Setiap orang Islam memiliki sekurang-kurangnya senaskah al-Qur’an. Al-Qur’an dicetak dengan berbagai rupa dan bermacam teknik persembahannya. Sama ada ia dibaca atau tidak, ia menjadi satu persoalan yang lain. Menjadi suatu keganjilan jika tidak tahu apa itu al-Qur’an. Betul ke kita memahami sepenuhnya al-Qur`an itu? Untuk muhasabah diri:
1. Untuk siapakah al-Qur’an diturunkan?
2. Kenapa al-Qur’an diturunkan?
3. Apa isi kandungan al-Qur`an ?
4. Siapakah yang di amanahkan untuk menyampaikannya?
5. Apa sebenarnya nak disampaikan olehnya?
6. Bagaimana kita ingin mengetahui fikrah & tasawwur al-Qur’an?
7. Kenapa musuh Islam ingin kita melupakan al-Qur’an?
Kenapa tidak ada tanda tanya dalam benak kita tentang persoalan-persoalan seperti ini. Sedangkan untuk kitalah al-Quran ini. Seolah-olah tiada keistimewaan atau kepentingan untuk mengetahuinya berbanding dengan kitab-kitab yang ditulis untuk kejayaan duniawi seperti kitab perubatan, kitab kejuruteraan, kitab ekonomi dan banyak lagi kitab-kitab seumpama ini di pasaran
Al-Qur’an Nur Karim dibuat sendiri oleh Penguasa kita iaitu Allah (swt), pemilik A’lam ini. Diturunkan ke Dunia melalui perantaraan malaikat Jibril alaihisalam. Kepunyaan-Nyalah seluruh dunia ini dan semua makhluk yang ada sama ada benda hidup atau benda bukan hidup. Ia Maha Mengetahui kelebihan dan kelemahan makhluk ciptaan-Nya. Maka al-Quran diturunkan sebagai garis panduan bagaimana sepatutnya sistem atau tatacara kehidupan supaya sentiasa berada di dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Dalam keadaan berkasih sayang dan aman damai. Bukankah itu yang dicari oleh semua generasi sama ada di Timur maupun di Barat?
Secara umum al-Qur’an mengandungi 30 juzuk, setiap juzuk terbahagi kepada 2 hizb (bahagian) dan terdiri dari 114 surah (sepatutnya kita mengetahui nama-nama setiap surah tersebut). Di dalamnya ada menerangkan bagaimana nak mentauhidkan Allah, bagaimana nak bersyari’at (fekah), bagaimana nak berakhlak dan menceritakan kisah-kisah Nabi sebagai pengajaran.
Rasulullah saw telah dipilih sebagai penyampai wahyu ini. Beliau menempuh pelbagai ranjau dan pahit getir di sepanjang dakwah beliau selama 23 tahun. Kemudian Para Sahabat menyambung perjuangan Baginda selepas kewafatannya. Diikuti pula oleh Para Tabi’in, a’lim ulama dan akhirnya semua ummat Nabi Muhammad saw. Ini bermakna kita-kita ini adalah khalifah yang ditugaskan sebagai penyambai wahyu-Nya.
وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلاً۬ مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحً۬ا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ (٣٣)
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” – (al-Fussilat:33)
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَہَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡہَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَـٰنُۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ ظَلُومً۬ا جَهُولاً۬ (٧٢)إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَہَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡہَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَـٰنُۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ ظَلُومً۬ا جَهُولاً۬ (٧٢)
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” – (al-Ahzab:72)
Mengimbau kembali sirah, kehidupan sebelum turunnya al-Quran adalah amat menduka-citakan. Kebanyakkan masyarakat mentauhidkan yang lain dari Allah. Ikatan kasih sayang entah ke mana. Kaum bangsawan menghina masyarakat bawahan. Zina, judi, dan arak berleluasa disana sini.
Kemunculan al-Quran mempunyai motif utama iaitu untuk mengubah minda (mindset) yakni cara berfikir dan pandangan (tasawwur) sesuatu benda atau situasi itu dengan pandangan Allah. Ia bukan sekadar untuk memperelokkan bacaan dari segi tajwid sahaja atau mengambil beberapa ayat yang tertentu sebagai ayat penyembuh atau doa amalan(murah rezeki, halau jin dan syaitan dll). Sememangnya al-Quran ini bagaikan seorang yang dermawan. Kita boleh dapati darinya apa saja yang kita kehendaki. Nak tahu bab sains pun ada. Tapi adakah itu yang hendak disampaikan. Sains muncul 300 tahun selepas zaman Rasulluluh saw; iaitu di zaman Abasiyah. Persoalannya, adakah sahabat generasi Al-Qur’an ini menjadi saintis ? Adakah majoriti kaum Quraisy yang buta huruf itu mendapat manfaat ilmu sains dari al-Qur’an? Tumpuan al-Quran ini adalah kepada hati-hati mereka.
Jadi, al-Qur’an diturunkan kerana nak beri pada masyarakat Jahiliyyah dan kita semua kesedaran, hidayah dan ‘rasa’ yang dengan itu kita akan terkesan untuk mengubah diri kita dengan izin Allah.
Kenapa perlunya kita memahami muqaddimah tafsir Al-Quran ini?
Secara analogi mudah, jika kita taburkan `jigsaw puzzles’ dan mengambil satu keeping `jigsaw puzzle’ dari ratusan keping; yang kita lihat adalah satu objek yang mempunyai pelbagai tafsiran. Pandangan si-A, si-B dan si-C akan berbeza.
Begitu juga Al-Quran, apa yang perlu ialah memahami keseluruhan fikrah Al-Quran ataupun dalam bahasa mudah mempunyai `helicopter view’ tentang Al-Quran. Muqaddimah/intisari Al-Quran membantu kita mendapat kefahaman yang sempurna. Bagaikan abstrak sesuatu tesis. (Walaupun nilai muqaddimah ini adalah jauh tidak ternilai berbanding tesis)
Kenapa menggunakan Muqaddimah Fi Zilalil Qur’an, tidak yang lain?
Fi-Zilalil Quran adalah hasil dari tinta darah syuhada. Dari orang yang mati syahid kerana kalimah syahadah. Beliau bersedia untuk mati bagi meneruskan pemikirannya supaya tetap hidup.. dia memberi makan pemikirannya itu dengan daging dan darahnya….
Ketika diminta meminta maaf kepada kerajaan Mesir.. beliau berkata:
“..Sesungguh jari telunjuk yang mengakui dua kalimah syahadah pada setiap kali solat ini enggan untuk menuliskan walaupun satu huruf mengakui pemerintahan yang tidak mengikut Islam..”
Petikan kata-kata seorang yang telah menyumbangkan seluruh masa, tenaga, fikiran dan nyawanya untuk Islam; AL-SYAHEED SAYYID QUTB.
Inilah yang ditakuti oleh musuh Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan