apabila Rasulullah saw menyeru; “Hai sekalian manusia! Ucapkanlah olehmu, Tiada Tuhan melainkan Allah, supaya kamu berbahagia.”
Datang Abu Lahab membangkang; “Hai sekalian manusia, janganlah kamu dengarkan perkataan orang ini kerana dia itu pendusta!”

Apabila Rasulullah saw menyeru; “Hai keturunan Fulan! Sesungguhnya aku ini Rasul Allah yang diutus untuk kamu sekalian, aku memerintahkan kepada kamu supaya menyembah kepada Allah dan janganlah kamu menyengutukan Dia dengan sesuatu. Dan hendaklah kamu melepaskan segala sesuatu yang kamu sembah dari selain Allah dari persekutuan-persekutuan ini, dan hendaklah kamu percaya kepadaku dan membenarkanku!”
Lantas Abu Lahab mencantas; “Hai keturunan Fulan! Sesungguhnya orang ini hanyalah mengajak kamu supaya kamu melepaskan berhala Latta dan Uzza dari sesembahanmu, kamu diajak olehnya untuk mengerjakan perbuatan bid’ah dan kesesatan kerana itu janganlah kamu mengikut dia dan janganlah kamu dengarkan dia.”

Tariq al-Muharibi menceritakan; “Ketika kami di pasar Dhi al-Majaz, saya ternampak seorang lelaki separuh umur berkata; ‘Wahai saudara-saudara sekelian! Ucapkanlah Tiada Tuhan melainkan Allah. Kelak kamu akan berjaya’. Tiba-tiba saya nampak seorang lelaki melemparkan sesuatu kepadanya dari belakang sehingga betis dan tumitnya berdarah. Lelaki itu mencelah; ‘Wahai saudara-saudara! Dia ini seorang pendusta dan janganlah kamu mempercayai cakapnya.’ Maka aku pun bertanya; ‘Siapakah lelaki itu?’ Ayahku menjawab itulah Muhammad yang mendakwa dirinya seorang Nabi dan itu pula bapa saudaranya Abu Lahab yang mendakwa ia seorang pendusta.”

Abu Lahab telah tidak ikut serta dalam peperangan Badar bersama pemuka-pemuka Quraisy kerana takut. Beliau telah menghantar ‘Ash bin Hisyam dengan bayaran 4000 dirham sebagai bayaran hutangnya dengan Abu Lahab.

Abu Lahab telah menganjurkan anak lelakinya menceraikan anak perempuan Rasulullah saw Ruqayyah dan Ummu Kalsum sebagai penghinaan kepada Rasulullah saw.

Apabila Rasulullah saw kematian anak lelakinya Abdullah, Abu Lahab melompat kegembiraan dan menghebahkan kepada kawan-kawan beliau bahawa Rasulullah saw keputusan zuriat.

Ummu Jamil telah menghalangi laluan Rasulullah saw dengan duri-duri dan menyebarkan fitnah. Beliau juga telah mendermakan barang kemasnya dalam usaha menjatuhkan Rasulullah saw.

Abu Lahab telah mendapat penyakit pelik seperti tidak siuman dan telah mati di Mekkah.


Fikrah ayat;

تَبَّتۡ يَدَآ أَبِى لَهَبٍ۬ وَتَبَّ (١)
تَبَّتۡ yang pertama merupakan doa ‘binasalah’ Abu Lahab.
وَتَبَّ yang kedua adalah penyataan di mana doa yang pertama itu telah terlaksana. Memang Abu Lahab telah binasa.

مَآ أَغۡنَىٰ عَنۡهُ مَالُهُ ۥ وَمَا ڪَسَبَ (٢
Kebinasaan Abu Lahab berlaku di Dunia lagi di mana semua usaha dan hartanya tidak dapat menolongnya untuk menghalangi kebinasaan ini. Perkataan أَغۡنَىٰ memberi pengertian ; i) Kalau seseorang itu tiada harta tetapi dia membantu menyebarkan Islam, maka dia akan diselamatkan di Akhirat. ii) Segala harta kekayaan tidak akan mampu menghalang seruan Islam. Orang yang kaya seperti Qorun, Fir’aun, juga Bush pun tidak dapat menghalang Islam.

سَيَصۡلَىٰ نَارً۬ا ذَاتَ لَهَبٍ۬ (٣
Pembalasan di Akhirat pula, Abu Lahab akan masuk ke dalam api neraka yang marak dan menyala-nyala.
Nama sebenar Abu Lahab ialah Abu U’zza sempena nama berhala. Di beri gelaran Abu Lahab kerana ‘Lahab’ bermaksud api yang menyala-nyala. Jadi Abu Lahab ini seorang yang mukanya bercahaya. Malah sejarah menyatakan dia mempunyai lesung pipit.


وَٱمۡرَأَتُهُ ۥ حَمَّالَةَ ٱلۡحَطَبِ (٤

فِى جِيدِهَا حَبۡلٌ۬ مِّن مَّسَدِۭ (٥

Isteri Abu Lahab akan turut sama dibakar oleh api neraka dengan keadaan membawa kayu api dan lehernya terikat dengan sabut, yakni tali yang mengikat kayu api yang berduri.
حَمَّا bermaksud pembawa kayu api.Kayu api berduri ini telah digunakan untuk menghalang laluan Rasulullah saw.
حَطَبِ bermaksud kayu api. Kiasan bagi membawa fitnah dan mengapi-apikan.
مَّسَدِۭ bermaksud sabut. Sabut adalah hodoh dan selalunya dibuat tali untuk mengheret unta. Ini adalah satu penghinaan kepada Arwa(Ummu Jamil).
Arwa bererti seseorang yang memberi minum sehingga puas. Jamil bermaksud cantik.

Perkaitan dengan surah sebelumnya

Mengikut susunan surah dalam al-Quran(tauqifi - susunan yang tiada campur tangan manusia,hanya susunan dari Allah swt); Surah an-Nas menunjukkan manusia akan menerima gangguan dalaman yang hanya pertolongan Allah sahaja mereka dapat menghindarinya. Kemudian surah al-Falaq, menunjukkan manusia juga akan menerima gangguan luaran seperti sihir dan sifat dengki sesama manusia. Ini juga hanya pertolongan Allah sahaja mereka akan dapat menghindarinya. Kemudian surah al-Ikhlas menunjukkan manusia perlu mengikhlaskan diri secara total hanya kepada Allah, tidak kepada yang lain. Ketiga-tiga ayat ini di mulai dengan perkataan قُلۡ yang mengarahkan kita menyatakan/menyeru/berdakwah kepada manusia sejagat bahawa manusia itu lemah, memerlukan perlindungan Allah, tidak syirik dan hanya mentauhidkan kepada Allah swt.

Kemudian surah al-Masad ini menunjukkan setiap dakwah/seruan kepada jalan Allah pasti akan mendapat tentangan dan ujian. Melihat kepada masyarakat kita sekarang ini yang mengaplikasikan sistem sekular di mana hal agama tidak boleh dicampurkan dengan hal-hal kehidupan yang lain. Agama adalah hak individu. Ini bertentangan dengan konsep Islam di mana umat Islam perlu mengajak manusia sejagat supaya mengaplikasikan sistem Islam/Ad-din di dalam penghidupan mereka. Seruan ini pasti akan mendapat tentangan dari beberapa pihak.

Tiga tahun pertama dakwah Rasulullah saw adalah secara sembunyi-sembunyi(sir). Ajakan Rasulullah saw hanya kepada mereka yang boleh menjaga rahsia keIslaman mereka dan Rasulullah saw mempercayai mereka akan mengikuti ajakan Baginda. Orang Arab diwaktu itu tinggal dalam kawasan yang tertutup, yaitu lebih kurang 10 000 orang penduduk sahaja dalam satu kawasan, tiada kemajuan internet seperti sekarang, pasar pula ada satu dua sahaja. Oleh itu mudah untuk mengenali antara satu sama lain dengan nama-nama yang terperinci. Begitu juga Rasulullah saw dapat mengecam siapakah dikalangan mereka yang akan mengikuti Baginda.

Selepas tiga tahun, awal tahun ke empat, Rasulullah saw mengajak 40-45 orang keluarganya yang terdekat secara terang-terangan. Banyak tentangan dihadapi termasuk bapa saudaranya Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil.

Dalam al-Qur’an tidak banyak nama-nama disebut kecuali mereka yang sudah pasti celaka atau bahagia. Contoh mereka yang celaka ialah Fir’aun, Haman dan Qorun di zaman Nabi Musa a.s dan Abu Lahab di zaman Rasulullah saw. Abu Lahab adalah orang pertama yang menentang dakwah Nabi saw.

Pemuka-pemuka Quraisy yang menentang Rasulullah saw telah mati di perang Badar. Abu Lahab pula mati dalam kehinaan.

Apa yang kita dapat daripada surah ini

1. Allah swt memberi jaminan supaya jangan takut apabila ada orang menentang seruan Islam, mereka pasti akan binasa dan masuk neraka. Ini merupakan berita gembira kepada Rasulullah saw dan pendakwah Islam.

2. Apa pun usaha untuk melawan Rasulullah saw(juga pendakwah Islam) tidak akan berjaya walaupun mereka mempunyai kekayaan harta yang banyak. Ini kerana Allah swt beserta dengan Rasulullah saw dan sesiapa penyambung tugasnya.

3. Abu Lahab merupakan simbol penentang Islam. Akan ada penentangan dari keluarga terdekat dan dari musuh Islam jika dakwah Islam dilaksanakan.

4. Kaum wanita juga akan menerima nasib sama seperti Arwa/Ummu Jamil jika bertindak sama sepertinya.

5. Harta yang banyak tidak memberi makna jika tidak digunakan ke jalan yang benar. Yaitu jalan penyeruan kepada Islam.

Oleh itu, ini merupakan motivasi kepada setiap individu muslim, jangan takut atau ragu-ragu untuk menyeru manusia sejagat kepada Islam dan hanya mentauhidkan diri kepada Allah swt. Usaha ini pasti mendapat pembelaan dari Allah Pemelihara sekelian makhluk dan A’lam ini.

2 ulasan:

  1. Alhamdulillah..dapat baca kisah ini..terima kasih kepada penulisnya.Jazakallahu Khairan Kathira

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah..sangat bermanfaat..jzkk ukhti..mohon share boleh? bagi tujuan halaqah :)

    BalasPadam