سُوۡرَةُ النَّاس
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ (١) مَلِكِ ٱلنَّاسِ (٢) إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ (٣) مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ (٤) ٱلَّذِى يُوَسۡوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ (٥) مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ (٦)
1. Katakanlah: Aku pohon perlindungan pada Rabb yang memelihara manusia
2. Yang menguasai manusia
3. Ilah yang disembah manusia
4. Dari kejahatan (syaitan) pembisik yang datang dan menghilang
5. Yang membisik (kejahatan) di dalam dada manusia
6. Iaitu dari (syaitan) jin dan manusia
Gambaran Keseluruhan Ayat:
Surah ini adalah surah yang ke-114, yakni terakhir dalam susunan surah-surah Al-Qu’ran. Susunan surah ini diletak oleh Allah melalui Jibril. Walaupun surah ini adalah surah Madaniyah, tetapi fikrah ayat-ayatnya adalah mirip kepada surah Makkiyah.
Surah yang terakhir ini memberi tasawwur terhadap Aqidah, yakni tauhid uluhiyah dan rubbubiyah. Manusia hamba Allah yang lemah dan hatinya yang berbolak-balik mudah terdedah kepada gangguan syaitan. Maka perlunya ikatan kepada Allah 100%. Gangguan syaitan yang wujud sejak dari Nabi Adam a.s hinggalah ke hari ini akan terus berlaku. Bisikan manis tipu daya yang mempersonakan akan melekakan kita. Tempat tumpuan gangguan adalah hati; iaitu tempat untuk kita memahamkan ad-din. Ia menjadi titik-titik hitam. Maksiat di anggap baik, bisikan was-was berlaku, bukan sahaja kepada ibadah tetapi juga kepada perkara yang lebih besar lagi iaitu Aqidah. Namun ramai yang tidak menyedari.
Surah an-Nas dan al-Falaq merupakan satu perintah/arahan dari Allah untuk mendapatkan perlindungan dari-Nya. Ada 2 bentuk gangguan kepada iman – dalaman dan luaran. Surah An-nas menceritakan gangguan dalaman dan Al-Falaq menceritakan gangguan luaran.
Pemahaman surah ini menguatkan iman dan iktiqad kita. Jika kita baca hanya sebagai mengambil fadhilatnya tetapi tidak memahaminya, maka larilah dari konsep iman dan Al-Qur’an.
Terdapat beberapa athar mengenai penurunan surah ini. Dari Uqbah ibn `Amir (ra) , Rasulullah saw telah bersabda “ Tidakkah engkau mengetahui ayat-ayat yang telah diturunkan pada malam ini, iaitu ayat-ayat tidak didapati tolok bandingnya iaitu :
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ dan قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ "
Dari Jabir r.a katanya: Sabda Rasulullah saw “Bacalah, wahai Jabir! Aku menjawab, Demi bapaku dan ibuku, baca apa wahai Rasulullah?” Sabdanya:
Bacalah قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ dan قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ lalu aku pun membaca kedua-duanya, kemudian beliau bersabda “ Bacalah kedua-dua surah ini dan engkau tidak akan dapat membaca surah yang serupa dengan kedua-duanya.”
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ (١) مَلِكِ ٱلنَّاسِ (٢) إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ (٣)
"Katakanlah: Aku pohon perlindungan pada Rabb yang memelihara manusia (1) Yang menguasai manusia (2) `Ilah’ yang disembah manusia (3)"
Fikrah Ayat
1. قُلۡ - Ia adalah satu arahan. Kita kena ikut, iklankan, ceritakan, dan mengajak
hamba Allah untuk berlindung kepada Allah
2. Pada hakikatnya manusia adalah hamba Allah lemah dan memerlukan perlindungan dari Allah. Hanya hamba Allah yang mukhlis akan selamat dari gangguan syaitan.
3. Dinyatakan nama Allah 3 kali dalam surah ini – Robb, Al-Malik, Ilah. Robb ialah sifat Allah yang memelihara dan melindung. Al-Malik ialah sifat Allah yang memilik, memerintah dan mentadbir. `Ilah’ ialah sifat Allah yang menguasai segala-galanya. Semua sifat-sifat ini berkuasa memberi pertolongan dari kejahatan-kejahatan yang meresap ke dalam hati manusia yang tidak mengetahui bagaimana hendak menolak kejahatan-kejahatan yang tersembunyi itu.(insya-Allah akan dibincangkan tauhid uluhiyah dan rubbubiyah pada artikel yang lain).
4. Allah memerintah manusia mencari perlindungan kepada-Nya. Agar manusia hampir kepada Allah.
مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ (٤) ٱلَّذِى يُوَسۡوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ (٥) مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ (٦)
"Dari kejahatan (syaitan) pembisik yang datang dan menghilang (4) Yang membisik (kejahatan) di dalam dada manusia (5) Iaitu dari (syaitan) jin dan manusia (6)"
Fikrah Ayat
1. Allah swt mengingatkan bahawa syaitan ialah musuh kita yang nyata. Ini adalah sumpah mereka sejak dihalau keluar oleh Allah dari syurga. Setiap manusia akan ada syaitannya. Gangguannya berlaku sehingga hari kiamat. Ia berusaha menyesatkan manusia sedaya upaya dengan pelbagai tipu daya, namun mereka tiada mempunyai kuasa. Syaitan hanya berupaya menakluk orang yang lalai dari Allah.
Firman Allah, Surah al-Isra: (61-65)
وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ قَالَ ءَأَسۡجُدُ لِمَنۡ خَلَقۡتَ طِينً۬ا (٦١) قَالَ أَرَءَيۡتَكَ هَـٰذَا ٱلَّذِى ڪَرَّمۡتَ عَلَىَّ لَٮِٕنۡ أَخَّرۡتَنِ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ لَأَحۡتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ ۥۤ إِلَّا قَلِيلاً۬ (٦٢) قَالَ ٱذۡهَبۡ فَمَن تَبِعَكَ مِنۡهُمۡ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَآؤُكُمۡ جَزَآءً۬ مَّوۡفُورً۬ا (٦٣) وَٱسۡتَفۡزِزۡ مَنِ ٱسۡتَطَعۡتَ مِنۡہُم بِصَوۡتِكَ وَأَجۡلِبۡ عَلَيۡہِم بِخَيۡلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكۡهُمۡ فِى ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَوۡلَـٰدِ وَعِدۡهُمۡۚ وَمَا يَعِدُهُمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ إِلَّا غُرُورًا (٦٤) إِنَّ عِبَادِى لَيۡسَ لَكَ عَلَيۡهِمۡ سُلۡطَـٰنٌ۬ۚ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ وَڪِيلاً۬ (٦٥)
“Dan (kenangilah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam. Lalu mereka sekalian pun sujud kecuali iblis, ia berkata: Adakah wajar aku sujud kepada yang telah Engkau ciptakannya dari tanah? (61). Dia berkatan lagi: Terangkanlah ! Inikah orangnya yang telah engkau muliakan lebih dariku? Sesungguhnya jika dapat Engkau memberikan tempoh kepadaku sehingga Hari Qiamat nescaya akan ku sesatkan zuriatnya kecuali sebahagian yang kecil (62). Lalu Allah menjawab: Baiklah pergilah! Sesiapa dari mereka yang mengikut engkau, maka Neraka Jahannamlah balasan yang sungguh padan untuk kamu (63). Dan kejutkan dengan suaramu siapa saja dari mereka yang dapat engkau lakukan, dan kerahkan angkatan berkudamu dan kerahkanlah angkatan jalan kakimu untuk menyerang mereka, dan berkongsilah harta benda dan anak-pinak dengan mereka dan kemukakan janji-janjimu kepada mereka, dan sebenarnya tiada apa yang dijanjikan syaitan kepada mereka melainkan hanya tipu daya sahaja (64). Sesungguhnya engkau tidak mempunyai kuasa untuk menguasai hamba-hamba kesayangan-Ku, dan cukuplah Tuhanmu itu menjadi penjaga (65)”
2. Syaitan akan sentiasa mendampingi kita. Setiap manusia memiliki Qarin (pendamping). Hadis Saiyiditina Aisyah dalam Riwayat Muslim “ Sesungguhnya Rasululluh saw keluar darinya pada suatu malam, kemudian nabi saw datang dan melihat apa yang aku perbuat, maka nabi saw berkata ‘Ada apa denganmu wahai Aisyah? Apakah engkau cemburu ?’ Aisyah berkata: `Bagaimana orang sepertiku tidak cemburu dengan orang seperti kamu’. Maka Rasululluh (saw) berkata: ‘ Apakah syaitan datang kepadamu’ lalu Aisyah berkata: ‘ Wahai Rasululluh, apakah syaitan bersama saya?’ Nabi saw berkata `Ya’, akupun bertanya: `Bersama setiap manusia (juga)’, Nabi saw menjawab `Ya’; Aisyah bertanya: ` Bersama engkau juga ya Rasululluh?’ Nabi saw menjawab `Ya, hanya Allah menolongku sehingga dia memeluk Islam’
3. Was-was yang paling utama ialah was-was aqidah. Perkara ini yang manusia lupa. Masyarakat kita bila membicarakan was-was, maka hal yang dirisaukan ialah berkenaan niat beribadah (masuk ke tak masuk niat).. tapi jarang-jarang was-was aqidah dibincangkan. Itulah tujuan utama syaitan untuk membawa kita bersama-sama ke dalam neraka Jahannam. Firman Allah:
Surah Fathir (22:6)
إِنَّ ٱلشَّيۡطَـٰنَ لَكُمۡ عَدُوٌّ۬ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّاۚ إِنَّمَا يَدۡعُواْ حِزۡبَهُ ۥ لِيَكُونُواْ مِنۡ أَصۡحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ (٦)
“Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesunnguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannnya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala”
Syaitan akan menjerumuskan manusia ke dalam kesyirikan dan
kekufuran Firman Allah:
Al-Hasyr ( 59:16)
كَمَثَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ إِذۡ قَالَ لِلۡإِنسَـٰنِ ٱڪۡفُرۡ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّى بَرِىٓءٌ۬ مِّنكَ
“ Seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia ‘Kafirlah kamu’
maka tatkala manusia itu telah kafir ia berkata `Sesungguhnya aku berlepas
dari kamu…….”
