Sebelum kita membincangkan perenggan yang seteruskan, elokkan kita `recap’ kembali perbincangan lepas. Bila kita dah faham al-Qur’an, maka sepatutnya kita mempunyai tanggapan/pandangan/persepsi yang selari dengan al-Qur’an dalam `melihat sesuatu perkara’ . Tanggapan Muslim dan Kafir adalah berbeza; dan tanggapan Muslim yang membaca al-Qur’an dan tidak membaca al-Quran juga berbeza.
Di antara tasawwur al-Qur’an yang telah dibincangkan ialah:
1. Al-Qur’an diturunkan untuk hati. Ia memberikan kita Hidayah dan Ad-din (Al-A'raaf 7:179, Yunus 10:57, at-Taubah 9:122)
2. Duduk di bawah naungan al-Qur'an adalah satu keberkatan, kemuliaan dan penghormatan yang tidak ternilai. Keberkatan dan keredhaan Allah hendaklah diusahakan.
3. Ada dua sahaja jalan; iaitu Islam dan Jahiliyah. Perkara yang tidak bersandarkan wahyu, sunnah dan syariat Islam adalah jahiliyah. Dikatakan jahiliyah ialah bilamana kita:
a. cenderung dan redha kepada maksiat (Yusuf 12: 33)
b. berprasangka buruk terhadap Allah (Ali-Imran 3:154)
c. ego, sombong, semangat berpuak-puak (Al-Fath 48:26)
d. tidak mengambil hukum Allah (Al-Maa’idah 5:50)
e. tidak mengikut syariat Allah dalam berhias (Al-Ahzab 33:33)
Seterusnya Sayyid Qutb berkata:
" Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku dapat meni’mati kefahaman yang sempurna dan menyeluruh, tanggapan yang tinggi dan bersih terhadap alam al-wujud, terhadap matlamat alam al-wujud dan terhadap matlamat kewujudan manusia. Kemudian aku bandingkan dengan kefahaman-kefahaman dan tanggapan jahiliyyah yang dihayati oleh umat manusia di Timur dan di Barat, di Utara dan di Selatan. Kemudian aku bertanya: Mengapa manusia sanggup hidup dalam paya busuk, di tahap rendah dan di dalam gelap gelita kesesatan yang menghitam itu, sedangkan mereka mempunyai padang-padang yang bersih, tempat-tempat yang tinggi dan cahaya yang terang benderang? "
Dalam perenggan ini Sayyid Qutb menjelaskan al-Qur'an membentuk pandangan yang sempurna dan menyeluruh terhadap:
1. Alam al-wujud
2. Matlamat kejadian al-wujud
3. Matlamat kejadian manusia
1. Membentuk pandangan terhadap al-wujud
Alam al-wujud ialah semua yang wujud di sekeliling kita. Samada nampak ataupun tidak (alam ghaib/tidak diketahui). Kesemuanya adalah makhluk dan ‘benda baru’ kerana ia diciptakan oleh Allah. Tidak terbilang ciptaan Allah … ini termasuklah segala galaksi yang ada (langit, bintang, matahari, bulan, bumi dll); gunung-ganang, haiwan, tumbuh-tumbuhan, malaikat dan jin. Hatta bayang-bayang, masa, kematian… adalah kesemuanya makhluk. Firman Allah, Al-Fatihah 1:2
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ ٢
Segala puji-pujian terpulang kepada Rabb yang memelihara semesta alam
Kesemua alam yang ada ini samada kita ketahui atau tidak adalah dimiliki, dijaga, dipelihara, dikuasai oleh Allah yang Esa sahaja. Allah adalah al-Rabb. Ini adalah menjadi dasar kefahaman atau keyakinan umat Islam kerana sifat Rububiyah yang mutlak dan menyeluruh merupakan salah satu dasar aqidah Islam. Kata-kata `Rabb’ bererti pemelihara, penguasa, pentadbir dan pengurus yang mengendalikan urusan keislahan dan kerja-kerja tarbiyah dan pengasuhan seluruh makhluk-Nya.
Allah tidak menciptakan alam al-wujud, kemudian membiarkannya begitu sahaja. Malah Allah memperelok, menjaga, memelihara dan mengasuhnya kerana itu hubungan Allah dan makhluk sentiasa berterusan di setiap waktu dan keadaan. Firman Allah; Jumu'ah 62:1
يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ ٱلۡمَلِكِ ٱلۡقُدُّوسِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَكِيمِ (١
Segala makhluk di langit dan segala makhluk di bumi sentiasa bertasbih memuji Allah. Pemilik Yang Maha Agung, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.
Ayat ini menjelaskan hakikat tasbih yang berterusan diucapkan oleh seluruh makhluk di alam al-wujud. Ia membentuk fikiran kita bahawa setiap sesuatu yang ada di langit dan di bumi ini adalah hidup dan sedang bertasbih kepada yang menciptakannya; walaupun mata kasar kita tidak nampak dan mendengar tasbih mereka. Ia benar-benar bertasbih dan bukannya sekadar simbolik kerana Allah-lah yang memberitahu kita. Tidak perlu diwas-waskan atau ada syak dalam hati kita. Ini adalah iman; dan orang mukmin kena yakin dan merasainya.
Apabila pandangan kita pada semua benda yang ada di langit dan di bumi ini hidup dan bertasbih, maka sepatutnya kita tidak terasa keseorangan / kesunyian di mana sahaja kita berada. Pokok bertasbih, semut juga bertasbih, malah dinding juga bertasbih; dan kesemua ini adalah `Islam’ yang tunduk, patuh dan memuji Allah.
Adakah kita merasai, bahawa makhluk disekeliling kita ini Islam, tunduk kepada Allah ?
Apakah ada lagi ketakutan/kegelisahan di dalam diri kita bila kita berseorangan ditempat yang asing dengan kita ?
2. Matlamat kejadian alam al-wujud
Untuk apa sebenarnya alam al-wujud ini diciptakan ? Surah an-Naazi’aat 79:27-33
ءَأَنتُمۡ أَشَدُّ خَلۡقًا أَمِ ٱلسَّمَآءُۚ بَنَٮٰهَا (٢٧) رَفَعَ سَمۡكَهَا فَسَوَّٮٰهَا (٢٨) وَأَغۡطَشَ لَيۡلَهَا وَأَخۡرَجَ ضُحَٮٰهَا (٢٩) وَٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ دَحَٮٰهَآ (٣٠) أَخۡرَجَ مِنۡہَا مَآءَهَا وَمَرۡعَٮٰهَا (٣١) وَٱلۡجِبَالَ أَرۡسَٮٰهَا (٣٢) مَتَـٰعً۬ا لَّكُمۡ وَلِأَنۡعَـٰمِكُمۡ (٣٣
Apakah kamu yang lebih sukar diciptakan atau langit lebih sukar dibinakannya? (27). Allah telah meninggikan bangunan langit dan menyusunnya dengan sempurna (28). Dia menggelapkan hari malamnya dan menerangkan hari siangnya (29). Dan setelah itu Dia hamparkan bumi (30). Dan dari bumi, Dia keluarkan airnya dan tumbuh-tumbuhannya. (31). Dan Dia tegakkan gunung-ganang (32). (semua itu) untuk kenikmatan kamu dan ternakan kamu (33)
Kita melihat langit, matahari dan bulan adalah jauh lebih besar daripada kita. Allah menempelak manusia dengan pertanyaan adakah penciptaan manusia yang sekerdil ini lebih sukar dari penciptaan langit. Tiada jawapan yang lain melainkan jawapan menyerah kalah dan mengaku bahawa langitlah yang lebih sukar diciptakan. Langit dibina begitu kukuh, tinggi, sepadu dan sempurna. Bintang-bintang dan planet-planet yang besar bergerak dengan selaras dan seimbang.
Masih sombongkan kita dengan Allah ? Masih tertipukah kita dengan kekuatan tak seberapa kita ini?
Begitu juga dengan hakikat gelap dan terang silih berganti di waktu malam dan siang dirasakan oleh setiap hati. Tetapi ia mungkin dilupakan, kerana terlalu biasa. Oleh itu al-Qur’an mempebaharui ingatan itu dengan mengerakkan perasaan manusia supaya kita terasa dan berasa takjub dengan kekuasaan Allah.
Allah juga menghamparkan bumi agar kita boleh berjalan keatasnya dan bercucuk-tanam. Penegakan gunung-ganang memantapkan permukaan bumi dan wujudnya darjah kepanasan bumi pada tahap sederhana yang membolehkan makhluk bernyawa hidup diatasnya. Allah mengeluarkan air dari bumi samada yang mengalir dari matair-matair atau yang turun dari langit, kerana air hujan juga berasal dari bumi yang berubah menjadi wap yang naik ke udara kemudian turun semula dalam bentuk air hujan. Allah keluarkan dari bumi tumbuh-tumbuhan yang dapat dimakan oleh manusia dan ternakan. Semuanya ini berlaku selepas dibinakan langit, digelapkan malam dan diterangkan siang.
Untuk siapakah semuanya ini ? Allah mengumumkan bahawa segala yang diciptakan Allah itu adalah untuk kenikmatan kamu dan ternakan kamu (79:33). Malah binatang ternakan itu juga untuk kita sebenarnya. Seluruh struktur alam dan bumi disesuaikan dengan kepentingan-kepentingan hidup manusia.
Ayat-ayat ini mengingatkan manusia bahawa betapa besarnya pentadbiran Allah. Pembinaan langit dan penghamparan bumi bukanlah secara mendadak atau kebetulan. Ia dibuat dengan perkiraan yang sesuai dengan kepentingan manusia yang akan memerintah bumi ini. Penyesuaian-penyesuaian yang amat banyak dalam pelan alam dan pelan keluarga matahari khususnya, dan lebih-lebih lagi pelan bumi memustahilkan alam ini berlaku secara kebetulan. Begitulah juga dengan kehidupan kita, tiada yang berlaku secara kebetulan atau `co-incidence’. Semuanya adalah dari perancangan Allah.
Adalah perlu kita fahami bahawa kedudukan manusia di bumi yang diaturkan sedemikian rapi merupakan pendahuluan untuk memahami hikmat diwujudkan alam akhirat. Tidak mungkin manusia diciptakan sedemikian rapi ditinggalkan begitu sahaja tanpa menerima balasannya.
Dan tidak masuk akal bahawa riwayat manusia akan berakhir dengan usianya yang pendek di dunia ini. Tidak masuk akal kezaliman dan kebatilan yang bermaharajalela di bumi akan berlalu dengan selamat, dan tidak masuk akal kebaikan, keadilan dan kebenaran yang diganyangkan di bumi ini berlalu sahaja. Oleh itu hakikat alam al-wujud ini mempunyai titik pertemuan dengan hakikat Akhirat.
Untuk muhasabah diri
1. Alam al-wujud adalah makhluk dan `perkara baru'. Hakikatnya segala yang wujud adalah dari Allah.
2. Kita bukanlah makhluk yang berkeseorangan. Semua makhluk bertasbih.
3. Kita ini hamba Allah yang lemah
4. Hakikat penciptaan kita adalah begitu mudah bagi Allah.
5. Alam al-wujud adalah untuk manusia.
6. Kita adalah makhluk yang istimewa
7. Tiada istilah kebetulan dalam Islam. Semuanya dalam perancangan Allah.
Insya-Allah akan dibincangkan hakikat matlamat kejadian manusia di artikel yang seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan