Di dalam Al-Quran, al-a’rab digambarkan sebagai golongan masyarakat (bedoins) yang kasar dan sulit untuk MEMAHAMI dan MEMATUHI aturan.
Namun begitu, sifat orang Al-A’rab bukanlah semata-mata merujuk kepada sifat masyarakat `bedoins’ sahaja , tetapi ia adalah satu `pattern’ bentuk perilaku atau tabiat atau sifat orang Islam hingga ke hari ini yang mempunyai sifat-sifat tersebut.
Ada 10 tempat di dalam Al-Quran menceritakan tentang sifat-sifat orang al-a’rab ini. Berikut ialah beberapa contoh ayat tersebut:
Surah Al-Hujuraat (49:14-18)
قَالَتِ ٱلۡأَعۡرَابُ ءَامَنَّاۖ قُل لَّمۡ تُؤۡمِنُواْ وَلَـٰكِن قُولُوٓاْ أَسۡلَمۡنَا وَلَمَّا يَدۡخُلِ ٱلۡإِيمَـٰنُ فِى قُلُوبِكُمۡۖ وَإِن تُطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ لَا يَلِتۡكُم مِّنۡ أَعۡمَـٰلِكُمۡ شَيۡـًٔاۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ (١٤)
“Orang-orang "A`raab" berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
1. Orang Al-A’rab mengatakan mereka telah beriman. Tetapi Allah menempelak mereka bahawa mereka belum beriman lagi tetapi cuma telah Islam.
Ayat ini adalah bukti bahawa IMAN adalah lebih tinggi daripada ISLAM. Orang Islam tidak semestinya beriman. Rujuk Hadis Jibril (Hadis ke-2 Imam Nawawi) yang bertanya kepada nabi maksud ISLAM, kemudian IMAN dan seterusnya IHSAN. Daripada soalan berbentuk umum kepada spesifik dan seterusnya kepada yang lebih spesifik. Ada perbezaan ketara antara ketiga-tiga perkara ini.
Orang Al-A’rab belum lagi mencapai tahap IMAN. Mereka baru Islam kerana IMAN belum masuk ke dalam hati mereka.
Islam orang Al-A’rab adalah Islam ikutan. Ketua suku masuk Islam, anak buah pun masuk Islam. Iman orang Al-A’rab adalah iman yang masuk dan keluar. Tidak terkecuali masyarakat zaman kini.
Iman juga bukanlah boleh diwarisi. Sudahkah kita ini telah beriman ? Jawapannya ya jika memenuhi syarat orang beriman seperti ayat ke 49:15.
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُواْ وَجَـٰهَدُواْ بِأَمۡوَٲلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ (١٥)
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman HANYALAH (1) orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian (2) mereka tidak ragu-ragu dan (3) mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orag yang benar”.
Bagi Allah, orang-orang yang beriman itu hanyalah apabila ia:
i. Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya
Tidak syirik(menduakan atau mensyarikatkan Allah)dan melaksanakan hak-hak Nya. Mengikut seruan atau risalah yang dibawa oleh Rasul-Nya dan menyambung perjuangan mereka.
ii. Tidak ragu-ragu
Mengamalkan ‘Saya taat dan saya patuh’ pada setiap yang disyari’atkan dan setiap tetapan atau qadar Allah dengan tanpa banyak soal. Ini kerana setiap tetapan dan qadar Allah itu adalah baik ke atas dirinya.
iii. Berjihad dengan harta dan jiwa pada jalan AllahSanggup menginfakkan (mendermakan atau memberi) harta dan jiwa nya seratus peratus kerana Allah, tiada bercampur satu peratus pun kerana yang lain. Bukan untuk pujian atau inginkan balasan lebih daripada yang diinfakkan.
2. Orang-orang Al-A’rab mendakwa bahawa nabi beruntung dan mendapat nikmat kerana mereka telah masuk Islam. Allah menempelak sifat angkuh mereka dalam ayat ke 49:17.
يَمُنُّونَ عَلَيۡكَ أَنۡ أَسۡلَمُواْۖ قُل لَّا تَمُنُّواْ عَلَىَّ إِسۡلَـٰمَكُمۖ بَلِ ٱللَّهُ يَمُنُّ عَلَيۡكُمۡ أَنۡ هَدَٮٰكُمۡ لِلۡإِيمَـٰنِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (١٧)
“Mereka merasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keIslaman mereka. Katakanlah “Janganlah kamu merasa telah memberi ni’mat kepadaku dengan keIslamanmu, sebenarnya Allah Dialah yang melimpahkan ni’mat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar”.
Kekadang ada terdengar ungkapan berikut;
• “Berbanggalah! Orang-orang yang awak dakwah tempoh hari semuanya dah jadi baik-baik belaka…”
• “Taniah! Awak berjaya menarik kumpulan kami menyertai kumpulan awak yang unik ini.”
Sepatutnya kita bersyukur dan jangan bongkak kerana Allahlah yang memberi nikmat Iman dan Islam kepada kita. Jangan kita lupa bahawa asbab kita dapat Islam dan iman bukan semata-mata usaha kita tetapi Allahlah yang memberi taufik dan hidayah-Nya.
Bagaimanakah untuk menunjukkan kita telah bersyukur kepada Allah ?
Surah al-Fath (48: 11-17)
سَيَقُولُ لَكَ ٱلۡمُخَلَّفُونَ مِنَ ٱلۡأَعۡرَابِ شَغَلَتۡنَآ أَمۡوَٲلُنَا وَأَهۡلُونَا فَٱسۡتَغۡفِرۡ لَنَاۚ يَقُولُونَ بِأَلۡسِنَتِهِم مَّا لَيۡسَ فِى قُلُوبِهِمۡۚ قُلۡ فَمَن يَمۡلِكُ لَكُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيۡـًٔا إِنۡ أَرَادَ بِكُمۡ ضَرًّا أَوۡ أَرَادَ بِكُمۡ نَفۡعَۢاۚ بَلۡ كَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرَۢا (١١) بَلۡ ظَنَنتُمۡ أَن لَّن يَنقَلِبَ ٱلرَّسُولُ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِلَىٰٓ أَهۡلِيهِمۡ أَبَدً۬ا وَزُيِّنَ ذَٲلِكَ فِى قُلُوبِكُمۡ وَظَنَنتُمۡ ظَنَّ ٱلسَّوۡءِ وَڪُنتُمۡ قَوۡمَۢا بُورً۬ا (١٢) وَمَن لَّمۡ يُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ فَإِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلۡكَـٰفِرِينَ سَعِيرً۬ا (١٣) وَلِلَّهِ مُلۡكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ يَغۡفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُۚ وَڪَانَ ٱللَّهُ غَفُورً۬ا رَّحِيمً۬ا (١٤) سَيَقُولُ ٱلۡمُخَلَّفُونَ إِذَا ٱنطَلَقۡتُمۡ إِلَىٰ مَغَانِمَ لِتَأۡخُذُوهَا ذَرُونَا نَتَّبِعۡكُمۡۖ يُرِيدُونَ أَن يُبَدِّلُواْ كَلَـٰمَ ٱللَّهِۚ قُل لَّن تَتَّبِعُونَا ڪَذَٲلِكُمۡ قَالَ ٱللَّهُ مِن قَبۡلُۖ فَسَيَقُولُونَ بَلۡ تَحۡسُدُونَنَاۚ بَلۡ كَانُواْ لَا يَفۡقَهُونَ إِلَّا قَلِيلاً۬ (١٥) قُل لِّلۡمُخَلَّفِينَ مِنَ ٱلۡأَعۡرَابِ سَتُدۡعَوۡنَ إِلَىٰ قَوۡمٍ أُوْلِى بَأۡسٍ۬ شَدِيدٍ۬ تُقَـٰتِلُونَہُمۡ أَوۡ يُسۡلِمُونَۖ فَإِن تُطِيعُواْ يُؤۡتِكُمُ ٱللَّهُ أَجۡرًا حَسَنً۬اۖ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ كَمَا تَوَلَّيۡتُم مِّن قَبۡلُ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمً۬ا (١٦) لَّيۡسَ عَلَى ٱلۡأَعۡمَىٰ حَرَجٌ۬ وَلَا عَلَى ٱلۡأَعۡرَجِ حَرَجٌ۬ وَلَا عَلَى ٱلۡمَرِيضِ حَرَجٌ۬ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ يُدۡخِلۡهُ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبۡهُ عَذَابًا أَلِيمً۬ا (١٧)
“Orang-orang "A`raab" (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami. Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah (wahai Muhammad: Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka adakah sesiapa yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan dari Allah jika Dia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat? (Tidak ada sesiapapun dan apa yang kamu katakan itu bukanlah menjadi sebab) bahkan Allah adalah Maha Mendalam pengetahuanNya tentang sebab ketinggalan yang kamu lakukan itu (dan Dia akan membalasnya). (11) (Itu bukanlah sebabnya) bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan orang-orang yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan) tidak akan kembali lagi kepada anak isteri dan keluarga masing-masing selama-lamanya dan sangkaan yang demikian itu diperelokkan (oleh Syaitan) di dalam hati kamu (serta menerimanya) dan lagi kamu telah menyangka berbagai-bagai sangkaan yang buruk (terhadap agama Allah yang dibawa oleh RasulNya) dan (dengan itu) menjadilah kamu kaum yang rosak binasa. (12) Dan (ingatlah bahawa) sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Kami sediakan bagi orang-orang kafir itu api Neraka yang menjulang-julang. (13) Dan (ingatlah juga bahawa) kuasa pemerintahan langit dan bumi adalah hak kepunyaan Allah, Dia berkuasa mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga berkuasa menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (14) Orang-orang (munafik) yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu pergi (mengepong musuh serta) mendapat harta rampasan perang: Biarkanlah kami turut serta dengan kamu! Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji Allah (yang menentukan hanya orang-orang yang turut hadir di Hudaibiyah sahaja yang berhak mendapat harta rampasan perang itu). Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi. Mereka akan berkata pula: (Bukan Tuhan yang melarang) bahkan kamu dengki kepada kami, (apa yang mereka katakan itu tidaklah benar), bahkan mereka tidak faham kecuali sedikit sahaja; (mereka hanya faham tentang kehidupan dan kesenangan dunia semata-mata). (15) Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-samamu) dari kalangan kaum-kaum Arab Badwi: Kamu akan diajak menentang satu kaum (penceroboh) yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya atau mereka menurut perintah Islam (secara damai). Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik (di dunia dan akhirat) dan kalau kamu berpaling ingkar seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan azab yang tidak terperi sakitnya. (16) Tidaklah menjadi salah kepada orang buta dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya) dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksanya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.” (17)
1. Orang Al-A’rab suka memberikan dalih untuk tidak berjihad atau berperang maupun berdakwah. Berdalih mengatakan mereka SIBUK dengan urusan harta, keluarga dan mencari rezeki.