Syaitan akan menggoda kita agar tidak yakin kepada Allah (tidak Jazam yang
qat’i). Ada syak, zan atau waham.
4. Bisikan dan tipudaya syaitan adalah licik. Syaitan mengalir di dalam darah dan menggangu Qalb (hati) yang berada di dalam dada (صُدُورِ)
Dari Anas dia berkata: Rasulullah saw bersabda “Sesungguhnya syaitan telah
masuk ke dalam manusia melalui aliran darah” (HR Bukhari dan Muslim)
5. Cara gangguan syaitan : datang dan menghilang ( ٱلۡخَنَّاسِ ) dan suka menunggu peluang. .Syaitan dapat sampai ke dalam fikiran dan hati manusia dengan cara yang tidak kita ketahui. Hal ini berkait dengan tabi’at khusus penciptaannya. Ibnu Kathir berkata ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ adalah syaitan yang `cokoh’ dalam diri manusia, maka syaitan akan membisikinya, namun jika dia berzikir, maka syaitan akan lari. (`cokoh’ - kalau dalam bahasa Kelantan maknanya; tinggal diam tidak membuat apa-apa, dlm konteks ini ia menunggu-nunggu peluang)
6. Hati yang terpesong akibat gangguan syaitan akan memandang perkara maksiat perkara yang baik, menjerumuskannya dalam dosa berterusan, dan mudah membuat perkara bid’ah.
Surah Al-Hijr (15:39-40).
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِيَنَّہُمۡ أَجۡمَعِينَ (٣٩) إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡہُمُ ٱلۡمُخۡلَصِينَ (٤٠)
“ Iblis berkata : ‘ Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma’siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.”
Sufyan ats-Tsauri berkata “Bid’ah itu lebih disukai iblis dari maksiat; kerana pelaku maksiat dapat diharapkan bertaubat, sedang pelaku bid’ah sukar untuk bertaubat.”
7. Syaitan juga menimbulkan was-was dalam hati agar tidak membuat kebajikan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merosakkan ibadah:
Dalam sahih Bukhari, dari Abu Hurairah ra “Jika azan solat dikumandangkan, syaitan membelakanginya sambil kentut agar azan tersebut tidak sedap didengar. Jika azan telah selesai dia kembali lagi menghadap ke depan. Ketika solat telah dimulai dia membelakanginya. Lalu dia akan mengganggu seseorang dalam fikirannya, dia katakan : ‘ingat ini, ingat ini, mengapa kamu tidak mengingat ini ‘”. Sehingga orang tersebut lupa berapa rakaat dia telah bersolat” - HR Bukhari dan Muslim.
Dengan bisikan inilah, syaitan menipu daya Nabi Adam dengan memakan pohon yang telah disebut dalam Al-Qu’ran.
Surah Thaaha (20:120)
فَوَسۡوَسَ إِلَيۡهِ ٱلشَّيۡطَـٰنُ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ هَلۡ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلۡخُلۡدِ وَمُلۡكٍ۬ لَّا يَبۡلَىٰ (١٢٠)
“Kemudian syaitan membisikan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata ‘Hai Adam, mahukah saya tunjukkah kepada pohon Khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa”
Syaitan juga menipu hati dan pemikiran manusia seolah-olah dia sedang memberi nasihat kepada manusia. Firman Allah :
al-A’raaf (7:21)
وَقَاسَمَهُمَآ إِنِّى لَكُمَا لَمِنَ ٱلنَّـٰصِحِينَ (٢١)
“ Dan dia(syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa), Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua”.
8. Syaitan membisikkan sehingga seorang hamba Allah lupa kepada perintah Allah. Perkara ini berlaku kepada Nabi Adam dan ia akan berlaku juga kepada kita. Firman Allah:
Surah Thaahaa (20:115)
وَلَقَدۡ عَهِدۡنَآ إِلَىٰٓ ءَادَمَ مِن قَبۡلُ فَنَسِىَ وَلَمۡ نَجِدۡ لَهُ ۥ عَزۡمً۬ا (١١٥)
“Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapatinya padanya kemahuan yang kuat”.
9. Manusia berperangai syaitan juga wujud. Mereka terdiri dari teman-teman yang jahat, orang-orang berkuasa yang tidak mengikut syariat Allah sehingga bertindak zalim terhadap rakyat jelatanya; tukang-tukang umpat dan penjual-penjual nafsu.
10. Allah mengajar hamba-Nya perisai daripada gangguan syaitan. Hendaklah dia memperingati Allah, memperbanyakkan zikir dan doa. Syaitan menjadi lemah apabila berdepan dengan mereka yang sedar dan siap-siaga mengawal pintu hatinya. “Apabila manusia menyebut nama Allah, ia akan mengundurkan dirinya dan apabila manusia lalai, ia akan membisikkan kejahatan”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan