31 Mei 2011

3.3 TIPU DAYA JAHILIYYAH

“ Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?” .... Sayyid Qutb

Al-Qur'an memberi tanggapan dan persepsi jahiliyyah sebagai perkara yang patut dibersihkan dari diri seorang mukmin. Unsur jahiliyah hendaklah digantikan dengan ad-din. Satu cara hidup/sistem/peraturan yang hamba Allah patut tunduk sepenuhnya (lihat artikel ad-din)

Perkara yang tidak berasaskan wahyu dan sunnah Rasul, adalah jahiliyah. Jahiliyah tiada nilai disisi Allah. Sayyid Qutb mengumpamakan jahiliyah seperti `permainan kanak-kanak' yang leka dalam dunia fantasinya. Analogi mudah ialah seperti kanak-kanak yang asyik bermain `masak-masak'. Dari sudut pandangan orang dewasa ia hanyalah satu perkara yang tiada nilainya. Benda yang dibuat bukan `real’ tetapi telatah mereka seperti ia benar-benar berlaku. Dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan keseronokan bermain tidak boleh dikacau. Mereka menjadi marah bila keselesaannya diganggu.

Bilamana kita duduk bersama al-Qur'an dan memahami tasawwur al-Qur'an, maka kita merasa hairan dan kesian terhadap manusia yang berlumba-lumba mengejar `jahiliyah'. Perkara yang tiada nilai disisi Allah ini, diusahakan dan dipertahankan sehingga menjadi darah daging yang sukar dipisahkan. Ia melibatkan pelbagai aspek dari masalah dalaman hati hinggalah terhadap aspek luaran individu, masyarakat dan negara.

Bagaimanakah al-Qur'an menjelaskan Jahiliyah

Istilah Jahiliyah dinisbahkan kepada keadaan manusia sebelum datangnya hidayah dan da’wah nabi. Kata dasar ialah al-jahalu yang bererti tidak tahu atau bodoh. Bodoh terhadap Allah, Rasul dan syari’at-syari’at-Nya serta mereka berbangga-bangga dengan keturunan, kebesaran dan sebagainya. Jahiliyah adalah satu `pattern’ bentuk perilaku atau tabiat atau sifat orang Islam hingga ke hari ini yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Allah mengecam /menempelak mereka dalam banyak ayat.

Dan ketika Allah menerangkan kisah Nabi Yusuf a.s dalam surah Yusuf, (12: 33) :

قَالَ رَبِّ ٱلسِّجۡنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدۡعُونَنِىٓ إِلَيۡهِ‌ۖ وَإِلَّا تَصۡرِفۡ عَنِّى كَيۡدَهُنَّ أَصۡبُ إِلَيۡہِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلۡجَـٰهِلِينَ (٣٣)
“Yusuf berkata: Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh.”

Dalam ayat ini, cenderung kepada keburukan adalah juga sikap Jahiliyyah. . Nabi Yusuf a.s. rela masuk ke dalam penjara dan berada dalam kesensaraan/kesukaran berbanding dengan menerima tawaran melakukan maksiat. Prinsipnya tegas, dan inilah juga sikap para anbiya yang lain. Bagaimanakah kita ?

Di dalam al-Qur'an istilah Jahiliyah dikaitkan dengan empat perkara iaitu:

1. Ali-Imran (3:154) – ظَنَّ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِۖ ( sangkaan jahiliyah )

2. Al-Maa’idah (5:50) – أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ (hukum/undang-undang jahiliyah)

3. Al-Ahzab (33:33) – تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ (perhiasan jahiliyah)

4. Al-Fath (48:26) – حَمِيَّةَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ (semangat/kesombongan jahiliyah)

Ada dua(2) yang berkait dengan masalah hati iaitu:
1. ظَنَّ
2. حَمِيَّةَ
Dua(2) lagi bersifat amalan luaran iaitu:
1. أَفَحُكۡمَ
2. ‫ تَبَرُّجَ

Sangkaan Jahiliyah : ظَنَّ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ‌

Surah ali-'Imran (3:154)

وَطَآٮِٕفَةٌ۬ قَدۡ أَهَمَّتۡہُمۡ أَنفُسُہُمۡ يَظُنُّونَ بِٱللَّهِ غَيۡرَ ٱلۡحَقِّ ظَنَّ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ‌ۖ يَقُولُونَ هَل لَّنَا مِنَ ٱلۡأَمۡرِ مِن شَىۡءٍ۬‌ۗ
“……sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang Jahiliah. Mereka berkata: Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?......”

Keterangan ayat (bermula ayat 152-154): Allah menerangkan sebab-sebab kekalahan umat Islam dalam peperangan Uhud. Kesalahan besar unit pemanah adalah satu kisah yang masyur. Namun ketika pertempuran yang amat sengit ini, tentera Islam telah ditenangkan Allah swt. Mereka telah dilelapkan sekejap sebagai petanda memperolehi keamanan dari Allah. Kemudian Allah swt menyebut dalam ayat ke-154 berkenaan peristiwa yang dialami oleh orang munafik selepas tentera Muslim kalah dalam perang Uhud. Mereka tidak dapat menikmati rasa mengantuk seperti rasa mengantuk seperti yang dirasakan oleh orang yang kuat imannya kerana mereka bingung, cemas dan bersangka buruk kepada Allah. Malah mereka yakin kemenangan kaum Musyrik dalam Perang Uhud menunjukkan agama Islam sudah berakhir. Ada yang memikirkan untuk berhubung dengan Abdullah bin Ubai, kepala munafiqqun bertujuan mendapat perlindungan dari serangan Abu Sufian.

Mereka adalah orang yang ragu-ragu. Apabila terjadi peristiwa yang tidak menyenagkan berlaku, muncul sangkaan-sangkaan buruk kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan maksud sangkaan jahiliyah



حَمِيَّةَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ - hamiyatul jahiliyah (kesombongan jahiliyah)

Ia bermaksud perasaan ego yang tinggi sehingga tidak mahu menerima kebenaran. Sikap seperti inilah yang tertanam kuat di hati orang musyrik Mekah yang `pekat' dengan asobiyah perkauman dan keturunan. Firman Allah - Al-Fath (48:26);

إِذۡ جَعَلَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فِى قُلُوبِهِمُ ٱلۡحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَڪِينَتَهُ ۥ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَعَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَأَلۡزَمَهُمۡ ڪَلِمَةَ ٱلتَّقۡوَىٰ وَكَانُوٓاْ أَحَقَّ بِہَا وَأَهۡلَهَا‌ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمً۬ا (٢٦)

“Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa dan adalah mereka berhak dengan kalimat taqwa itu dan patut memilikinya. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. .”

Dalam hadis-hadis Rasulullah saw juga banyak diterangkan bagaimana sikap Jahiliyyah ini. Imam Bukhari dalam Kitab Iman dengan judul Bab “ Kema’siatan merupakan perkara Jahiliyyah”, meriwayatkan Hadis; ketika itu seorang laki-laki dari kalangan Muhajirin mendorong seorang laki-laki dari kaum Ansar, orang Ansar tersebut memanggil golongannya; “Hai orang-orang Ansar dan begitu pula orang Muhajirin tadi, ia juga memanggil kawannya yang Muhajirin; Hai orang-orang Muhajirin, kemudian bersabdalah Rasulullah saw :
Apakah engkau memperhatikan panggilan jahiliyyah itu? Tinggalkanlah olehmu karena itu perbuatan busuk”
- (HR. Ahmad & Baihaqi)

Ketika seseorang mempersiapkan golongan/puak/kaum-nya atas golongan/puak/kaum yang lain, dengan memanggil-manggil golongannya, maka itulah fanatik golongan/perkauman. Hal itu termasuk perbuatan Jahiliyyah.

Bagaimanakah kita ? Allah menjelaskan bahawa kita ini disatukan dengan kesatuan aqidah. Maka tidak sepatutnya kita sombong dengan pangkat, kuasa, darah keturunan, bangsa, semangat kenegerian dan asal usul kita. Ia tiada nilai disisi Allah.


أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ - hukum jahiliyah.

Maksudnya ialah hukum-hukum/peraturan/cara hidup selain yang ditetapkan oleh Allah. Firman Allah - surah al-Ma’idah (5:50)

أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَ‌ۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمً۬ا لِّقَوۡمٍ۬ يُوقِنُونَ

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ? ”

Imam Ibnu Kathir menafsirkan bahawa Allah menempelak orang yang tidak mahu mengikuti hukum-Nya. Ini termasuklah mereka yang:

1. Enggan melakukan kebaikan

2. Tidak melarang keburukan.

3. Beralih dan mengikuti pendapat/hukum/undang-undang yang dibuat oleh manusia yang tidak disandarkan kepada syariat Allah (perlulah kita buat checklist agar kita tidak termasuk golongan ini )


تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ - Perhiasan jahiliyah

Allah melarang isteri-isteri Nabi s.a.w melakukan Tabarruj (berhias berlebih-lebihan) kerana hal itu termasuk perbuatan Jahiliyyah;

وَقَرۡنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu…” – (al-Ahzab 33:33)

Tabarruj Jahiliyah ialah perilaku manusia yang mendedahkan perhiasan dan keindahan tubuhnya diluar syariat Allah (akan dibincangkan dalam artikel lain, insyaAllah)


APAKAH YANG PERLU KITA LAKUKAN ?

Perlulah kita bermuhasabah kepada diri kita sendiri. Adakah kita masih lagi mempunyai unsur-unsur jahiliyah. Iaitu bersangka buruk dengan Allah bila tiba musibah; tidak redha dengan qadar Allah; ego yang tinggi sehingga tidak menerima kebenaran Islam; tidak menjadikan al-Qur'an dan Sunnah sebagai ad-din; dan masih mempunyai sifat tabarruj yang di luar batas syari’at.

Selagi mana unsur-unsur jahiliyah tidak dibuang dari dalam hati kita; Islam dan iman tidak akan hidup subur. Di zaman Nabi saw, ketika mana pertama kali seseorang itu menganut Islam, dia merasakan itulah zaman baru dalam hidupnya, terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya di zaman jahiliyah. Dengan perasaan inilah dia menerima hidayah dan petunjuk. Jika dia tertarik sejenak kepada kebiasaannya yang dahulu, nescaya dia merasa bersalah dan berdosa.

Bukan saja diri perlu dibebaskan daripada unsur jahiliyah, malah hendaklah berlaku pemisahan secara total unsur jahiliyah dari segi perasaan, cara pemikiran dan pandangan, tingkahlaku dan amalan; kebiasaan dan istiadat (cth: istiadat perkahwinan); serta cara hidup.

Jahiliyyah adalah seumpama seperti `chewing gum’ yang melekat di kasut kita. Kita akan terasa `annoyed' sewaktu berjalan. Apabila kita ingin membuangnya dari kasut kita, ia akan meninggalkan kesan yang tidak elok dalam beberapa waktu. Begitulah juga dengan sifat jahiliyyah yang melekat dalam diri kita. Jahiliyah perlu dibuang dalam perjalanan menuju kepada Allah. Proses penyuciannya mengambil masa. Perlu mujahadah sehingga sisa-sisanya tidak tinggal walau seberat zarah.

Kadangkala orang beriman juga leka/alpa dalam perkara jahiliyah. Sebuah Hadis dari Abu Dzar, dia berkata: “sesungguhnya saya mengejek seseorang dengan menghina ibunya (ibu Bilal ra), maka Rasulullah berkata padaku, “Hai Abu Dzar, apakah engkau menghina ibunya? Sesungguhnya engkau adalah orang yang mempunyai sifat Jahiliyyah” (HR.Bukhari-Muslim)

Lalu dengan segera Abu Dzar r.a meletakkan kepalanya di hadapan Bilal di atas tanah dan menyuruh Bilal memijaknya supaya hilang rasa sedih dengan kenyataan Rasulullah saw tersebut.

Suka menghina dan mengejek orang adalah salah satu sifat dari sifat-sifat jahiliyyah.
Setelah datangnya Islam maka seluruh perkara Jahiliyyah dihapuskan dari Jazirah Arab. Rasulullah s.a.w berkhutbah pada hari Fathul-Makkah, “Wahai manusia sesungguh-nya Allah telah menghapus kesombongan Jahiliyyah dan kebanggaannya terhadap Nenek Moyang …” (HR. Ahmad & Abu Daud)

Dan ketika Rasulullah berkhutbah pada haji wada’, beliau bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya segala sesuatu dari perkara-perkara Jahiliyyah telah saya musnahkan”.
Dari nas-nas al-Qur`an dan Sunnah jelaslah bahwa setiap penyimpangan dari petunjuk Allah dan Rasul-Nya, baik yang berkait dengan Aqidah, Ibadah, perilaku, maupun amal adalah perbuatan Jahiliyyah.

Bagaimanakah kita ini?

Maka mintalah perlindungan dari Allah agar dijauhkan dari sifat jahiliyah, dan bersegeralah bertaubat kepada-Nya.

2 ulasan:

  1. Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kelompok ini perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu

    BalasPadam
  2. Jazakallahu khoir atas perkongsian yang begitu besar maksud dan manfaatnya. Walaupun jahiliyah berada dimana-mana dan wujud di dalam setiap aspek sistem kehidupan, namun kita tidak seharusnya lari dari menghadapinya dan merasa selesa beruzlah serta beribadah di rumah. Ini adalah kerana da'wah itu bersifat haraki, perlu sentuhan fizikal dan mengubah. Apa yang semestinya ada ialah uzlah syuru'iyah (pemisahan perasaan) terhadap setiap perkara jahiliyah. Pemahaman Al-Quran dan sirah nabi adalah sebaik-baik panduan dalam setiap tindakan.

    BalasPadam