Keutamaan diberikan kepada urusan dunia mereka. Sedangkan urusan agamalah patut diberi prioriti(usaha Ad-din).
2. Orang Al-A’rab adalah orang yang berpura-pura beriman dan menunjuk-nunjuk bahawa mereka beriman. Dengan alasan-alasan yang dibuat-buat (fabricated excuse). Orang Al-A’rab tidak malu meminta Nabi untuk memohon kepada Allah mengampunkan kesalahan mereka kerana tidak pergi berperang. Bukannya mereka beriman tetapi hanya untuk `show-off’ and `pretend’. Allah berfirman:
“Orang-orang Al-A’rab yang tertinggal (tidak turut ke Hudaibiyah) akan mengatakan “Harta dan keluarga kami telah merintangi kami, maka mohonkanlah ampunan untuk kami”. Mereka mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah “Maka siapakah yang dapat menghalang-halangi kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan bagimu atau jika Dia menghendaki manfa’at bagimu. Sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan (48:11)
Dalam ayat di-atas, Allah mengatakan orang Al-A’rab adalah orang yang hipokrit. Orang yang manis di mulut tetapi hatinya lain. Allah mengetahui segala rahsia di dalam hati walaupun `pretend’ menjadi orang beriman.
Sering juga terdengar perbualan seperti ini;
A: “Esok datanglah tadabbur al-Quran kat rumah saya.”
B: “InsyaAllah.” (sebenarnya dalam hati menyatakan ; “alamak, malasnya…”)
B mempunyai sikap seperti sikap orang al-A’rab. Allah mengetahui segala isi hatinya. Sedangkan majlis tadabbur sangat banyak manfaatnya. Selain meningkatkan kefahaman dalam Ad-din, ia juga mendapat keredhaan Allah swt.
3. Orang-orang Al-A’rab juga bersifat `materialistik’, nampak kebendaan fizikal , tak rasa bersalah, tidak memahami dan ada `secondary motive’ untuk pergi berperang; iaitu mendapatkan harta rampasan.
Muhasabah untuk kita juga untuk segala amal kebaikan dilakukan kerana Allah semata-mata. Firman Allah:
.”Orang-orang Al-A’rab yang tertinggal itu berkata apabila kamu berangkat untuk mengambil barang rampasan (berangkat berperang) “ Benarkanlah kami mengikuti kamu” Mereka hendak merubah kata-kata / janji Allah. Katakanlah “ kamu sekali-kali tidak boleh ikut, demikian Allah telah menetapkan sebelumnya”; mereka mengatakan “ Sebenarnya kamu dengki kepada kami”. Bahkan mereka tidak mengerti melainkan sedikit. (48:15)
Bagaimana dengan keadaan berikut;
A: “Esok datanglah tadabbur al-Quran kat rumah saya.”
B: “InsyaAllah, ramai ke yang hadir?”
A: “ Mungkin ramai juga.”
B: “ OK, insyaAllah saya cuba datang.”( sebenarnya dalam hati berkata: “boleh bawa catalog cosway sekali, malu juga kalau tak datang,”)
B ada ‘secondary motive’ untuk ke tadabbur. Ingin menambah rezeki(sedangkan rezeki Allah yang tentukan) dan malu kalau tidak dikatakan a’lim. Sepatutnya B bertadabbur kerana fardu A’in ke atas dirinya menuntut ilmu Tauhid, Fekah dan Tasawuf. Pembelajaran ini dapat mendekatkan dirinya pada Allah swt dan wajib baginya menyebarkan ilmu tersebut kerana menunaikan hak Allah. Manusia dijadikan semata-mata untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang khalifah di atas muka Bumi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan