30 Mei 2011

3.2 KENIKMATAN, KEBERKATAN DAN KEHORMATAN DI BAWAH LEMBAYUNG AL-QUR'AN

Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu ni'mat. Ni'mat yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu keni’matan yang meninggi, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku keni’matan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi nimat yang tidak pernah aku kecapi sepanjang hidupku. Aku dapat merasai ni’mat yang meninggi, memberkati dan membersihkan usiaku.

Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku menerusi al-Quran ini… ya Dia bercakap kepadaku yang hanyalah seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil ini. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah ketinggian usia yang lebih tinggi dari ketinggian usia yang diangkatkan oleh kitab süci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Sang Pencipta Yang Maha Mulia ini? …. Sayyid Qutb

Pengalaman Sayyid Qutb hidup di bawah bayangan Al-Quran bermula di fasa ke-dua kehidupannya; iaitu setelah beliau menyertai da’wah dan Ikwanul Muslimin. Dia seolah-olah tersentak dan bangun dari kealpaannya sebelum ini. Bilamana dia memahami Islam, maka dia merasakan dia mengharungi Islam ini sepertimana Para Sahabat merasainya.

Di bawah bayangan atau naungan mempunyai dua maksud. Maksud pertama ialah dari perspektif fizikal seperti berteduh di bawah pokok; manakala yang ke-dua ialah bersifat maknawi dan tidak dapat dilihat tetapi terasa. Analoginya, jika kita mempunyai kroni yang berkedudukan tinggi, maka kita merasakan diri kita selamat dan dihormati.

Maka hidup `di bawah bayangan Al-Quran’ memberikan makna yang sangat tinggi dan tidak ternilai, yakni bila kita rasakan Pencipta kita, Allah swt bercakap-cakap dengan kita dan berinteraksi dengan kita melalui Al-Quran, kita merasakan Allah sangat dekat dengan kita. Allah melindungi kita. Tiada perlindungan yang lebih baik dari perlindungan dari Allah. Sayyid Qutb merasakan Al-Quran itu adalah untuknya. Satu perasaan dan `feel’ yang tidak tergambar kecuali bagi mereka yang dapat merasainya.

Kenikmatan yang memberkati dan membersihkan usia adalah satu anugerah dari Allah. Usia kita diukur mengikut tahun kita hidup. Namun mereka yang memahami al-Qur’an dan mempunyai fikrah dan pemikiran al-Qur’an akan hidup lebih lama dari usianya. Fikrah yang dibawanya akan terus hidup walaupun dirinya sudah meninggal dunia. Hidupnya akan diberkati dan dia akan terus hidup bersama-sama dengan fikrah dan pemikirannya sehinggalah pemikiran itu berkecai. Dia seolah-olah hidup. Bilamana kita membaca Fi-Zilalil Qur’an, maka ia akan memberkati pengarangnya.

Maka, apalah ada pada usia kita jika tidak diberkati Allah ? Umur kita setakat 60-70 tahun, dan jika dibandingkan dengan usia dunia, usia kita tiada apa-apa. Kita datang, kemudian kita pergi. Dan kemudian diganti dengan yang lain melalui zuriat kita.

Kita ini ibarat seekor semut yang dilahirkan ditepi rumah. Banyak lagi semut-semut lain. Tiada siapa yang ambil peduli. Begitu ramai makhluk yang Allah jadikan di mukabumi dan Allah boleh memberi Hidayah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Hidayah dan Iman inilah yang kita pohon, kita cari dan kita genggam sekuatnya bila dapat walaupun nyawa menjadi taruhan kerana yang kita inginkan ialah keberkatan hidup dan keredhaan Allah. Begitu jugalah, as-syahid Sayyid Qutb yang membayar dengan nyawanya bagi meneruskan pemikirannya untuk terus hidup.

Istilah berkat tiada pada orang kafir; juga pada muslim yang leka dengan jahiliyahnya. Ia berkait dengan iman. Apabila iman tiada dan hidupnya tidak diberkati Allah, maka tanda-tandanya dapat dilihat. Ini hendaklah dilihat dari matahati kerana iman tidak dapat dilihat tetapi dapat dirasai seolah-olah daun-daun pokok yang ditiup angin.

Keberkatan ialah bilamana Allah memberikan kebaikan dan penambahan terhadap usaha yang dilakukan sehingganya manfaat dan pahalanya berkekalan. Keberkatan dari Allah menjadikan ibadah kita terasa manis, kita merasa tenang dan hampir kepada Allah dan terus beristiqomah di dalam ibadah. Kehidupan yang tak diberkati Allah mempunyai tanda yang sebaliknya.

Lihatlah keberkatan usia Imam An-Nawawi yang meninggal di usia muda (sekitar 45 tahun: 631-676 Hijrah). Hasil tulisannya meninggi langit. Kitab-kitabnya menjadi rujukan sehingga kini. Apalah ada pada kita, sebuah buku pun payah untuk diterbitkan; dan mungkin tak de langsung.

Keberkatan usia perlu kita usahakan. Jika direnungi, masa yang kita lalui adalah sama, iaitu 24 jam sehari, namun keberkatan usia adalah berlainan. Oleh itu, hendaklah kita mengikat hidup kita dengan Allah dan selalu berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Rasululluh saw iaitu : Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).

Perasaan seorang yang dapat merasai Allah bercakap dengannya melalui ayat-ayat Al-Quran adalah seolah-seolah seperti dia diberi penghormatan oleh Sang Penciptanya. Begitu ramai lagi manusia yang tidak terpilih mendapat Hidayah; dan jauh dari al-Qur’an. Penghormatan ini hanya diberikan kepada orang mukmin. Manakah penghormatan yang lebih mulia dari penghormatan yang diberikan oleh Allah swt ?. Tidak terbanding dan tidak ternilai dari penghormatan di dunia ini. Penghormatan di dunia (kuasa, pangkat, gelaran dll) bersifat sementara, malah akan dihisab oleh Allah swt.

Renungkanlah sekali lagi kata-kata Sayyid Qutb…

Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku menerusi al-Quran ini… ya Dia bercakap kepadaku yang hanyalah seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil ini. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah ketinggian usia yang lebih tinggi dari ketinggian usia yang diangkatkan oleh kitab süci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Sang Pencipta Yang Maha Mulia ini? …. Sayyid Qutb

Persoalannya :
1. Adakah kita merasai seolah-olah Allah bercakap dengan kita melalui al-Qur'an?
2. Adakah kita juga merasai kemuliaan, kenikmatan, keberkatan dan penghormatan di bawah naungan al-Qur’an?
3. Apakah usaha kita ke-arah ini semua ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan